Pegawai Tinggi Kerajaan Malaysia Perlu Jalani Ujian Kompentensi Bahasa Inggeris
2018.06.06
Kuala Lumpur, Malaysia

Malaysia mahu semua pegawai atasan kerajaan fasih di dalam Bahasa Inggeris dan menjalani ujian kompetensi untuk mengenal pasti penguasaan mereka di dalam bahasa tersebut.
Usaha kerajaan pimpinan Mahathir Mohamad, yang kembali daripada persaraannya untuk memimpin Pakatan Harapan dan mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya umum Mei lalu, adalah sebahagian daripada tindakan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.
"Bahasa Inggeris amatlah penting dan perlu dikuasai pegawai tinggi kerajaan. Semua pegawai tinggi kerajaan hendaklah menguasai Bahasa Inggeris dengan baik kerana mereka seringkali mengadakan rundingan dengan pihak luar mengenai dasar-dasar kerajaan,” kata Perdana Menteri itu pada sidang media di Perdana Putra, Putrajaya, pada Rabu.
Dasar yang sama sebelum ini digubal di negeri Sabah dan Sarawak di mana kerajaan negeri memberi mandat untuk menggunakan Bahasa Inggeris disamping bahasa rasmi, Bahasa Malaysia, untuk berkomunikasi di antara agensi awam dan kerajaan pada tahun 2015.
Agensi berita nasional Bernama melaporkan, bekas Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem pernah berkata, "dasar itu dilancarkan untuk meningkatkan kecekapan Bahasa Inggeris di kalangan penjawat awam sambil mempromosikan pembelajaran bahasa di kalangan pelajar dan siswazah universiti."
Adenan turut menolak dakwaan pembangkang bersikap nasionalis yang menentang tindakan itu, dengan berkata Bahasa Malaysia tetap akan menjadi bahasa kebangsaan seperti yang tertulis dalam perlembagaan negara.
"Menggunakan Bahasa Inggeris tidak ada kaitan dengan patriotisme atau nasionalisme, ia satu yang realistik," tambah Ketua Menteri yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada Januari 2017.
Dalam pada itu, Mahathir pada sidang akhbar yang sama turut memberitahu bahawa kerajaan akan mengkaji kokurikulum pendidikan dari tadika ke peringkat universiti dengan pasukan petugas terdiri daripada pakar bukan kerajaan yang akan dibentuk untuk meninjau sistem pendidikan antarabangsa dalam usaha untuk memperbaiki sistem pendidikannya Malaysia.
Beliau juga memaklumkan yang Malaysia akan menghantar satu pasukan ke India untuk mengkaji idea-idea inovatif kerajaan negara itu dalam usaha meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam Malaysia.