Lim Kit Siang dipanggil polis beri keterangan berhubung kenyataan di England

Penasihat DAP itu berkata Perlembagaan Malaysia membenarkan orang bukan Melayu memegang jawatan perdana menteri dan ianya telah mencetuskan kontroversi.
Minderjeet Kaur
2023.12.11
Kuala Lumpur
Lim Kit Siang dipanggil polis beri keterangan berhubung kenyataan di England Lim Kit Siang semasa mengumumkan persaraan daripada politik semasa Kongres Parti Tindakan Demokratik ke 17 di Shah Alam, Selangor, 20 Mac 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

KEMASKINI pada 3.30 petang waktu tempatan ETS - 2023-12-11

Seorang ahli politik veteran Malaysia dari gabungan parti politik yang mentadbir Malaysia pada Isnin berkata beliau telah dipanggil pihak berkuasa negara itu untuk memberikan keterangan berhubung kenyataan provokasi di luar negara bulan lepas, mengenai Perlembagaan negara itu membenarkan seorang yang bukan etnik Melayu daripada menjadi perdana menteri.

Ketegangan berhubung kaum dan agama serta kebencian ekonomi telah lama berterusan dalam masyarakat Malaysia, dengan pemimpin parti Melayu telah menyelar Lim Kit Siang dari ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang majoriti ahlinya adalah daripada kaum Cina dengan berkata kenyataan beliau itu telah menyinggung orang Melayu.

Lim, 82 yang juga merupakan penasihat kepada DAP didakwa mengeluarkan kenyataan kontroversi tersebut semasa berucap kepada pelajar Malaysia di Manchester, England dengan beliau turut memuatnaik kenyataan yang sama dan bertajuk ‘Perlembagaan Malaysai menjanjikan Impian Malaysia dan bukannya impian etnik tunggal memangdangkan perlembagaan ini tidak menghalang seseorang bukan Melayu dari menjadi seorang perdana menteri” di laman blog rasminya pada 30 November lalu.

"Saya akan berjumpa dengan polis dalam beberapa hari akan datang mengenai ucapan saya kepada pelajar Malaysia di Manchaster pada akhir bulan lepas.... Saya dituduh membuat kenyataan provokasi apabila saya mengatakan bahawa Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri.

"Tidak ada niat sebegini. Perlembagaan Malaysia ini bukanlah satu dokumen yang bersifat provokatif, sebaliknya ia perlu menjadi asas kepada perpaduan Malaysia," kata Lim dalam satu kenyataan pada Isnin.

Isu Perdana Menteri bukan Melayu bukan pertama kalinya ditimbulkan oleh Lim dan beberapa lagi pemimpin DAP, sebaliknya sudah beberapa kali sejak puluhan tahun lepas.

Seorang pembantu Lim memberitahu BenarNews bahawa ahli politik veteran yang juga pengasas bersama DAP itu dijadualkan memberi keterangan kepada polis berhubung perkara tersebut di Balai Polis Seapark di Petaling Jaya pada 9.30 pagi, 13 Disember ini.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Perundangan Polis Diraja Malaysia, Rusdi Mohd Isa mengesahkan yang Lim telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa negara itu pada Rabu.

“Polis Diraja Malaysia mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Tan Sri Lim Kit Siang berhubung kandungan penulisan dimuat naik dalam blog Limkitsiang.com pada 30 November 2023 yang menyentuh isu Perlembagaan berhubung perlantikan Perdana Menteri Malaysia menerusi penulisan bertajuk ‘Malaysia Constitution provides for a Malaysian dream and not a mono-ethnic dream as it provides that a non-malay can be a prime minister.

“Rakaman percakapan penasihat parti DAP akan diambil pada 13 Disember, 2023 di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah,” kata Rusdi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada lewat Isnin.

