Najib Fail Saman Terhadap Liong Sik
2015.10.29

Perdana Menteri Najib Razak telah memfailkan saman terhadap bekas menteri Kabinet Ling Liong Sik berhubung kenyataan berbaur fitnah yang dibuat ke atasnya berkaitan kontroversi derma politik RM2.6 bilion (US$700 juta) yang telah dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.
Saman itu difailkan pada Selasa, hari yang sama badan pemerhati hak asasi manusia antarabangsa, Human Rights Watch mendedahkan laporan bertajuk "Mewujudkan Budaya Takut: Menjenayahkan Kebebasan Bersuara Secara Aman di Malaysia," yang mendakwa kebebasan bersuara dan perdebatan awam menjadi semakin sempit di Malaysia apabila kerajaan menggunakan undang-undang untuk menyekat pendapat dan kritikan terhadap dasar-dasarnya.
Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan Najib memfailkan saman itu melalui firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur.
Ling, yang juga bekas Presiden MCA, parti komponen terbesar mewakili kaum Cina dalam Barisan Nasional, telah membuat kenyataan terhadap Najib ketika menghadiri satu majlis di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman pada 3 Oktober lepas, seperti dilaporkan oleh sebuah portal berita.
Portal berita itu melaporkan, Ling bersetuju dengan pandangan bekas bosnya, Mahathir Mohamad, yang Najib "mengambil duit orang lain dan memasukkannya ke dalam akaun peribadi".
"Saya bersetuju dengan Dr Mahathir, sebab dia ambil duit orang dan masukkan ke dalam akaun peribadinya," Ling dipetik sebagai berkata pada sidang media di Kuala Lumpur.
Susulan kenyataan itu, pada 5 Okt lepas, peguam kepada Najib telah menghantar surat kepada Ling menuntut bekas Menteri Pengangkutan itu, antara lain, menghentikan dan berhenti daripada terus membuat sebarang kenyataan berunsur fitnah atau sebarang kenyataan serupa yang merujuk kepada Najib dan menyiarkan kenyataan mohon maaf secara bertulis yang lengkap, serta menarik balik kenyataan berbaur fitnah.
Bagaimanapun, defendan, melalui peguam Tetuan Ranjit Singh Yeoh telah menjawab surat bertarikh 8 Okt lepas dengan menyatakan beliau (Ling) tidak mengaku tentang kenyataan yang terkandung dalam surat tuntutan itu, dan berkata beliau mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang susulan.
Berikutan itu, Najib telah mengarahkan peguamnya untuk meneruskan langkah memfailkan saman terhadap Ling pada Selasa, yang antara lain memohon perintah supaya Ling menyiarkan kenyataan mohon maaf dalam akhbar atau majalah yang dikenal pasti oleh Najib, dalam bentuk dan terma yang akan ditentukan oleh Najib.
Laporan itu juga menyebut Najib memohon injunksi untuk menghalang Ling, atau melalui kakitangan atau ejennya, daripada terus menuturkan atau menyiarkan apa-apa kenyataan berbaur fitnah atau apa-apa perkataan berbaur fitnah yang serupa terhadapnya.
"Plaintif juga memohon ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah," lapor Bernama.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, mendakwa defendan telah menuturkan perkataan-perkataan berbaur fitnah dengan berniat jahat supaya plaintif berada dalam kancah skandal, dipandang hina dan dibenci rakyat.
"Reputasi plaintif telah tercemar dengan teruk berikutan penerbitan perkataan-perkataan berbaur fitnah dan menyebabkan penghinaan kepada plaintif dalam media sosial dan media massa kerana artikel berbaur fitnah itu telah dikongsi secara meluas oleh media sosial dan pengguna media massa secara keseluruhannya," menurut kenyataan tuntutan itu, seperti dilaporkan agensi berita itu.
Najib menegaskan bahawa dakwaan dalam perkataan-perkataan berbaur fitnah itu adalah sangat serius dan telah menyebabkan penghinaan terhadapnya di kalangan masyarakat umum di Malaysia dan antarabangsa.
Najib, dalam tuntutan itu turut menyatakan bahawa Ling menyedari sepenuhnya dan berhasrat supaya perkataan-perkataan berunsur fitnah itu diterbitkan, dengan mengetahui bahawa ia akan menarik pembaca media maya atau media arus perdana di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Paul Low Seng Kuan memberitahu Dewan Rakyat yang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum memanggil Perdana Menteri untuk menyoal beliau berhubung isu derma politik RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013.
Low dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat pada Khamis berkata, SPRM akan memanggil Najib "apabila tiba masanya" sambil mengesahkan SPRM masih menjalankan siasatan berhubung isu tersebut, biarpun suruhanjaya itu sebelum ini mengesahkan ia datang daripada seorang penderma Timur Tengah.
Pada Julai lepas, The Wall Street Journal melaporkan bahawa sebanyak AS$700 juta dolar dari syarikat pelaburan milik kerajaan, 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dimasukkan ke dalam akaun yang didakwa dimiliki oleh Najib, sebelum pilihan raya umum Malaysia yang diadakan pada Mei 2013.
Najib kemudian menyangkal dakwaan itu dan menafikan sebarang salah laku selain menyifatkannya sebagai cubaan sabotaj politik terhadap dirinya.
September lepas, The Wall Street Journal turut melaporkan bahawa Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat telah melancarkan satu siasatan tentang pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana 1MDB. Namun skop siasatannya tidak diketahui.
Bagaimanapun, pada 3 Okt lalu, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar menafikan dakwaan kononnya FBI Amerika Syarikat telah memulakan siasatan ke atas kes 1MDB dan juga Perdana Menteri.