Kajian Perubatan Di Malaysia Kaitkan Koronavirus Anjing, Kucing Kepada Manusia

Namun, seorang pakar perubatan menyatakan orang ramai tidak perlu bimbang mengenainya kerana belum ada jangkitan itu berlaku dari manusia kepada manusia.
Hadi Azmi & S. Adie Zul
2021.05.24
Kuala Lumpur
Kajian Perubatan Di Malaysia Kaitkan Koronavirus Anjing, Kucing Kepada Manusia Dua anjing pengesan Labrador, Lucky dan Flo, menemukan cakera video padat (DVD) tersembunyi di dalam sebuah kotak di Malaysia Airlines Cargo semasa demonstrasi dilakukan di Sepang, Malaysia, 13 Mac 2007.
[Reuters]

Orang ramai tidak perlu bimbang dengan koronavirus jenis baru yang ditemukan pada pesakit pneumonia di Malaysia kerana saintis belum membuktikan ia boleh menyebabkan orang jatuh sakit atau boleh dijangkiti dari manusia kepada manusia, kata seorang ahli virologi dari negara Asia Tenggara itu pada Isnin.

Para saintis mengetahui adanya tujuh koronavirus yang boleh menjangkiti manusia - termasuk SARS-CoV2, yang telah tersebar di seluruh dunia dan mewujudkan beberapa varian yang merupakan sebahagian daripada pandemik COVID-19. SARS-CoV2 adalah satu daripada tiga koronavirus berpunca daripada haiwan yang menyebabkan berlakunya wabak penyakit dalam kalangan manusia sejak 20 tahun lalu, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS).

Yahya Mat Arip, seorang pakar virologi dan imunologi di Universiti Sains Malaysia, berkata koronavirus memang dihidapi oleh haiwan dan pandemik COVID-19 telah menimbulkan minat terhadap penemuan dalam sebuah kajian baru-baru ini.

"Pada masa ini, orang ramai tidak harus bimbang kerana belum ada jangkitan manusia kepada manusia daripada koronavirus anjing," kata Yahya kepada BenarNews.

Para penyelidik menyatakan koronavirus jenis baru yang ditemukan dalam calitan hidung dan tekak lapan pesakit pneumonia atau radang paru-paru di Sarawak - sebuah negeri di Borneo Malaysia - kemungkinan berpunca daripada anjing atau kucing. Tetapi, tidak jelas sama ada virus itu menyebabkan berlakunya radang paru-paru yang dihidapi lapan pesakit di hospital di Sarawak pada 2017 dan 2018.

“Ini adalah laporan pertama berhubung alphacoronavirus rekombinan anjing-kucing yang diasingkan daripada pesakit pneumonia manusia. Sekiranya disahkan sebagai patogen, ia mungkin mewakili coronavirus kelapan yang unik yang diketahui menyebabkan penyakit dalam kalangan manusia. Penemuan kami menunjukkan adanya ancaman kesihatan awam oleh CoV haiwan dan memerlukan pemantauan lebih baik terhadapnya,” menurut abstrak artikel itu yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Clinical Infectious Diseases pada 20 Mei.

Para penyelidik yang terlibat dalam kajian itu menyatakan bahawa kebanyakan pesakit mempunyai kaitan sama.

"Kebanyakan pesakit adalah kanak-kanak yang tinggal di luar bandar dengan kerap terdedah kepada binatang peliharaan dan hidupan liar," menurut laporan itu.

Para penyelidik di seluruh dunia perlu memberi tumpuan kepada haiwan peliharaan dan mereka yang bekerja dengan haiwan," kata Gregory Gray yang merupakan seorang daripada penulis kajian itu.

"Saya rasa mesej utama di sini ialah perkara sebegini mungkin berlaku di seluruh dunia, di mana orang bersentuhan dengan haiwan terutamanya sentuhan yang amat rapat dan kita tidak mengendahkan tentangnya," kata Gray, seorang ahli epidemiologi penyakit berjangkit di Duke University.

“Kita harus melihat kepada perkara sebegini. Sekiranya kita dapat mengesannya lebih awal dan mengetahui bahawa virus ini berjaya menyusup masuk hos manusia, maka kita dapat membendungnya sebelum ia menjadi virus pandemik,” jelasnya.

Yahya berkata koronavirus baru itu boleh menyebabkan kesan negatif terhadap manusia.

"Ya, ada kemungkinan virus itu bermutasi lebih mendalam tetapi pada masa ini, tidak ada apa yang perlu dibimbangkan," kata Yahya. "Fakta menarik dalam kes di Sarawak adalah koronavirus anjing itu ditemukan pada manusia, yang menunjukkan bahawa virus itu boleh berada dalam hos baru."

Beliau menarik perhatian kepada kes-kes di mana virus bermutasi.

"Contoh yang bagus adalah virus influenza di mana campuran virus influenza antara babi dan burung yang kemudian menjangkiti manusia menyebabkan penyakit dihidapi manusia," katanya.

Ketika ditanya mengenai kajian itu, seorang jurucakap Kementerian Kesihatan Malaysia memberitahu bahawa pihaknya belum bersedia untuk mengulasnya.

"Setakat ini, kami belum mengeluarkan sebarang kernyataan mengenai perkara itu," kata jurucakap tersebut kepada BenarNews tanpa mengulas lanjut.

Malaysia mengalami gelombang terbaru pandemik COVID-19 dengan kes jangkitan berjumlah 6,509 pada Isnin berbanding 6,976 kes pada Ahad, menurut Jabatan Kesihatan. Sebanyak 61 kematian dicatatkan pada Isnin yang merupakan jumlah kematian harian paling tinggi. Setakat ini, jumlah kematian adalah sebanyak 2,309.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.