Malaysia tolak tawaran tuan rumah Sukan Komanwel 2026
2024.03.22
Kuala Lumpur

Kerajaan Malaysia pada Jumaat menolak tawaran untuk menganjurkan Sukan Komanwel 2026 selepas penilaian mendapati geran bantuan sebanyak £100 juta (AS$127.93 juta) yang disediakan oleh Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) adalah tidak mencukupi untuk menampung kos temasya sukan sebesar itu, menurut Menteri Belia dan Sukan.
CGF telah menawarkan Malaysia untuk menjadi tuan rumah berserta geran itu selepas penganjur asal iaitu Victoria, Australia menarik diri pada Julai lalu susulan kebimbangan mengenai kos.
"Keputusan telah dibuat oleh Jemaah Menteri hari ini. Malaysia tidak setuju terima tawaran tuan rumah Sukan Komanwel 2026," kata Hannah Yeoh dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), keputusan tersebut diambil setelah kerajaan meneliti semua aspek penganjuran dan implikasi, termasuk impak ekonomi yang tidak dapat dikenal pasti dalam jangka masa singkat.
Kenyataan itu memberitahu, Yeoh bersama Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan telah mengadakan pertemuan dengan delegasi CGF pada 5 Februari lepas bagi membincangkan tawaran sebelum menteri sukan itu membentangkan hasil penilaian mereka kepada Jemaah Menteri.
"Hasil pertemuan itu dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan antara lain mengutarakan tawaran CGF berjumlah £100 juta dijangka tidak mampu menampung kos keseluruhan penganjuran temasya sukan berskala besar," kata KBS.
Nafi tolak peluang
Sementara itu, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil dalam satu sidang media di Putrajaya menafikan kerajaan telah menolak satu peluang untuk menjana pendapatan negara dengan keputusan tersebut.
Kata beliau, KBS telah membuat analisis terperinci mengenai daya maju penganjuran temasya tersebut dan mendapati bahawa ia membabitkan kos besar selain masa yang terlalu suntuk untuk bagi membuat persiapan.
"Masanya sangat suntuk. Dengan tempoh hanya dua tahun untuk membuat persediaan, kita memang tidak mampu untuk melaksanakannya.
"Ini bukan satu bentuk peluang yang terbazir kerana kita tidak melihatnya sebagai peluang. Lainlah jika ia sesuatu yang memang kita rancangkan. Kita hanya bersikap realistik mengenai hala tuju negara serta sumber yang kita ada termasuk masa," kata Fahmi.
Pada Khamis, Yeoh memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan mungkin menolak penganjuran sukan itu sekiranya wang pembayar cukai terpaksa digunakan sebagai tambahan kepada geran yang ditawarkan.
Kata beliau, KBS mencadangkan agar perbelanjaan penganjuran tidak melebihi geran yang diterima sekiranya Malaysia bersetuju menjadi tuan rumah.
Sambut baik
Keputusan tersebut disambut baik oleh bekas pengerusi badan penganjuran Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998, Hashim Mohd Ali yang sebelum ini turut menyatakan tidak setuju dengan tawaran dikemukakan oleh CGF.
Beliau bimbang Malaysia tidak berada pada kedudukan terbaik dari segi masa untuk membuat persediaan iaitu dalam tempoh dua tahun selain langkah penjimatan sedang dilakukan oleh kerajaan sekarang.
Laporan media tempatan menyebut, Ayub Rahmat, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (MWF) kecewa dengan keputusan kerajaan menolak tawaran menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026, berkemungkinan dibuat atas bantahan pihak tertentu yang bimbangkan tentang faktor ekonomi.
Atlet angkat berat negara secara konsisten menyumbang pingat emas dalam edisi baru-baru ini dan berminat untuk melihat temasya sukan empat tahun sekali itu diadakan di negara itu.
Atlet negara Aniq Kasdan dan Aznil Bidin memenangi pingat emas dalam acara angkat berat, manakala Erry Hidayat meraih perak dalam Sukan Komanwel Birmingham 2022.
"Apabila Malaysia menjadi tuan rumah temasya itu pada 1998, krisis ekonomi juga berlaku. Sejak tahun itu, kedudukan kami bertambah baik," katanya.
Hormati keputusan
Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) Maradana Chok pula menghormati keputusan yang dibuat oleh kerajaan itu dengan mahu memberikan fokus kepada membangunkan atlet bertaraf dunia yang mampu membuahkan pingat sama ada menganjurkan pertandingan atau tidak.
Pengumuman penolakan tawaran tersebut mendapat reaksi positif daripada orang ramai yang rata-ratanya memuji keputusan kerajaan.
"Keputusan yang tepat. Ini bukan masanya untuk kita nak tunjuk hebat. Tunggulah giliran kita untuk jadi tuan rumah akan sampai juga," kata pengguna Facebook, Ahmad Fauzi.
Seorang lagi pengguna Facebook, Abdul Manaf Ehpan berkata walaupun sukan adalah aktiviti yang bagus, negara juga perlu berjimat cermat.
"Keputusan terbaik kerajaan. Ini baru Malaysia Negaraku. Kita perlu berjimat cermat. Kos anjurkan terlalu tinggi melibatkan duit banyak. Rakyat sedang 'struggle' (kesempitan hidup), sukan bagus tapi jika boleh elak pembaziran lagi terbaik," kata beliau.
KH Wong pula percaya ekonomi negara akan menjadi semakin parah sekiranya kerajaan memilih untuk menganjurkan Sukan Komanwel 2026.
"Menganjurkan temasya tersebut akan menambahkan kesuraman ekonomi kita yang sudah sedia lemah. Lebih baik kita mencari jalan lain yang kurang berisiko untuk membayar balik hutang negara yang mencecah RM1.5 trilion daripada menganjurkan sukan itu," katanya.