Peguam Bela Kaitkan Pegawai Kedutaan Korea Utara dengan Pembunuhan Kim Jong Nam
2017.11.08
Shah Alam, Selangor

Peguam bela pada Rabu telah mengetengahkan motif politik dalam pembunuhan Kim Jong Nam apabila mereka mula mengaitkan pegawai kedutaan Korea Utara dengan kes pembunuhan di lapangan terbang Malaysia yang mengejutkan dunia itu.
Pihak pembelaan mula memperlihatkan strategi mereka selepas pegawai penyiasat utama kes itu memberitahu mahkamah ketika pemeriksaan balas bahawa tiga lelaki yang dikehendaki dalam kes pembunuhan tersebut telah dibawa ke lapangan terbang dengan sebuah van mini yang dibeli oleh pegawai kedutaan berkenaan.
“Kami berhujah bahawa ini bukanlah satu kes pembunuhan yang mudah. Terdapat banyak konotasi politik,” kata peguam Gooi Soon Seng kepada pemberita selepas perbicaraan, yang masuk hari ke-14 membabitkan dua wanita Asia Tenggara yang didakwa membunuh Kim, berakhir.
“Semua yang terlibat ialah rakyat Korea Utara dan Kedutaan Korea Utara enggan bekerjasama untuk membantu pihak polis.”
Rakyat Indonesia, Siti Aisyah dan rakyat Vietnam, Doan Thi Huong, sedang dibicarakan atas pertuduhan bahawa mereka telah bersubahat dengan empat lelaki rakyat Korea Utara, yang melarikan diri dari negara ini selepas pembunuhan itu, untuk membunuh abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un di kawasan lapangan terbang Kuala Lumpur pada 13 Feb.
Pihak pembelaan bertekad untuk membuktikan bahawa meskipun kesemua lelaki rakyat Korea Utara itu bukanlah pegawai kedutaan terbabit, mereka “sememangnya mempunyai kaitan” dengan diplomat tersebut, kata peguam bela itu.
“Dalam kes ini, motifnya kelihatan lebih bersifat politik berbanding yang lain dan kami sedang bergerak ke arah itu. Dan anak guam kami, kedua-dua wanita, tidak mungkin mempunyai sebarang motif politik atau sebagainya,” kata Gooi, yang mewakili tertuduh dari Indonesia.
Pihak pendakwaan mendakwa kedua-dua wanita telah menghampiri mangsa di terminal pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 dan melumurkan agen saraf VX yang diharamkan ke muka Kim Jong Nam ketika mangsa bersiap sedia untuk menaiki satu penerbangan ke Macau.
Kedua-duanya telah mengaku tidak bersalah, dan mendakwa mereka telah diperdaya oleh empat lelaki terbabit untuk menyerang Kim Jong Nam serta menyangka mereka telah dibayar untuk melakukan satu gurauan bagi sebuah rancangan TV realiti.
Kedua-dua wanita, yang ditahan beberapa hari selepas pembunuhan itu, berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pegawai kedutaan beli van mini terbabit
Video pengawasan lapangan terbang yang dimainkan dalam mahkamah pada Rabu menunjukkan tiga lelaki rakyat Korea Utara, yang telah melarikan diri, tiba di lapangan terbang dengan menaiki mini van yang didaftarkan di atas nama seorang lagi suspek rakyat Korea Utara iaitu Ri Jong Chol.
Bagaimanapun, Ri Jong memberitahu para penyiasat bahawa kenderaan itu telah dibeli menggunakan namanya oleh seorang pegawai Kedutaan Korea Utara bernama Chel Su, kata pegawai penyiasat utama kes itu, Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz ketika memberi keterangan pada Rabu.
“Ri Jong, dalam kenyataannya menyebut nama beliau hanya digunakan untuk membeli van mini tersebut dan beliau turut hadir ketika kenderaan itu dibeli namun tidak pernah menggunakannya,” kata Wan Azirul.
Ini telah mendorong Gooi untuk menyoal Wan Azirul mengenai pihak yang menggunakan nama Ri Jong Chol bagi membeli mini van itu.
“Orang dari Kedutaan Korea Utara,” jawab Wan Azirul.
Ri Jong telah ditahan empat hari selepas insiden pembunuhan di lapangan terbang namun dibebaskan selepas itu kerana kekurangan bukti. Dia kemudiannya telah dihantar pulang kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Wan Azirul juga berkata beliau mempunyai kenyataan bertulis daripada Hyon Kwang Song, setiausaha kedua Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur, dan Kim Uk Il, pengurus syarikat penerbangan nasional Korea Utara, Air Koryo, yang dibuat di kedutaan itu pada 26 Mac. Bagaimanapun beliau tidak memberikan penjelasan lanjut.
Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan diplomat terbabit, serta pengurus syarikat penerbangan itu, telah membantu keempat-empat suspek rakyat Korea Utara berkenaan di kawasan daftar masuk lapangan terbang sejam selepas insiden pembunuhan Kim.
Wan Azirul memberi keterangan bahawa beliau telah meminta izin daripada Kedutaan Korea Utara untuk menemu bual Chel Su dan Ri Ji U, seorang rakyat Korea Utara berusia 30 tahun, yang juga dikenali sebagai James, namun tidak mendapat sebarang jawapan.
Pembunuhan itu telah menyebabkan ketegangan politik yang serius antara Malaysia dan Korea Utara. Bagaimanapun Kuala Lumpur akhirnya bersetuju menghantar jasad Kim ke Pyongyang sebagai pertukaran bagi sembilan rakyat Malaysia yang tersadai di negara itu selepas satu larangan keluar dikenakan.
Agensi pengintipan Korea Selatan telah mendakwa serangan itu adalah sebahagian daripada rancangan Kim Jong Un untuk membunuh abangnya, yang dilaporkan tidak pernah ditemuinya, namun Korea Utara menafikan dakwaan itu.
Kim Jong Nam, anak lelaki sulung pemimpin Korea Utara iaitu mendiang Kim Jong Il, telah menentang pemerintahan dinasti keluarganya secara terbuka.