Putrajaya Setuju Benarkan Boustead Naval Shipyard Teruskan Projek Kapal Terbengkalai
2021.05.07
Kuala Lumpur

Malaysia bersetuju membenarkan Boustead Naval Shipyard meneruskan semula pembinaan Projek Littoral Combat Ship (LCS), kata Menteri Kanan Pertahanan pada Jumaat, walaupun gagal menyiapkan kapal pertama seperti dijadualkan dengan siasatan Parlimen berhubung kehilangan dana projek berbilion ringgit yang tergendala,
Ismail Sabri Yaakob berkata dengan penerusan pembinaan tersebut oleh Kumpulan Boustead, ianya akan menyelamatkan 1,600 orang pekerja yang terdiri daripada anak-anak tempatan dan juga lebih daripada 400 syarikat vendor yang terdiri daripada PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) Bumiputera.
“Kementerian Pertahanan ingin mengumumkan bahawa Mesyuarat Jemaah Menteri yang telah bersidang pada 5 Mei bersetuju untuk Kumpulan Boustead Naval Shipyard meneruskan semula pembinaan Projek Littoral Combat Ship (Projek LCS) yang telah terhenti pembinaannya sejak tahun 2019.
“Mesyuarat Jemaah Menteri juga telah menetapkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh Kumpulan Bousted,” katanya dalam kenyataan berkenaan.
Tambahnya jika pembinaan LCS itu tidak diteruskan, ia akan memberi beberapa impak negatif kepada para pekerja dan vendor bumiputera terlibat.
Justeru katanya, ia juga akan memberi kesan kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang merupakan pemegang saham di dalam Boustead Holdings Berhad.
“Selain itu, secara tidak langsung pencarum yang merupakan anggota tentera akan menerima kesan sekiranya projek ini tidak diteruskan malah pihak bank yang memberi pinjaman kepada projek ini juga bakal kerugian kerana Boustead Naval Shipyard tidak berkeupayaan membayar pinjaman.
“Untuk rekod, Kumpulan Boustead Naval Shipyard adalah merupakan sebuah syarikat milik kerajaan yang diusahakan oleh majoritinya anak-anak Melayu Bumiputera,” tambahnya dalam kenyataan itu.
BNS telah dianugerahkan dengan kontrak bernilai RM9 bilion (AS$2.18 bilion) pada tahun 2014 untuk mereka, membina dan menyerahkan enam buah generasi-kedua kapal peronda dengan kemampuan tempur persisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Kapal tempur persisir (LCS) adalah kapal yang perang kecil yang direka untuk beroperasi di laut cetek persisiran laut dan kapal pertama sepatutnya diserahkan pada April 2019.
Ismail Sabri semasa sesi perbahasan di Parlimen pada Ogos tahun lalu berkata, sehingga 31 Julai tiada satu pun daripada kapal LCS itu telah berjaya disiapkan oleh anak syarikat Kumpulan Boustead biarpun kerajaan telah membuat bayaran sejumlah RM6 bilion (AS$1.44 bilion) kepada syarikat berkenaan.
Beliau dilaporkan berkata, perkembangan semasa untuk LCS 1 adalah pada kadar 59.79 peratus; LCS 2 (48.09 peratus); LCS 3 (43.75 peratus); LCS 4 (36.49 peratus) dan LCS 5 (20 peratus cent) manakala LCS 6 belum dimulakan pembinaan.
Desakan siasat kehilangan RM1 bilion
Pada September 2020, mantan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong memaklumkan Dewan Negara yang siasatan oleh jawatankuasa mengenai perolehan, pentadbiran dan kewangan mendapati yang RM1 billion daripada RM6 billion yang dibayar untuk kapal perang berkenaan telah gagal dikesan.
Sebulan kemudian, Liew mendesak kerajaan untuk menjalankan siasatan ke atas kehilangan wang tersebut, yang menurutnya adalah perkara yang serius, sambil menambah wang berkenaan mesti dipulangkan supaya projek LCS tersebut dapat disiapkan.
“Sebaik sahaja semua pihak yang terlibat di bawa ke muka pengadilan, kerajaan perlu pertimbangkan menyuntik dana bagi memastikan projek itu dapat disiapkan untuk kegunaan tentera laut, untuk melindungi kedaulatan perairan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam respon, Ismail Sabri berkata kementerian sedang menimbangkan tiga pilihan untuk menyelesaikan isu itu, antaranya; melantik Naval Group France sebagai kontraktor penyelamat bagi menyiapkan sekurang-kurangnya dua unit LCS; menyiapkan sekurang-kurangnya dua unit LCS oleh pihak BNS berdasarkan harga siling kontrak; atau penamatan kontrak BNS.
Pada November.2020, Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) telah membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan kemungkinan berlakunya unsur meragukan dalam projek tersebut, yang dilaksanakan oleh BNS.
Siasatan PAC tergendala susulan Perisytiharan Darurat
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Parlimen, Wong Kah Woh memaklumkan BenarNews yang prosiding memanggil Panglima TLDM dan mantan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada Januari lalu telah ditangguhkan susulan penularan pandemik corona virus dan seterusnya pelaksanaan Perintah Darurat.
“Kami hanya mampu menjalankan satu atau dua prosiding pada Disember tahun lalu (2020) berkaitan siasatan itu dan dijadualkan untuk memanggil Panglima pada 12 Januari disusuli oleh mantan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi pada 13Januari tetapi malangnya prosiding berkenaan terpaksa ditangguhkan susulan pandemik disusuli oleh Perisytiharan Darurat,” ujarnya.
Berdasarkan rekod, PAC telah mengadakan empat prosiding pada Disember lalu dan lapan individu telah dipanggil untuk memberikan keterangan.
Wong berkata mereka dimaklumkan yang PAC tidak boleh mengadakan mesyuarat atau prosiding disebabkan Perisytiharan Darurat sehingga Parlimen kembali bersidang memandangkan jawatankuasa itu adalah sebahagian daripada persidangan Parlimen.
“Saya tidak bersetuju bahawa Darurat menyebabkan semua perkara perlu ditangguhkan namun saya telah dimaklumkan ada padangan daripada Pejabat Peguam Negara, oleh itu semua perkara ditangguhkan sehingga Parlimen kembali bersidang,” jelasnya.
Malaysia terima dua LMS ditempah dari China
Pada Mac, Tentera Laut Diraja Malaysia telah menerima kapal LMS kedua – daripada empat – yang ditempah dari China di bawah kontrak yang ditandatangani di antara Putrajaya dan China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd pada tahun 2017.
Kapal tersebut yang dinamakan sebagai KD Sundang, telah tiba di Pangkalan Laut TLDM di Sepanggar, Kota Kinabalu dalam negeri Sabah pada awal bulan Mac. Kapal pertama di bawah kontrak ini yang dinamakan KD Keris, juga ditempatkan di Sepanggar, telah tiba pada Januari lalu.
Perolehan kumpulan LMS ini adalah sebahagian daripada program Transformasi ’15 kepada 5’ TLDM, yang mensasarkan untuk mengurangkan 15 kelas kapal pada masa ini kepada hanya lima – iaitu, LMS, Kapal Sokongan Pelbagai-Guna (Multi-Role Support Ships-MRSS), Littoral Combat Ships (LCS), Kapal Peronda (Patrol Vessels-PV) dan kapal selam.
Dua buah lagi LMS dijadualkan tiba pada bulan Oktober dan Disember, yang akan turut ditempatkan di Pangkalan Laut Sepanggar, sesuai dengan keperluan semasa tentera laut, termasuk menggerakkan aset-aset ke Timur Laut Sabah dan Laut China Selatan.