Tapak di Putrajaya Dipilih Sebagai Pusat Keamanan Dibiayai Saudi

Hata Wahari
2017.07.11
170711-MY-center-620.jpg Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Asyraf Wajdi Dusuki (dua dari kanan), sedang mendengar penerangan di tapak yang telah dipilih untuk pembinaan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di Putrajaya, 11 July 2017.
[Ihsan Asyraf Wajdi Dusuki]

Pusat Anti-keganasan Malaysia yang akan mengambil pendekatan bakal dibiayai oleh Arab Saudi, akan ditempatkan di kawasan seluas 40 ekar (16 hektar) di Putrajaya.

Mengumumkan perkembangan itu selepas mengadakan pertemuan dengan seorang pegawai Arab Saudi di kediaman rasminya, Perdana Menteri Malaysia Najib Razak juga menegaskan kepentingan hubungan dua hala dengan kerajaan yang kaya dengan minyak itu.

"Pembinaan KSCIP [Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman] di Putrajaya mencerminkan kepentingan institusi tersebut. Malah, Putera Mahkota Arab Saudi sendiri akan berangkat ke Malaysia untuk melancarkan pusat itu bersama saya," kata Najib, demikian menurut agensi berita Bernama.

"Ini kerana Raja Salman boleh memilih mana-mana negara lain untuk membina pusat itu, sebaliknya Penjaga Dua Masjid Suci itu memilih negara ini."

Bangunan baru itu akan menempatkan pusat anti-keganasan ketiga yang akan dibina di sebuah tapak di Putrajaya, yang terletak kira-kira 24 km (15 batu) dari Kuala Lumpur. Kerajaan mempunyai tempoh dua tahun untuk membinanya. Pusat itu mula beroperasi dari bangunan sementara di Kuala Lumpur pada akhir Mei lalu, kata Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein.

Penubuhan pusat itu diumumkan pada 1 Mac lepas, semasa Raja Salman melawat Malaysia. Seperti yang diumumkan pada masa itu, rancangan berkenaan pada mulanya, bercadang untuk menempatkan pusat baru itu di kampus Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan - 45 km (28 batu) dari pusat bandar Kuala Lumpur - menurut Naib Canselor USIM Musa Ahmad.

Pada Selasa, Asyraf Wajdi Dusuki, seorang timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pusat, melawat tapak Putrajaya. Pegawai kementerian belum mengeluarkan kiraan kos untuk projek itu.

"Insya-Allah, mesyuarat jawatankuasa khas di Jeddah, Arab Saudi, minggu depan akan berbincang mengenai pembinaan dengan lebih terperinci," katanya kepada BeritaBenar.

Pusat ketiga

Bagaimanapun, seorang anggota parlimen dari pembangkang mempersoalkan mengenai perlunya pusat anti-keganasan ketiga di Malaysia.

Malaysia yang telah memberi amaran kepada rakyatnya sejak dua tahun lalu mengenai ancaman dari pengambilan belia tempatan oleh militan negara Islam dan plot keganasan IS di negara itu, sudahpun mempunyai pusat mesej digital anti ekstremis dalam talian yang diawasi oleh Polis Diraja Malaysia . Ia juga mempunyai Pusat Serantau Asia Tenggara untuk Anti-Keganasan yang beroperasi di bawah Kementerian Luar Negeri dengan bantuan dari Jabatan Negara Amerika Syarikat.

KSCIP akan memberi tumpuan kepada pendekatan akademik untuk mengambil dan menyingkirkan organisasi keganasan, ikrar pemimpin kerajaan. Pusat itu merupakan perkongsian yang melibatkan Pusat Perang Intelektual Kementerian Pertahanan di Arab Saudi, Pusat Keselamatan dan Pertahanan di Kementerian Pertahanan Malaysia, Liga Dunia Islam dan USIM.

Mohamad Imran Abdul Hamid, bekas Laksamana Tentera Laut Diraja Malaysia yang kini merupakan seorang anggota parlimen pembangkang, mempersoalkan kenyataan terbaru perdana menteri mengenai pusat yang dibiayai oleh Arab Saudi itu.

"Pengumuman itu merupakan usaha untuk memperkuatkan kedudukan politik Najib dan menggambarkan hubungan erat dengan Arab Saudi," katanya kepada BeritaBenar. "Pengumuman ini hanyalah untuk mengaburkan mata rakyat Malaysia bahawa dia [Perdana Menteri] mempunyai hubungan baik dengan Arab Saudi dan kerajaan dunia lain."

Sementara itu, seorang penganalisa pertahanan mengatakan beliau tidak dapat melihat rasional bagi Malaysia untuk menubuhkan satu lagi pusat anti-keganasan di negara itu.

"Kerajaan telah menubuhkan satu bahagian komunikasi digital strategik di bawah pengawasan Pusat Serantau Asia Tenggara untuk Anti-Keganasan dan Pusat Mesej Digital Anti Ekstremis di bawah Polis Diraja Malaysia untuk menangani naratif palsu di dalam media sosial," kata penganalisa, Lam Choong Wah.

"Apakah pentingnya untuk membina pusat keselamatan di Putrajaya?" Lam, bekas fellow kanan di Institut Penyelidikan Kemajuan Sosial, memberitahu BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.