Menteri Pertahanan Tolak Laporan Berlakunya Pencerobohan Di Perairan Malaysia

Hata Wahari
2016.03.29
Kuala Lumpur
160329-my-apmmphoto620 Gambar sebahagian daripada 100 buah bot nelayan China yang menceroboh perairan negara telah dirakamkan dari atas pesawat Bombardier milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APM) di Laut China Selatan, 24 Mac 2016.
Ihsan APMM

Menteri Pertahanan Malaysia menolak laporan terdapat kira-kira 100 bot dan kapal dari China melanggar perairan Malaysia, iaitu di sekitar Beting Patinggi Ali di Laut China Selatan, empat hari selepas seorang Menteri dari kementerian lain mendakwa berlakunya pencerobohan di kawasan berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim pada Khamis lepas, berkata, kerajaan telah mengerahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) supaya menjalankan kerja-kerja pemantauan selepas mendapati bot dan kapal dari China dengan jumlah yang banyak menceroboh perairan negara.

Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) memetik Shahidan sebagai berkata, kerajaan Malaysia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap bot dan kapal dari negara itu yang dikesan memasuki zon ekonomi ekslusif negara.

Dalam pada itu, Hishammuddin Hussein semasa mengulas mengenai kehadiran bot dari negara berkenaan berkata,“Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Isnin telah mengesahkan tiada bot dan kapal dari China menceroboh perairan negara dekat Beting Patinggi Ali di Laut Cina Selatan,”

"TLDM telah pantau perkara ini secara dekat serta terkawal dan saya sebagai orang bertanggungjawab, merasa lega apabila Panglima TLDM Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin mengesahkan perairan negara selamat," kata menteri pertahanan itu seperti dilaporkan oleh Bernama.

Hishammuddin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi jika terdapat pihak luar yang cuba mewujudkan aktiviti ketenteraan di perairan negara.

‘Arah keluar’

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Ahmad Fuzi AB Kahar semasa diminta mengulas mengenai pencerobohan perairan di Laut China Selatan itu, memberitahu BeritaBenar pada Selasa, yang agensi itu telah mengarahkan kesemua kapal yang didapati menceroboh perairan negara supaya keluar dari kawasan berkenaan.

“Operasi memantau dan penguatkuasaan telah berjaya dan memberi kesan positif dalam usaha kita menangani isu pencerobohan perairan negara apabila bot nelayan asing itu keluar dari sempadan maritim negara,” katanya.

Beliau berkata, aset-aset laut dan udara APMM telah dikerahkan sejak Khamis lepas dalam menjalankan kerja pemantauan di kawasan seluas lebih 1,900 kilometer persegi dan sekitarnya.

“Pemantauan yang dijalankan mendapati hampir 100 bot nelayan asing dikesan oleh aset laut dan udara berada di jarak 52 batu nautika di barat kawasan Beting Hempasan Banting di perairan Sarawak,” katanya kepada BeritaBenar pada Selasa.

Beliau berkata, APMM akan meneruskan operasi pemantauan dan penguatkuasaan di sempadan maritim dan akan menambah bilangan aset dalam memastikan keselamatan perairan negara terus terpelihara.

‘Bukti kehadiran’


Ahmad Fuzi berkata APMM juga telah menghantar maklumat lanjut serta bukti tentang kehadiran kesemua bot berkenaan kepada Kementerian Luar Negara.

Dengan bukti yang sedia ada itu, difahamkan dapat membantu kementerian berkenaan menghantar nota bantahan kepada pejabat Kedutaan China di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu Jurucakap Kementerian Luar Negara China, Hong Lei dilaporkan oleh agensi berita Reuters sebagai berkata, beliau “tidak memahami butir-butir” yang diperkatakan Malaysia apabila ditanya mengenai pencerobohan oleh kapal-kapal dari negara itu.

“Sekarang adalah musim penangkapan ikan di Laut China Selatan... Pada masa ini setiap tahun, pukat tunda China akan menjalankan aktiviti penangkapan ikan yang normal,” kata Hong tanpa mengulas lanjut seperti dilaporkan Reuters.

Laut China Selatan yang merupakan laluan perkapalan penting kepada perdagangan dunia, terus menjadi punca pertikaian apabila kawasan kepulauan Spratly menjadi tuntutan bertindih yang melibatkan empat negara ASEAN (Persatuan Negara-negara Asia Tenggara) iaitu Malaysia, Brunei, Filipina dan Vietnam selain dari China serta Taiwan.

China telah membangkitkan pertikaian terhadap perairan strategik Laut China Selatan, termasuk kawasan perairan yang berdekatan dengan negara lain selepas bertindak untuk menambak kawasan kepulauan Spratly sehingga menyebabkan pelbagai kerosakan di kawasan terumbu karang di situ.

Pencerobohan hampir 100 kapal itu turut menimbulkan kebimbangan negara ASEAN yang terlibat dalam tuntutan bertindih itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.