UMNO akan tergesa-gesa bebaskan Najib melalui pengampunan diraja, kata Mahathir
2022.10.11
Kuala Lumpur

Bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad pada Selasa menyuarakan kebimbangan bahawa Najib Razak and Ahmad Zahid Hamidi, dua pemimpin politik dari parti UMNO, berkemungkinan akan dibebas daripada penjara dan kes jenayah mereka di mahkamah sekiranya parti terbesar negara itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan diadakan dalam masa terdekat ini.
Beliau mendakwa bahawa tindakan itu akan menjadi perkara pertama dibuat oleh UMNO sebaik sahaja memegang kuasa pentadbiran negara, sekiranya menangi pilihan raya yang dijangka akan berlaku sebelum pertengahan November.
"Sekiranya mereka menang pilihan raya ini, perkara pertama mereka akan lakukan ialah meminta supaya Yang di-Pertuan Agong memberikan pengampunan kepada Najib. Setakat ini mereka telah membuat permohonan tetapi tidak berjaya mendapat pengampunan.
"Tetapi sekiranya mereka berjaya menang dan menubuhkan kerajaan, perkara pertama akan dilakukan mereka bukannya untuk memastikan kebajikan rakyat atau menguruskan bencana banjir... Ini semua perkara kecil (bagi mereka).
"Apa yang penting untuk mereka ialah Najib mesti dibebaskan, diampunkan dan semua pertuduhan terhadap Zahid pula sudah tentu akan digugurkan. Perkara yang sama akan berlaku kepada kes 1MDB terhadap Najib yang sedang berjalan di mahkamah," kata Mahathir dalam satu sidang media pada Selasa.
Najib, bekas perdana menteri ke-enam Malaysia, kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada Ogos lepas menolak rayuan beliau untuk mengenepikan sabitan bersalah yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadapnya dalam kes berkaitan 1MDB.
Najib sebelum itu telah didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan salah guna kuasa dan penyelewengan wang berjumlah RM42 juta daripada dana milik syarikat SRC International Berhad, anak syarikat 1MDB.
Ahli Parlimen Pekan itu juga masih berdepan dengan pertuduhan jenayah lain membabitkan syarikat 1MDB, yang kini sedang dalam proses perbicaraan di mahkamah.
Ahmad Zahid pula sedang menghadapi perbicaraan jenayah membabitkan 47 pertuduhan rasuah berkaitan dengan sebuah yayasan milik keluarganya, yang sebelum ini ditubuhkan bagi membantu orang susah. Beliau baru-baru ini telah dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah lain membabitkan pelanjutan kontrak sebuah syarikat memproses permohonan visa ketika menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri.
Ahmad Zahid adalah presiden UMNO dan pengerusi gabungan Barisan Nasional yang mengetuai kerajaan persekutuan, manakala Najib pula adalah bekas presiden UMNO, dan pernah mengetuai BN sejak 2009 sehingga kekalahan gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018.
Pada Isnin, Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob yang juga dari parti UMNO telah mengumumkan bahawa Parlimen telah dibubarkan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, sekaligus membuka laluan bagi PRU15, yang mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.
Di dalam sidang media pada Selasa, Mahathir, yang pernah menjadi perdana menteri Malaysia sebanyak dua kali, mendakwa bahawa UMNO mahu PRU15 diadakan secepat mungkin kerana mahu mengambil peluang di atas kelemahan pembangkang.
"Kami percaya sebab utama mereka mahu pilihan raya dibuat sekarang adalah kerana mereka (UMNO) melihat pembangkang sedang berada dalam keadaan lemah, tidak tersusun dan (ada parti yang) belum didaftar. Jadi mereka berharap akan menang. Sekiranya mereka menunggu lebih lama, peluang untuk mereka menang akan berkurangan," tambah Mahathir, yang merupakan pengerusi Parti Pejuang Tanah Air.
Pandangan berbeza
Sementara itu, beberapa penganalisis politik dihubungi BenarNews memberikan pandangan berbeza terhadap dakwaan Mahathir mengenai kemungkinan Najib dan Zahid akan dibebaskan sekiranya UMNO dan Barisan Nasional memenangi PRU15.
Oh Ei Sun, felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, percaya bahawa terdapat kemungkinan untuk tindakan sedemikian dibuat UMNO.
"Sekiranya UMNO menang dengan bilangan kerusi yang signifikan berbanding apa yang ia ada pada ketika ini, parti itu berkemungkinan akan membentuk dan mengetuai gabungan parti pemerintah untuk penggal yang akan datang.
"Sekiranya ini berlaku, kumpulan aliran utama dalam UMNO yang dikepalai oleh Zahid dan Najib berkemungkinan akan meletakkan seorang perdana menteri boneka yang setia kepada mereka untuk membuat percaturan mengikut kehendak mereka, termasuk membersihkan mereka daripada semua masalah perundangan," kata Oh kepada BenarNews.
Akan tetapi, pakar strategi geopolitik Azmi Hassan pula percaya bahawa sistem kehakiman dan mahkamah Malaysia masih utuh dan tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana pihak, termasuk parti yang menjadi kerajaan.
"Begitu juga Yang di-Pertuan Agong kita sebagai pengerusi badan lembaga pengampunan pun bertindak tanpa dipengaruhi mana-mana pihak dalam kes pengampunan, terutama sekali kes Najib," kata beliau.
Tambah Azmi, kenyataan Mahathir itu adalah semata-mata "senjata politik" dan boleh memberikan gambaran buruk terhadap sistem kehakiman negara.
"Ini memberikan gambaran tidak baik kepada rakyat dan untuk orang luar bila mendengar kenyataan sedemikian rupa, walhal kenyataan itu adalah bahan kempen pilihan raya."
Perkara serupa disuarakan oleh Awang Azman Awang Pawi, penganalisis dari Universiti Malaya.
"Soal kemenangan BN dan perundangan merupakan isu yang berbeza. Biarlah isu undang-undang diselesaikan secara undang-undang.
"Jika Mahathir berpendapat sedemikian ia seolah-olah merupakan cara pemerintahan Mahathir cenderung ke arah tersebut yang mengaitkan kuasa politik yang boleh mempengaruhi undang-undang dan ini bahaya kepada sistem politik dan perundangan negara.
"Namun jika berlakunya ketidakadilan proses undang-undang tidak salah untuk menyemak semula dan membaiki atas prinsip keadilan bukannya untuk memanipulasi kuasa, kedudukan dan cengkaman politik," kata beliau kepada BenarNews.