Malaysia Tahan 14 Lanun Rompak Kapal Minyak Di Perairan Johor
2018.06.01
Kuala Lumpur, Malaysia

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia pada Jumaat berjaya menahan 14 orang lanun yang merompak sebuah kapal tangki minyak Mongolia, MT Lee Bo di perairan Mersing, Johor, demikian kata Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaya [APMM], Laksamana Maritim Zulkefli Abu Bakar.
Katanya, 14 lanun yang dipercayai dari pelbagai warganegara ditahan dalam satu operasi oleh Pasukan Tindakan Khas APMM selepas menerima laporan berlakunya rompakan keatas kapal tangki pada pukul 4 pagi.
“Laporan yang diterima oleh APMM mengatakan bahawa kapal MT Le Bo itu telah dirompak oleh lanun, dan atas maklumat tersebut pasukan khas telah dihantar dan berjaya menjejaki kapal tersebut, di 25 batu nautika dari pantai Mersing yang masih dalam kawasan perairan Malaysia,” tambah Zulkefli.
Katanya lagi, lanun-lanun itu menggunakan kapal bernama MT Bright untuk merompak minyak dari kapal-kapal tangki yang beroperasi dari Selat Singapura ke Laut China Selatan.
“Penahanan ini adalah susulan daripada penerimaan maklumat risikan mengenai sekumpulan perompak sedang merompak kapal tangki MT Lee Bo, sehubungan itu APMM telah mengarahkan kapal APMM KM Sebatik yang ketika itu sedang melakukan Operasi Pagar Laut untuk mengesan kapal tangki MT Lee Bo,” katanya lagi.
Beliau memberitahu, pihak berkuasa Indonesia pula telah berjaya menahan dua lelaki di Batam, Indonesia yang dipercayai perancang utama bagi kes rompakan ini.
Jelasnya, penahanan dua individu berusia 40 dan 50 tahun itu dilakukan pada jam 9.30 pagi (waktu Malaysia) iaitu sejurus selepas APMM Malaysia menangkap kesemua perompak kapal MT Lee Bo.
APMM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tentera Nasional Indonesia yang telah bekerjasama dengan Bahagian Perisikan Maritim Malaysia sehingga membawa kepada penahanan berkenaan.
Zulkefli berkata suspek yang ditahan turut merompak semua barangan peribadi dan wang tunai milik anak kapal MT Lee Bo yang terdiri dari jurugan dan 12 kru, iaitu enam warganegara Indonesia dan enam lagi warganegara Sri Lanka.
Tambah beliau, lanun-lanun itu telah menggunakan senjata tajam seperti parang serta pisau terhadap anak kapal yang cuba melawan hingga mendatangkan kecederaan semasa rompakan berlaku.
“Kapal APMM, KM Sebatik telah dapat mengesan kapal yang digunakan oleh lanun tersebut pada pukul 4.40 pagi dan terus menghantar tujuh anggota komando APMM menggunakan helikopter AW dan diturunkan ke kapal itu dan melakukan penggeledahan di atas kapal tersebut serta menangkap kesemua perompak yang terdiri daripada pelbagai warga negara.,” katanya.
Tambahnya, kesemua lanun itu di bawa ke pejabat Zon Maritim Mersing untuk siasatan lanjut di bawah Kanun Keseksaan, Seksyen 397 kerana melakukan rompakan secara berkumpulan.
Zulkefli memberitahu, operasi mengesan lanun itu juga mendapat kerjasama dari rakan strategik APMM Malaysia iaitu Wastern Fleet Quick Response dari Tentera Nasional Indonesia, Angkatan Laut (WFQR AL) dari Lantamal IV dan Lanal Batam.
Tegasnya, kejayaan operasi ini adalah susulan tindakan pemantauan penguatkuasaan Maritim Malaysia menerusi Operasi Pagar Laut yang telah dilancarkan sejak 17 Mei lepas.
Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, penganalisis keselamatan perairan daripada Universiti Malaysia Sabah memberitahu BeritaBenar bahawa Malaysia mempunyai pasukan keselamatan yang terlatih dan berupaya untuk menjaga kedaulatan perairan negara.
Katanya, pihak kerajaan telah menjalankan pelbagai mekanisme bagi memastikan keselamatan negara di kawasan wilayah maritim dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang telah diberi kuasa menjalankan proses risikan, siasatan, tangkapan dan pendakwaan akan terus menjalankan tanggungjawab yang telah diberikan secara lebih proaktif dan sistematik.
“APMM menggalas tanggungjawab yang sangat besar dalam memastikan Zon Maritim sentiasa dalam keadaan yang terkawal daripada peningkatan kadar jenayah rentas sempadan seperti kegiatan lanun,” katanya.
Sementara itu, Geostrategis, Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia memberitahu BeritaBenar pada Jumaat bahawa sukar bagi APMM untuk membanteras aktiviti perlanunan di perairan Laut China Selatan walaupun pemantauan ketat di laksanakan.
Katanya ini kerana kawalan keselamatan yang longgar di perairan Vietnam dan Filipina.
“Laluan kapal dagang yang sibuk dan keadaan geopolitik serta ekonomi negara pesisir adalah pemangkin berlakunya peristiwa rompakan lanun, malang bagi Malaysia sebagai negara pesisir dua laluan iaitu Selat Melaka dan Laut China Selatan maka negara ini terdedah dengan aktiviti pelanunan,” katanya.
Mengikut statistik APMM sebanyak 53 kes serangan lanun dilaporkan di perairan negara membabitkan Selat Melaka, Singapura dan Sarawak dari 2006 hingga tahun 2014.
Kes tersebut melibatkan 38 di Selat Melaka, 14 kes di Selat Singapura dan satu kes di Sarawak.
Bagaimanapun sejak APMM beroperasi dari 2006, tumpuan diberikan bagi membanteras jenayah rompakan kapal dagang, hasilnya, tiada kes rompakan berlaku di Selat Melaka di perairan Malaysia sejak 2009 sehingga 2018.
Bagaimanapun di Laut China Selatan berlaku aktiviti perlanunan di mana MT Orkim Harmony dirompak pada Jun 2015.