Stoking kalimah Allah: Pemilik KK Mart dibebaskan, denda RM60,000
2024.07.15
Kuala Lumpur

Mahkamah Malaysia pada Isnin membebaskan tetapi mengenakan denda ke atas pemilik rangkaian kedai serbaneka dan pembekalnya kerana menjual stoking yang mengandungi kalimah Allah, dalam kes yang telah menyebabkan kemarahan ramai sehingga tercetusnya keganasan di negara majoriti Islam itu.
Tanpa sebarang penjelasan pendakwa raya memutuskan untuk menggugurkan pertuduhan "sengaja berniat untuk menyakiti perasaan agama lain" yang difailkan terhadap mereka, dengan mahkamah memerintahkan pemilik rangkaian kedai serbaneka dan pembekalnya membayar denda RM60,000 (AS$12,800) setiap seorang dalam tempoh tiga hari
Pengasas KK Super Mart, Chai Kee Kan, 57, dan isterinya, Loh Siew Mui, 53 serta tiga pengarah syarikat pembekal, Xin Jian Chang Sdn Bhd iaitu Xin Jian Chang iaitu Goh Li Huay, Soh Hui San dan Soh Chin telah diarah membayar denda oleh mahkamah selepas kesemua mengaku bersalah masing-masing satu pertuduhan bersubahat melukakan perasaan orang Islam dalam isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.
Hakim Mahkamah Seksyen Shah Alam di negeri Selangor, Muhamad Anas Mahadzir ketika menjatuhkan hukuman memerintahkan pengarah kedua-dua syarikat menjelaskan denda seperti yang ditetapkan dalam tempoh tiga hari.
“Kes ini menarik perhatian ramai kerana melibatkan isu keagamaan, saya cuma ingin mengingatkan pada masa hadapan… ini isu melibatkan sensitiviti masyarakat Islam di negara ini, mana-mana agama bila melibatkan isu sedemikian menimbulkan perasaan yang lebih peka.
“KK Mart juga perlu lebih bertanggungjawab, memperketat pengendalian kawalan kualiti untuk tidak membiarkan perkara itu berulang lagi,” tambah hakim itu lagi.
Dalam pada itu, peguam Rajpal Singh yang mewakili pasangan suami isteri pengasas KK Mart memberitahu BenarNews, pihak pendakwaan pada mulanya cuba menggugurkan kes terhadap anak guamnya serta tiga pengarah syarikat pembekal dengan meminta mereka dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) namun pihak pembelaan berhujah bahawa syarikat itu telah mengaku bersalah.
"Dengan itu, hakim memberikan DAA (lepas dan dibebaskan) kepada lima tertuduh iaitu dua pengasas KK Super Mart dan tiga pengarah syarikat pembekal,” tambahnya.
Ketua pendakwaan, Masri Daud pula memberitahu BenarNews bahawa pihaknya meminta untuk menggugurkan kes itu dan memohon DNAA ke atas pengasas dan pengarah kerana pemilik syarikat telah mengaku bersalah.
Peguam tertuduh David Gurupatham mengesahkan keputusan prosiding yang dibuat di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.
"Saya percaya bahawa keadilan telah dilaksanakan. Saya harap keputusan itu dapat menamatkan isu yang telah menarik perhatian orang ramai dan kita boleh bergerak ke hadapan.
"Syarikat dan pengarahnya telah banyak menderita selama 124 hari ini. Dengan boikot, ancaman, insiden yang melibatkan seramai molotov cocktail, sudah tiba masanya untuk meneruskan kehidupan," kata Gurupatham kepada BenarNews.
Gambar stoking tertera kalimah Allah yang dijual di kedai serbaneka KK Super Mart di Bandar Sunway, Selangor tular di media sosial pada 13 Mac hingga mencetuskan kritikan, boikot dan insiden keganasan selepas pihak berkuasa menemui produk buatan China itu di premis berkenaan.
Kedua-dua syarikat dan individu-individu terbabit pada 17 Mei lepas telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi mengkaji pertuduhan terhadap mereka.
Pengalaman pahit
Selepas keputusan mahkamah itu, pengasas KK Mart, Chai mengakui beliau tidak pernah membayangkan terpaksa melalui pengalaman pahit yang memberikan tekanan dan ketidakpastian besar kepada dirinya, rakan sekerja dan perniagaan.
