COVID-19: Malaysia Guna Kontena Khas Sebagai Ruang Simpan Mayat
2021.05.17
Kuala Lumpur

Pihak berkuasa kesihatan Malaysia buat pertama kalinya menempatkan sebuah kontena peti sejuk di perkarangan hospital utamanya dalam memerangi pandemik COVID-19, ekoran kekurangan ruang dalam bilik mayat disebabkan peningkatan mendadak jumlah kematian berkaitan koronavirus terutamanya di negeri Selangor.
Tindakan itu dibuat ketika negara mencatatkan rekod tertinggi kes kematian COVID-19 sebanyak tiga kali dalam tempoh enam hari -- iaitu sebanyak 39 kematian pada 12 Mei, 44 kematian pada Sabtu (15 Mei), dan 45 kematian pada Isnin (17 Mei).
Dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada lewat malam Ahad memuatnaik dua keping gambar menunjukkan kontena khas itu telah diletakkan di kawasan tempat letak kereta di hadapan Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh di Selangor, dan menyatakan bahawa tindakan tersebut terpaksa diambil ekoran jumlah kes kematian yang tinggi.
"Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh terpaksa menyediakan kontena khas sebagai tambahan tempat penyimpanan jenazah atau mayat yang meninggal dunia kerana COVID19," kata kementerian itu.
Hantaran tersebut disusuli dengan pesanan daripada KKM mengenai kumpulan berisiko tinggi terdiri daripada warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi, yang merupakan golongan paling ramai telah mati disebabkan jangkitan koronavirus.
"Lebih 80 peratus kematian akibat jangkitan COVID-19 di negara ini adalah daripada golongan berusia dan menghidap lebih satu penyakit kronik atau komorbiditi. Kebanyakan mereka mendapat jangkitan daripada ahli keluarga terdekat.
"Jika anda tinggal bersama golongan berisiko tinggi, lindungi diri anda untuk anda melindungi mereka," kata KKM.
Difahamkan bahawa kontena tersebut mampu memuatkan kira-kira 16 jenazah atau mayat mereka yang dijangkiti COVID-19 pada satu masa.
Menteri Kesihatan Adham Baba ketika ditanya dalam satu sidang media pada Isnin berkata tindakan menempatkan kontena tersebut adalah sebagai satu persiapan, bagi menempatkan mayat sebelum proses pengebumian dapat dijalankan.
"Sebenarnya ia dibuat sebagai persiapan supaya lebih banyak ruang penempatan jenazah sebelum proses pengkebumian dapat dijalankan. Ini kerana menguruskan jenazah COVID-19 tidak semudah jenazah kes biasa," kata beliau.
Setakat tengah hari Isnin, statistik dikeluarkan KKM menunjukkan 474,556 kes kumulatif positif COVID-19 direkodkan dalam negara, dengan 43,506 kes aktif semasa.
Jumlah kumulatif kematian berkaitan pandemik pula adalah 1,947 termasuk 45 yang direkodkan pada Isnin.
Situasi pandemik di Malaysia kembali menjadi buruk pada pertengahan April apabila bilangan kes harian mula mencatatkan peningkatan melebihi angka dua ribu.
Sebelum itu, trend kes harian telah menunjukkan penurunan sejak awal Mac hingga ia berjaya turun hingga ke paras bawah 1,000 pada 29 Mac dengan 941 kes.
Bilangan kes kematian harian pula mencatatkan peningkatan berterusan bermula 21 April dengan 11 kes dan terus berada dalam julat dua angka setiap hari sejak itu.
Angka itu melonjak kepada 39 kematian pada 12 Mei lalu, iaitu sehari sebelum umat Islam Malaysia menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Pada Sabtu lepas, negara sekali lagi merekodkan jumlah kematian pandemik yang tertinggi sejak COVID-19 dikesan pada tahun 2020 dengan 44 kes, sebelum meningkat kepada 45 orang pada Isnin.
Selangor merupakan penyumbang bilangan kematian terbesar pada dua hari berkenaan, iaitu sebanyak 26 kes pada Sabtu, dan 20 kes pada Isnin.
Secara kumulatif, Selangor juga adalah negeri yang merekodkan jumlah kematian tertinggi berkaitan pandemik dengan 513 kes, diikuti oleh Sabah (450), dan Sarawak (225).
Hospital medan ATM
Sementara itu, Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata, sebuah hospital medan dibawah seliaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di mana wad Unit Rawatan Rapi (ICU) akan mula beroperasi mula Selasa di perkarangan Hospital Kepala Batas, di Pulau Pinang, susulan peningkatan kes COVID-19 di negeri tersebut.
Katanya, wad ICU medan itu boleh memuatkan seramai 18 pesakit bukan COVID-19.
"Buat permulaan, kita akan memuatkan 18 katil pesakit ICU berbanding jumlah maksimum 24 katil yang boleh dimuatkan.
"Tiga pegawai dan 30 kakitangan lain-lain pangkat daripada 2 Batalion Perubatan akan ditempatkan di wad berkenaan," katanya pada Isnin.
Seramai 23,937 orang di negeri itu telah disahkan positif koronavirus manakala 42 kematian direkodkan sejak tahun lalu.
Kes aktif pula mencatatkan jumlah 1,689 di negeri itu, demikian mengikut rekod yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang di laman Facebook rasminya pada Isnin.
ATM telah membuka empat buah hospital medan masing-masing di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Selangor; Pokok Sena, Kedah; Tawau, Sabah dan Kapit, di Sarawak dengan yang terbaharu di Pulau Pinang.