Lanun Indonesia Cuba Rampas Tangki Dihukum Penjara 16 Tahun

Ray Sherman
2017.09.20
Kuala Lumpur
170920-my-lanun-620.jpg Seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (tengah) menunjuk objek yang ditemui semasa menjalankan operasi menyelamat di perairan Johor, 24 Ogos 2017.
AFP

Sebelas lanun dari Indonesia dijatuhi hukuman penjara 16 tahun setiap seorang setelah mengaku bersalah merampas sebuah kapal tangki minyak Thailand di perairan pantai timur Terengganu, awal bulan ini.

Tujuh daripada sebelas tertuduh, yang berumur di bawah 50 tahun, turut menerima hukuman lima kali sebatan setiap seorang selepas kes itu didengar di dua sesi mahkamah berasingan di Kuala Terengganu pada Rabu.

Heinrick Piterson Parera, 59, dalang di dalam kes rampasan kapal berkenaan, mengaku bersalah sebelum hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz menjatuhi hukuman terhadapnya.

Heinrick mengaku bersalah berkomplot dengan sepuluh orang lagi lanun, dengan tiga orang lagi masih bebas, memberi arahan daripada sebuah hotel bajet di negeri Johor pada 6 Sept untuk merompak kapal tangki tersebut.

Sepuluh orang lelaki itu didakwa melakukan rompakan geng terhadap 'kapal MT MGT-1' yang mempunyai seramai 14 orang anak kapal dengan menggunakan pisau dan pedang, di perairan Terengganu, kira-kira pada pukul 8.30 malam pada 6 Sept lalu.

Anne Raja, Arsito Mohd Hardi, Kreston Muhaling, La Abu, Bram Ali, Luther Marnis Zachawerus, Badiun, Meidy Hermanus Wajongkere, Rollan Kapahese and Oktemi Supri, yang kesemuanya berusia antara 31 dan 54, telah dijatuhi hukuman 16 tahun penjara oleh Hakim Rofiah Mohamad.

Empat daripada sebelas lelaki, yang berumur 50 tahun keatas, termasuk dalangnya Heinrick, terselamat daripada hukuman rotan, manakala tujuh yang lain dijatuhkan hukuman lima sebatan setiap seorang.

Kapal tangki milik Marine Global Transport, sebuah syarikat berdaftar di Thailand sedang membawa 2.2 juta liter diesel bernilai RM7 juta (AS$1.66 juta) bersama 14 anak kapal, dilaporkan hilang di Laut China Selatan, menurut kertas pertuduhan.

Ketika menjatuhi hukuman berkenaan, Hakim Rofiah memberitahu kesemua lelaki itu bahawa mereka seharusnya menganggap diri mereka bertuah kerana senjata yang digunakan mereka semasa melakukan rampasan, tidak dijumpai.

Suspek, dalam mitigasi berkenaan menyatakan kesesalan terhadap tindakan mereka itu dan memohon supaya dikenakan hukuman yang lebih rendah kerana mempunyai keluarga di Indonesia.

Pendakwaraya bagi kes itu ialah Nurul Farahah Mohd Suah manakala kesemua tertuduh tidak diwakili.

Mengikut fakta kes tersebut, Heinrick memantau pergerakan kapal tangki minyak itu selama dua bulan melalui Sistem Lalu Lintas Marin dan Pengangkutan Kapal dalam talian, dari sebuah hotel, sebelum mengarah pasukannya untuk melakukan rompakan tersebut.

Seorang nelayan yang kebetulan berada di kawasan kejadian pada 6 Sept lepas telah memaklumkan mengenai kejadian itu kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) setelah melihat sekumpulan lanun cuba menaiki kapal tangki berkenaan pada lewat petang.

Beberapa jam selepas menerima laporan berkenaan, anggota Pasukan Khas APMM telah menjalani operasi mengesan kapal tangki itu serta berjaya menahan sepuluh suspek yang terlibat manakala Heinrick, ditangkap beberapa jam kemudian di sebuah hotel.

Tiga lagi suspek yang terlibat dalam komplot rampasan berkenaan melarikan diri dengan bot laju. Usaha pihak berkuasa untuk mengejar mereka bagaimanapun gagal selepas helikopter penguatkuasan yang digunakan dalam operasi tersebut kehabisan bahan api, menurut APMM.

Ketiga-tiga yang disyaki dan melarikan diri masih belum ditangkap, kata seorang pegawai APMM kepada BeritaBenar pada Rabu.

Kejayaan Malaysia itu mendapat pujian pengarah sebuah kumpulan serantau yang membanteras lanun.

"Dengan pelaku  ditahan dan anak kapal serta kapal diselamatkan dengan pantas selepas beberapa jam dilaporkan, membuktikan keberkesanan laporan yang tepat pada waktu oleh kapal itu selain penguatkuasaan yang berkesan oleh pihak berkuasa yang berkaitan," kata Masafumi Kuroki, pengarah eksekutif Perjanjian Kerjasama Serantau bagi Memerangi Lanun dan Rompakan Bersenjata Terhadap Kapal di Asia (ReCAAP).

ReCAAP berkata cubaan rampasan itu adalah kejadian kedua melibatkan kapal tangki yang membawa kargo minyak di Asia pada 2017. Lanun telah merampas kira-kira 1.5 juta gelen diesel dari sebuah kapal tangki Thailand yang belayar dari Singapura ke selatan Thailand pada 23 Jun.


Hata Wahari turut menyambut kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.