Lim dalam kenyataan pada Isnin juga berkata beliau telah memberitahu pelajar Malaysia di Manchester, walaupun kenyataannya itu merupakan satu "kenyataan fakta" tetapi ia bukan satu "kenyataan realiti", membayangkan mengenai keperluan Malaysia untuk bergerak menuju ke arah menjadi sebuah negara yang lebih inklusif.

Membandingkan negara itu dengan Amerika Syarikat, beliau berkata, "Di Amerika Syarikat, mereka mengambil masa 230 tahun sebelum seorang berkulit hitam dapat menjadi Presiden Amerika Syarikat dan saya harap, Malaysia tidak memerlukan 230 tahun untuk melihat seorang bukan Melayu berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi saya tidak jangka perkara ini akan terjadi dalam 100 tahun yang akan datang."

Beliau bagaimanapun menafikan mempunyai cita-cita peribadi untuk menjadi perdana menteri Malaysia, dan berkata, "Saya pernah dituduh sebagai kononnya ingin menjadi Perdana Menteri Malaysia dan perkara ini langsung tidak pernah terlintas dalam fikiran kerana dalam keadaan semasa, perkara ini tidak mungkin akan berlaku."

Lim juga memetik kenyataan Sultan Selangor baru-baru ini yang menegaskan mengenai kekuatan Malaysia dalam kepelbagaian budayanya, dengan menyatakan bahawa ia adalah bukti bahawa Malaysia mempunyai potensi untuk menjadi negara model untuk dialog dan persefahaman antara kaum.

Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri dilantik diatas budibicara Yang di-Pertuan Agong yang berperanan sebagai ketua negara, manakala Perkara 43(7) pula menggariskan bahawa seseorang yang mendapat kewarganeraan Malaysia melalui proses naturalisasi mahupun pendaftaran adalah tidak layak untuk menjawat jawatan Perdana Menteri.

Kriteria kelayakan

Asal usul kewujudan komuniti Cina dan India di Malaysia boleh ditelusuri kembali kepada zaman penjajahan British. Kemasukan pendatang dari China ke Malaysia secara beramai-ramai bermula pada abad ke-19 apabila British membawa mereka untuk bekerja di lombong-lombong timah dan ladang getah.

Orang India pula dibawa masuk ke Malaysia pada lewat abad ke-19 dan awal abad ke-20 untuk bekerja di ladang getah dan sektor industri lain. Di Borneo pula, majoriti penduduknya adalah dari etnik Kadazan-Dusun, Iban, Bidayuh, dan lain-lain.

Bastian Pius Vendagon, seorang peguam perlembagaan, berkata Perlembagaan Malaysia telah menetapkan dengan jelas kriteria untuk pelantikan seorang perdana menteri.

"Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Perdana Menteri Malaysia hendaklah seseorang yang mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Ia tidak meletakkan apa-apa syarat lain termasuklah mengenai bangsa atau agama seseorang," kata beliau.

Vendagon menerangkan bahawa dari sudut perundangan, perlembagaan persekutuan bersifat neutral mengenai isu bangsa dan agama seseorang perdana menteri.

Bagaimanapun, kata beliau, realiti politik di Malaysia adalah berlainan daripada perlembagaan.

"Apabila kamu bercakap mengenai realiti politik, ia bukan undang-undang. Secara umumnya, sejak merdeka semua perdana menteri adalah orang Melayu beragama Islam," kata beliau kepada BenarNews.

Akan tetapi, kata Vendagon, Perlembagaan telah dibuat untuk menjadi inklusif, di mana ia memastikan bahawa sesiapa yang mempunyai kriteria ditetapkan boleh menjadi perdana menteri.

Respon

Susulan kenyataan oleh Lim, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) telah mengkritik ahli politik berkenaan, dan menyatakan bahawa Perlembagaan Malaysia mengangkat agama Islam sebagai agama persekutuan, dan sekaligus membayangkan bahawa perdana menteri selaku ketua kerajaan harus juga beragama Islam.

