Rakaman Video Tunjuk Tertuduh Lakukan Aksi Gurauan di Hanoi, Kata Peguambela
2018.03.20
Shah Alam, Malaysia

Seorang daripada dua wanita Asia Tenggara yang didakwa membunuh abang tiri pemimpin Korea Utara, telah menjalani beberapa siri latihan untuk melakukan aksi yang disangka hanyalah ‘gurauan’ di sebuah lapangan terbang di Vietnam, dua minggu sebelum insiden pembunuhan di Kuala Lumpur, mahkamah Malaysia diberitahu pada Selasa.
Warga Vietnam, Doan Thi Huong, telah direkrut untuk mengambil bahagian dalam apa yang disangkanya sebuah rancangan realiti TV, kata peguambela kepada mahkamah sebelum membentangkan rakaman sejarah aksi ‘gurauan’ bagi memperkukuh dakwaan bahawa anak guam mereka telah dikambing hitamkan dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam pada 13 Feb 2017.
Doan sedang dibicarakan bersama-sama seorang lagi wanita, Siti Aisyah dari Indonesia, atas pertuduhan menyapu muka Kim dengan agen saraf VX yang membawa maut. Sekiranya didapati bersalah, kedua-duanya berdepan hukuman mati.
"Kami mengekalkan keseluruhan pembelaan kami bahawa dia [Doan] telah direkrut oleh warga Korea Utara atas premis palsu yang dia telah diambil bekerja untuk melakukan video lucu atau video gurauan," kata peguambela Doan, Hisyam Teh Pok Teik, kepada pemberita semasa mahkamah berhenti rehat.
Hisyam berkata demikian selepas pembelaan pada Selasa membentangkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Lapangan Terbang Noi Bai di Hanoi yang menunjukkan Doan kelihatan menyentuh muka seorang lelaki Vietnam dari belakang.
Menurut peguambelanya, video berdurasi 10 minit bertarikh 2 Feb 2017 itu menunjukkan Doan berdiri di pekarangan balai ketibaan Lapangan Terbang Noi Bai, menunggu sasarannya. Mereka berkata sasarannya ialah seorang pegawai kerajaan Vietnam dikenali sebagai Trinh Ngoc Linh, yang boleh dilihat di dalam video itu berjalan melalui terminal tersebut selepas melawat Singapura.
Doan dapat dilihat berlari ke arah Trinh dan menyentuh muka lelaki itu dengan tangannya ketika dia keluar dari balai ketibaan. Kesemua interaksi berlaku dalam tempoh beberapa saat sahaja dan selepas itu, tertuduh dilihat terus berlalu.
Semasa perbicaraan, pihak pembelaan turut mengemukakan dua video lain yang didakwa menunjukkan Doan melakukan aksi gurauan yang sama di Vietnam.
Kedua-dua video dihasilkan pada 2016 oleh seorang lelaki bernama Nguyen Manh Quang, yang mengendali saluran YouTube untuk rakaman dan video bagi aksi gurauan, kata peguam.
Kedua-dua video menunjukkan Doan mengambil bahagian dalam permainan susun suai gambar menggunakan gajet tablet dan satu lagi permainan yang membabitkan buaya mainan. Dalam satu afidavit yang ditandatangani pada 24 April 2017 dan telah dikemukakan kepada mahkamah, Nguyen berkata beliau telah membayar kira-kira AS$13 kepada Doan bagi setiap video.
Naran Singh, seorang lagi peguambela Doan, berkata video itu menunjukkan bahawa Doan sememangnya terlibat dalam perniagaan pembikinan video lucu dan aksi gurauan.
"Dia telah direkrut sebagai pelakon untuk menghasilkan video aksi gurauan terhadap beberapa orang lain. Anda telah melihatnya di Hanoi Garden dan kini di Lapangan Terbang Hanoi," katanya kepada mahkamah. "Semua ini membuktikan bahawa dia adalah seorang mangsa."
Warga Korea Utara
Prosiding mahkamah pada Selasa turut menyaksikan saksi utama pendakwaan ketika disoal balas bersetuju bahawa empat ejen Korea Utara yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan Kim namun menghilangkan diri, juga perlu dibicarakan.
Polis telah mengenal pasti empat lelaki itu sebagai Ri Ji Hyon (alias Mr Y), Ri Jae Nam (alias Hanamori), Ri Ji-u (alias James) dan Hong Song Hac (alias Chang) yang berjaya melarikan diri dari Kuala Lumpur beberapa jam selepas pembunuhan Kim.
“Adakah anda setuju dengan saya bahawa empat lelaki Korea Utara, Encik Y, Hanamori, James dan Chang sepatutnya berada di sini dan duduk di dalam dok ini?" soal Hisyam kepada pegawai penyiasat utama kes, Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz. "Jawapan anda sangat penting, seluruh dunia mahu tahu jawapannya."
"Saya setuju," jawab Wan Azirul.
Perbicaraan akan disambung semula pada Rabu.