Malaysia Gesa Tubuh Mahkamah Walaupun Rusia Veto Tribunal MH17

Oleh Nani Yusof
2015.07.29
150729-MY-UN620 Menteri Pengangkutan Malaysia Liow Tiong Lai mengundi secara mengangkat tangan pada sidang resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York. Sidang resulosi itu diadakan bertujuan untuk menwujudkan tribunal jenayah antarabangsa bagi membolehkan pendakwaan dibuat terhadap pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia MH17 di timur Ukraine tahun lepas. 29 Julai 2015
AFP

Malaysia melahirkan rasa kecewanya pada Rabu selepas Rusia memveto resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendesak supaya ditubuhkan tribunal antarabangsa untuk mendakwa mereka yang disyaki menembak jatuh pesawat penumpang Malaysia Airlines di timur Ukraine tahun lepas, yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapalnya.

Menteri Pengangkutan Malaysia, Liow Tiong Lai berkata,15 anggota Majlis Keselamatan mengundi resolusi itu supaya mahkamah antarabangsa bebas ditubuhkan untuk membicarakan pihak yang bertanggungjawab terhadap nahas pesawat MH17 kira-kira setahun lalu.

"Kami mahu mewujudkan satu mahkamah antarabangsa pelbagai negara atau menggunakan mahkamah nasional," kata Liow kepada BeritaBenar dari PBB di New York dalam satu wawancara.

Belanda dan Australia, yang bersama-sama dengan Malaysia, Belgium dan Ukraine menggubal resolusi itu, serta mengemukakan cadangan untuk mendakwa suspek dan "kami akan mengkaji dan membincangkannya" mulai minggu ini, katanya.

Cuma Rusia menggunakan kuasa vetonya sewaktu sesi mengundi Majlis Keselamatan PBB, manakala 11 lagi anggota majlis menyokong resolusi untuk membentuk tribunal tersebut. Tiga anggota yang lain - China, Venezuela dan Angola – memilih untuk berkecuali.

Tunggu lama untuk keadilan

"Kami kecewa kerana keluarga mangsa kini terpaksa menunggu lebih lama dan tidak pasti bagaimana keadilan dapat dilaksanakan," kata Liow.

Belanda, yang kehilangan hampir 200 rakyatnya dalam tragedi itu, bersama-sama dengan Malaysia dan kebanyakan negara Barat lain telah mendesak penubuhan tribunal itu, yang katanya mempunyai kuasa untuk menyiasat secara adil dan mengekstradisi suspek dari mana-mana negara yang melindungi mereka.

Amerika Syarikat dan banyak pakar antarabangsa percaya pesawat Malaysia telah dimusnahkan oleh peluru berpandu permukaan ke udara Rusia yang ditembak oleh tentera Rusia atau pemberontak pemisah yang disokong Rusia yang berperang di kawasan itu.

Rusia menolak teori itu, dengan media negara itu berkata pesawat itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu atau pesawat pejuang Ukraine.

Malaysia dan empat negara lain yang mengemukakan resolusi Majlis Keselamatan PBB itu berkata mereka akan terus berusaha mendapatkan keadilan untuk mangsa-mangsa insiden itu.

Lima negara itu juga merupakan anggota pasukan penyiasatan yang telah mengumpul bukti dan bercakap dengan saksi-saksi di timur Ukraine, yang berperang di kawasan di mana pesawat itu ditembak jatuh.

Semangat berjuang kekal

"Kita tidak akan membiarkan satu veto ini melemahkan semangat kami," kata Liow, sambil menambah mereka sedang menimbangkan pelbagai pilihan lain.

"Apa yang berlaku hari ini amat dikesali tetapi ia tidak boleh menamatkan usaha kami untuk mendapatkan keadilan,” katanya.

"Ada pelbagai pilihan untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab di peringkat antarabangsa dan nasional. Jadi, sekarang kita akan memberi tumpuan kepada pilihan itu dengan teliti tanpa mengenal penat lelah. "

"Para pelaku itu, dari mana pun mereka datang, mesti dipertanggungjawabkan," katanya.

"Mereka tidak boleh melepaskan diri daripada hukuman. Walaupun kami tidak dapat menghapuskan kesedihan mereka yang kehilangan orang tersayang, kami akan melakukan segala-galanya dalam kuasa kami untuk membawa penjenayah ini ke muka pengadilan, " kata Liow.

"Kita akan terus berusaha sehingga semua fakta diketahui dan keadilan dilaksanakan."

Belanda menjalankan dua siasatan terhadap insiden menembak pesawat itu - satu daripadanya diketuai oleh Lembaga Keselamatan Belanda yang berusaha menentukan punca kejadian itu, dan satu lagi oleh pejabat pendakwa Belanda yang ditugaskan mencari suspek berkenaan.

Hasil siasatan lembaga keselamatan itu jangka dikeluarkan pada Oktober.

Dakwa bila laporan siap

Liow memberitahu BeritaBenar bahawa persiapan akan dibuat sebaik sahaja laporan itu dikeluarkan, dan pihak yang melakukannya akan didakwa.

"Apabila laporan ini dikeluarkan, kami akan terus mendakwa mereka yang bertanggungjawab."

Setahun yang lalu, Majlis Keselamatan PBB sebulat suara menerima resolusi yang menuntut bahawa mereka yang bertanggungjawab terhadap insiden itu "perlu dipertanggungjawabkan dan semua negara bekerjasama sepenuhnya dalam usaha mewujudkan kebertanggungjawaban."

Rusia telah menawarkan draf resolusinya sendiri yang menuntut keadilan bagi mereka yang bertanggungjawab bagi nahas itu tanpa perlu menubuhkan tribunal, lapor Associated Press.

Duta Rusia ke PBB, Vitaly Churkin memberitahu majlis keselamatan selepas pengundian itu bahawa tribunal sedemikian mempunyai risiko tidak akan bersikap adil dan tertakluk kepada "propaganda" media. Malah, beliau menyifatkan penubuhan tribunal bagi pembunuhan beramai-ramai Rwanda dan keganasan di negara bekas Yugoslavia sebagai "terlalu mahal," menurut AP.

Sementara itu, Liow berkata Malaysia telah menghantar satu pasukan untuk mengesahkan sama ada serpihan pesawat yang terdampar di sebuah pulau di Lautan Hindi adalah sebahagian daripada sebuah lagi pesawat Malaysia MH370 yang hilang pada Mac tahun lepas yang membawa 239 penumpang dan anak kapal dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing.

Kebanyakan penumpang Malaysia Airlines penerbangan MH370 adalah rakyat China.

Penemuan serpihan pesawat itu di pulau La Reunion, berhampiran Madagascar telah menimbulkan pelbagai spekulasi bahawa ia kemungkinan sebahagian daripada pesawat yang hilang.

"Apa sahaja bangkai yang ditemui perlu periksa dahulu sebelum kami boleh mengesahkan ia milik MH370," kata Liow.

"Oleh itu, kami menghantar satu pasukan untuk menyiasat isu ini dan kami berharap dapat mengenal pastinya dengan secepat mungkin," katanya selepas menghadiri perbahasan Majlis Keselamatan PBB.

Serpihan sepanjang dua meter (enam kaki) itu, sebahagian daripada sayap, ditemui oleh beberapa orang yang sedang membersihkan pantai, lapor Agence France-Presse.

Tiada satu bahagian pun daripada pesawat itu dijumpai. Pihak berkuasa Malaysia pada Januari mengisytiharkan bahawa semua yang berada di dalam pesawat itu dianggap telah meninggal dunia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.