Tambahnya, perlembagaan negeri Selangor, Perlis, dan Kedah turut menetapkan bahawa Ketua Menteri negeri berkenaan mesti beragama Islam dan berbangsa Melayu.

Bancian rasmi yang dilaksanakan pada tahun lepas menunjukkan bahawa populasi Malaysia adalah seramai 32.4 juta, dengan 63.5 peratus daripada jumlah itu adalah orang Melayu beragama Islam.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) turut menghentam Lim kerana membayangkan bahawa seorang bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri, dengan setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan berkata ucapan Lim bukan sahaja mengelirukan tetapi juga merupakan "ulangan propaganda beracun" yang berpotensi menimbulkan suasana tidak harmoni dalam negara.

"Kali ini dengan berselindung di sebalik Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Wawasan 2020, Lim dengan sengaja memberikan gambaran yang salah tentang orang Melayu atau citra politik orang Melayu dengan menyebut bahawa kesemua dokumen itu bermatlamatkan 'Impian Malaysia' yang berbilang etnik, agama dan budaya, bukan impian mono etnik," kata beliau dalam satu kenyataan yang dimuatnaik ke akaun Facebook rasmi PAS.

Parti itu juga mendakwa bahawa Lim telah membangkitkan isu berkenaan ketika UMNO berdepan tekanan sebagai salah satu parti pemerintah, dan seterusnya menyebabkan parti berasaskan Melayu itu terpaksa mendiamkan diri.

Takiyuddin, yang merupakan seorang peguam, berkata negara tidak pernah mempunyai perdana menteri dan timbalan menteri bukan Melayu sejak negara mendapat kemerdekaan.

"Lim seolah-olah beranggapan hanya dengan mempunyai seorang Perdana Menteri bukan Melayu baharulah Malaysia boleh dianggap telah mencapai impian sebagai sebuah negara yang berjaya. Bagi Lim, semua usaha yang dilakukan dan semua kejayaan yang telah dicapai selama ini di bawah kepimpinan orang Melayu dalam mewujudkan sebuah negara yang maju, berpadu, bertimbang rasa, saling menghormati dan harmoni seolah-olah tidak bermakna sekiranya jawatan Perdana Menteri terus disandang oleh kelompok etnik itu," kata beliau.

Kata Takiyuddin, PAS melihat naratif 'Impian Malaysia' yang dibawa Lim kini tidak terlalu berbeza dengan konsep 'Malaysian Malaysia' yang dicadangkan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yee. DAP ditubuhkan pada 1965 oleh ahli-ahli People's Action Party (PAP) yang berada di Malaysia selepas Singapura berpecah daripada negara itu.

"Naratif Impian Malaysia ini juga perlu ditolak oleh semua rakyat Malaysia yang insaf sejarah dan menghargai pencapaian serta keharmonian sedia ada dalam kalangan kita," kata beliau, dan menambah bahawa PAS memberi amaran kepada sesiapa yang cuba menimbulkan kemarahan orang Melayu dengan konsep Impian Malaysia.

Bekas ahli UMNO, Noh Omar berkata kenyataan Lim itu boleh menjadi kenyataan sekiranya persempadanan pilihan raya dibuat semula dengan memisahkan kawasan majoriti Melayu dan berkongsi sempadan dengan kawasan majoriti Cina.

Kata beliau, parti DAP boleh mendapat banyak kerusi parlimen sekiranya perkara itu berlaku.

"Sekiranya DAP disokong oleh parti-parti Melayu yang lebih kecil, ia tidak mustahil satu hari nanti orang bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri," kata beliau dalam satu video di Facebook.

Oleh kerana itu, Noh melihat kenyataan Lim sebagai satu isyarat supaya semua orang Melayu bersatu, dan menekankan mengenai kemungkinan seorang pemimpin bukan Melayu mengetuai negara kerana perlembagaan menetapkan bahawa perdana menteri boleh dilantik tanpa mengira latar belakang dan hanya berdasarkan sokongan majoriti di Parlimen.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.