RM1.6 Bilion Untuk Bantuan Sara Hidup Rakyat
2018.08.03
Kuala Lumpur, Malaysia
Pentadbiran Putrajaya berkata Bantuan Sara Hidup(BSH) 2018 peringkat ketiga yang berjumlah RM 1.6 bilion akan mula diagihkan kepada 4.1 juta penerima bermula 15 Ogos dan ini membuktikan bahawa kerajaan baru Pakatan Harapan [PH] peka terhadap isu rakyat dan belum lagi bankrap seperti yang didakwa.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata bantuan tersebut juga menunjukkan bahawa kerajaan PH komited dalam mengotakan janji manifesto dan kerajaan tidak muflis seperti yang didakwa, dan masih mampu memberi BSH walaupun tidak lagi menerima hasil Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
“Perlu ditegaskan bahawa pembayaran RM1.6 bilion dibuat dalam keadaan kekangan kewangan kerana hutang Kerajaan Persekutuan yang mencecah RM1 trilion ekoran skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad [1MDB] dan salah urus tadbir,” kata menteri itu dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Jumaat.
Tambah beliau, “Kerajaan juga berharap dengan pemberian BSH, rakyat mampu membeli barang keperluan dan membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidil Adha nanti.”
Lim dalam kenyataan itu turut mengumumkan bahawa pentadbiran Putrajaya telah memperuntukkan RM3 bilion sehingga hujung tahun sebagai subsidi bagi menstabilkan harga minyak petrol dan diesel dalam negara.
Kesan positif jangka pendek
Sementara itu pakar ekonomi di Malaysia mahu kerajaan PH mengenalpasti pelan jangka panjang dalam memastikan ekonomi negara terus stabil dan pemberian BSH 2018 yang sebelum ini dikenali sebagai Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M), walaupun mempunyai kesan positif kepada ekonomi tetapi hanya untuk jangka masa pendek.
"Kedua-dua polisi itu tiada bezanya kerana berjaya meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi negara tetapi ianya adalah satu kesan jangka pendek. Kerajaan sebaliknya perlu memperhalusi mekanisma BSH agar pada masa hadapan tidak akan wujud satu kelompok masyarakat yang hanya bergantung kepada bantuan kerajaan,” kata Pakar Ekonomi, Barjoyai Bardai kepada BeritaBenar semasa dihubungi pada Jumaat.
Barjoyai turut mempersoalkan samada tindakan kerajaan baru dalam mempertahankan skim yang diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu dengan nama baru itu adalah satu tindakan yang bijak oleh Putrajaya.
Sementara itu, pakar Geostrategis Azmi Hassan berkata bahawa pemberian tunai seperti skim bantuan BSH dapat menjana ekonomi jika wang tersebut dibelanjakan.
"Pemberian wang tunai hanya dapat dinikmati oleh sasaran yang memerlukan tetapi pemberian subsidi akan dapat dirasai oleh semua. Justeru pemberian wang tunai dapat menjana ekonomi jika wang itu dibelanjakan dan ianya lebih baik berbanding pemberian subsidi," kata Azmi semasa dihubungi BeritaBenar.
Seorang ahli UMNO, parti yang memeritah kerajaan sebelum ini, Mohamad Iruan Zulkefli, tindakan Pakatan Harapan menggunakan sistem lama BR1M yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini dengan nama yang baru hanyalah permainan politik.
Sambil menempelak PH, bekas ketua pemuda bahagian Lenggong dari Perak itu berkata bahawa tiada pembaharuan yang jelas dari kerajaan pimpinan Mahathir Mohamad.
"Mereka tukar nama lama menjadi baru, tetapi idea tetap idea asal Barisan Nasional. Jadi apa pembaharuan disitu? … Jika dahulu BRIM pada mereka tidak bijak, tetapi hari ini dengan nama baru mereka kata bantuan itu menepati manifesto mereka.
"Ini hanya permainan politik mereka. Tidak perlulah terburu-buru atau berdendam dengan pihak kerajaan lama. Mereka perlu lebih terbuka dan menerima yang baik itu sebagai yang baik," kata Iruan.
Pemberian BR1M mula diperkenalkan pada tahun 2012 oleh kerajaan pimpinan Najib Razak yang berjumlah RM1,200 untuk setiap penerima dengan isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah; bantuan RM900 kepada 291,918 orang penerima dengan isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,001 hingga RM4,000; dan bantuan RM450 kepada setiap penerima individu yang berpendapatan bulanan RM2,000 ke bawah.
Bantuan itu diteruskan setiap tahun dengan kerajaan beberapa kali meningkatkan jumlah penerima bantuan itu mengikut kategori.
Dua bulan sebelum PilihanRaya Umum ke-14 pada Mei lepas, kerajaan BN telah mengagihkan bantuan berjumlah lebih RM6 billion kepada golongan berpendapatan rendah sebagai langkah untuk memperkembangkan ekonomi tetapi usaha itu dikritik sebagai usaha untuk memancing undi menjelang PRU.
Pengagihan dana itu merupakan sebahagian daripada Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Najib Razak pada Oktober 2017.
Kerajaan BN berkata dana BR1M adalah satu usaha untuk membantu golongan berpendapatan rendah terutamanya pekerja ladang kelapa sawit.