"Hari ini adalah hari penting kepada saya selepas empat bulan atau lebih tepat 124 hari apabila saya, isteri, keluarga, rakan dan syarikat mengalami kesengsaraan akibat kes ini. Ia bukan sesuatu perjalanan yang mudah,” luahnya.
Sambil berterima kasih kepada rakan-rakan sekerja dan sahabat handai atas dukungan berterusan mereka, Chai berkata beliau berasa bertuah kepada menerima sokongan daripada rakyat berbilang kaum dan agama, baik di Malaysia mahupun luar negara.
“Saya harap keputusan ini menandakan berakhirnya insiden tersebut,” katanya sambil menambah bahawa beliau akan membayar denda itu pada Selasa.
Pada 13 Mac dan sekali lagi pada 16 Mac, pengasas KK Super Mart 24 jam telah memohon maaf atas kesilapan mereka kerana menjual stoking berkalimah Allah yang menyinggung perasaan umat Islam dan bertindak menghentikan serta-merta penjualan produk itu.

Bagaimanapun, isu itu telah memecahbelahkan ahli politik kerajaan dalam Pakatan Harapan-Barisan Nasional (BN) tentang sama ada KK Super Mart patut diboikot atau sebaliknya.
Ketua Pemuda Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Muhammad Akmal Salleh menggerakkan kempen bersama orang ramai agar memboikot kedai serbaneka itu.
Berbeza pula Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Anthony Loke berkata syarikat tersebut telah meminta maaf, maka pemimpin politik harus bertenang.
Seminggu kemudian, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata: “Pendirian saya jelas. Ada laporan, garisan telah dilanggar dan mesti ada tindakan. Namun selepas undang-undang dilaksanakan, kita perlu bergerak ke hadapan.”
Pada 26 Mac, Chai dan Loh didakwa di hadapan Hakim Muhamad Anas mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Pada hari yang sama, polis melaporkan sebuah kedai serbaneka KK Super Mart di Bidor, Perak telah dilempar bom Molotov.
Selepas itu, dua lagi kedai serbaneka itu di Sungai Isap, Kuantan, Pahang [29 Mac] dan di Kuching, Sarawak [31 Mac] turut diserang dengan bom petrol.
Pada 3 April, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan semua pihak termasuk KK Mart perlu lebih berhati-hati dengan produk yang dijual di kedai mereka.
Baginda bertitah perkara itu termasuk barangan import bagi mengelak kejadian sama berulang.
Agama merupakan isu sensitif di Malaysia, di mana kaum Melayu Islam menyumbang dua pertiga populasi daripada 34 juta penduduknya dengan jumlah etnik minoriti Cina dan India yang besar.
Akmal dalam hantaran di Intagram mengulas bahawa pendakwaan tidak mahu meneruskan pertuduhan terhadap pemilik rangkaian kedai serbaneka KK Mart dan tiga pengarah pembekal Xin Jian Chang yang terlibat dalam penjualan stokin tertera kalimah "Allah".
“Pengarah dilepas dan dibebaskan. Tahniah dan beri tahniah. Rakyat mampu menilai," katanya dalam nada sinis berkemungkinan menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan itu.
Bagaimanapun, seorang pengguna media sosial, Abdullah Karim memberikan reaksi balas terhadap komen Akmal itu dengan menyatakan: "Yang Berhormat tak faham undang-undang. Syarikat KK Mart dan pengedar sudah mengaku bersalah. Mereka telah dijatuhkan hukuman.
"Jadi bila syarikat akhirnya mengaku bersalah, sebab itu pendakwaan ke atas pengarah ditarik balik. Inilah namanya plea bargaining yang ada dalam sistem undang-undang."
"Kalau nak teruskan jugak pertuduhan kepada (terhadap) pengarah-pengarah secara individu, macamana nak buktikan yang pengarah dan pengasas KK Mart sendiri yang order, bungkus dan jual stoking itu?"
Sementara itu, M Fakhrurrazi menulis di laman X: "Agaknya, bila pihak berkuasa nak ambil tindakan ke atas individu yang cuba bakar KK Mart? Senyap je."