Lelaki Ceroboh Kuil Hindu Bukan Anggota Militan

Fahirul N. Ramli
2016.04.25
Kuala Lumpur
160425-my-igpkuil620 Masyarakat Hindu berkumpul di hadapan kuil Sree Muneeswaran Amman Kovil yang terletak di Jalan Hospital, Ipoh, Perak, 25 April 2016.
Fahiral N. Ramli/BeritaBenar

Pihak berkuasa Malaysia menafikan seorang lelaki yang ditahan selepas menceroboh dan memecahkan patung di sebuah kuil di Ipoh, Perak adalah seorang anggota kumpulan militan Negara Islam (IS), dengan Ketua Polis Negara meminta masyarakat Hindu bertenang dengan insiden yang berlaku pada petang Ahad itu.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar semasa dihubungi BeritaBenar pada Isnin berkata, lelaki berusia 29 tahun itu adalah seorang pesakit mental yang sebelum ini menerima rawatan berhubung penyakitnya, juga  seorang doktor di Hospital Besar Ipoh, yang baru dipecat majikannya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Perak, Abdul Rahim Hanafi mengesahkan bahawa lelaki berkenaan juga bukannya seorang anggota kumpulan militan seperti yang tersebar melalui khabar angin.

“Siasatan juga mendapati lelaki berkenaan bukanlah anggota atau penyokong mana-mana kumpulan militan seperti yang diperkatakan oleh orang awam,” kata Abdul Rahim semasa dihubungi BeritaBenar dari Kuala Lumpur.

Sementara itu, Khalid meminta masyarakat India supaya bertenang dan tidak bertindak di luar batasan undang-undang. Beliau juga menolak bahawa kejadian itu bersifat perkauman atau keagamaan, tetapi merupakan kes luar biasa "di mana seorang doktor menjadi kurang siuman".

"Polis juga telah berhubung dengan pemimpin-pemimpin masyarakat India di sekitar ibu negeri Perak , Ipoh untuk menjelaskan keadaan sebenar," tambah Khalid lagi.

Pada kejadian 5 petang Ahad itu, lelaki itu memandu sebuah kereta buatan Malaysia-Proton Iriz yang menceroboh kuil Sree Muneeswaran Amman Kovil sebelum turun dengan parang dan mula menghancurkan patung dewa Hindu di situ.

Difahamkan, selain daripada empat patung 'malaikat' Hindu dan cermin pintu masuk hadapan kuil itu musnah, lelaki yang mengamuk dengan motif tidak diketahui itu turut memusnahkan sembilan patung dewa Navagraham (sembilan planet sistem solar) sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.

Kereta yang dipercayai dipandu oleh suspek dengan dua bendera dikaitkan dengan kumpulan pengganas pada kenderaan itu. Beliau kemudiannya merempuh perhentian bas berdekatan sebelum ditahan Polis di Ipoh, Perak, 25 April 2016.

 


Kereta yang dipercayai dipandu oleh suspek dengan dua bendera dikaitkan dengan kumpulan pengganas pada kenderaan itu. Beliau kemudiannya merempuh perhentian bas berdekatan sebelum ditahan Polis.

 

 

‘Hospital Bahagia’

Suspek kemudiannya ditahan Polis selepas cuba melanggar perhentian bas berhampiran dan polis menemui dua bendera yang berwarna hitam dan putih dengan tulisan Arab yang dipercayai bendera kumpulan IS.

Terdahulu itu semasa sidang media bersama media tempatan Khalid berkata, suspek telah direman pada Isnin di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menghasut permusuhan agama.

"Kertas siasatan kertas juga akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya manakala lelaki berkenaan telah dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, [sebuah hospital pesakit jiwa] untuk dinilai," katanya seperti dilaporkan media tempatan.

Dalam pada itu, Pengerusi Hindu Rights Action Force (Hindraf) P. Waytha Moorthy meminta "Ketua Polis Negara untuk tidak mengetepikan kejadian ini sebagai tindakan seseorang yang mengalami gangguan mental " kerana katanya kejadian itu boleh menimbulkan keresahan dan ketegangan kaum.

Sementara itu, seorang pegawai kuil memberitahu BeritaBenar kerosakan kuil berkenaan berjumlah lebih RM15,000.

Media tempatan melaporkan kerajaan negeri Perak berjanji akan menyalurkan wang sebanyak RM30,000 kepada kuil Sree Muneeswarar Amman Kovil untuk dibaik pulih akibat insiden itu, seperti kata Pengerusi Jawantankusa Kesihatan, Pengangkutan, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampong Baru Negeri, Dr Mah Hang Soon mengesahkan mengenainya lewat petang Isnin.

Mah memberitahu peruntukan itu adalah kerja baik pulih termasuk upacara keagamaan.

Beliau berkata, lelaki berkenaan sebelum ini telah didiagnosis dengan gangguan bipolar, diambil bekerja oleh hospital kerajaan itu, hanya selama lima hari sebelum mendapat notis pemecatan 24 jam pada 22 April lepas.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.