Mahathir Pertahan Komen Anti-Perancis Yang Mengundang Kritikan Antarabangsa

Noah Lee & Nisha David
2020.10.30
Kuala Lumpur, Malaysia
201030-MY-Mahathir800.jpg Bekas Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad semasa sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, 3 September, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad mengundang kritikan masyarakat antarabangsa pada Jumaat selepas menyatakan dalam media sosial bahawa orang Islam mempunyai “hak untuk membunuh berjuta-juta rakyat Perancis” dan beliau turut menyelar Twitter dan Facebook kerana memadam kenyataan yang didakwa bersifat kontroversi itu.

Negarawan berusia 95 tahun itu, yang meletak jawatan sebagai pemimpin negara Asia Tenggara yang majoriti penduduknya beragama Islam lapan bulan lalu, telah mengeluarkan kenyataan secara dalam talian selepas Presiden Perancis Emmanuel Macron mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia ketika mempertahankan tradisi sekular di negaranya dan hak kebebasan bersuara berhubung kenyataan umum mengenai karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad.

Disiarkan di akaun Twitter rasmi Mahathir, ciapan yang dipadam itu adalah sebahagian daripada kenyataan penuh Mahathir sebagai respons kepada Macron yang memberi penghormatan kepada seorang guru yang kepalanya telah dipenggal oleh seorang migran belia Islam di utara kawasan pinggir bandar Paris.

“Saya benar-benar menyampah dengan percubaan untuk memutar belit dan mengambil apa yang saya tulis di blog saya semalam di luar konteks. Mereka yang melakukannya hanya mengambil satu bahagian dalam perenggan 12 yang berbunyi: ‘Orang Islam mempunyai hak untuk marah dan membunuh berjuta-juta rakyat Perancis kerana pembunuhan pada masa lalu,’” menurut Mahathir dalam satu kenyataan. “Mereka berhenti di situ dan memberi gambaran bahawa saya menggalakkan pembunuhan orang Perancis.”

Keseluruhan perenggan ke-12 kenyataan Mahathir yang disiarkan dalam laman sesawang beliau berbunyi: “Orang Islam mempunyai hak untuk marah dan membunuh berjuta-juta rakyat Perancis bagi pembunuhan pada masa lalu. Tetapi pada umumnya, orang-orang Islam tidak mengamalkan undang-undang ‘hutang darah dibayar dengan darah.’ Orang Islam tidak berbuat demikian. Orang Perancis (juga) tidak seharusnya berbuat demikian. Malah Perancis seharusnya mengajar rakyatnya menghormati perasaan orang lain.”

Guru Perancis itu, Samuel Paty, menjadi sasaran selepas beliau menunjukkan karikatur Nabi Muhammad kepada pelajarnya, yang telah menyinggung perasaan kebanyakan umat Islam. Dalam satu majlis, Macron telah menyatakan bahawa Perancis “tidak akan membuang kartun itu,” yang merujuk kepada karikatur Rasulullah.

“Samuel Paty menjadi … wajah republik ini, mengenai tekad kita untuk menghancurkan pengganas, menghapuskan puak pelampau Islam, untuk tinggal sebagai satu komuniti yang bebas di negara kita,” kata Macron dalam satu majlis yang diadakan di Universiti Sorbonne di Paris di mana Presiden Perancis itu telah menganugerahkan gelaran kehormat tertinggi di republik tersebut kepada guru malang itu, The Légion d’Honneur.

Karikatur yang ditunjukkan oleh Paty kepada pelajar kelasnya telah disiarkan dalam Charlie Hebdo, sebuah majalah satira Perancis. Pada 2015, seramai 12 orang termasuk kakitangan editorial majalah itu telah dibunuh dalam satu serangan pengganas oleh Negara Islam di pejabat majalah itu di Paris selepas Charlie Hebdo menyiarkan karikatur pengasas agama Islam itu.

Dr. M: ‘Primitif’

Dalam kenyataannya, Mahathir berkata sebagai orang Islam, beliau tidak bersetuju dengan perbuatan membunuh dan menegaskan bahawa Macron telah menyalahgunakan kebebasan bersuara dengan menyinggung perasaan orang lain.

“Macron tidak menunjukkan bahawa beliau adalah seorang yang bertamadun. Beliau amat primitif kerana menyalahkan agama Islam dan umat Islam bagi pembunuhan guru sekolah yang melakukan perbuatan menghina. Ia tidak selari dengan ajaran Islam,” katanya.

Kenyataan Mahathir mendapat sokongan daripada sumber yang tidak disangka-sangka di Malaysia namun mengundang kritikan masyarakat dunia.

Bekas Perdana Menteri Najib Razak yang kehilangan kuasa pada 2018 apabila gabungan pimpinan Mahathir mencatat kemenangan mengejut pada pilihan raya, meminta agar semua pihak bertenang.

“Dunia seharusnya bertenang dan membaca kenyataan @chedetofficial dalam konteksnya yang penuh. Saya pasti beliau tidak memaksudkan seperti yang dikatakannya. Dan jika beliau memaksudkannya, itu adalah pandangan peribadi beliau dan bukan pandangan Malaysia,” kata Najib dalam satu ciapan. “Pada masa yang sama, seseorang perlu membuang semua akaun media sosialnya sebelum beliau melakukan lebih banyak kerosakan.”

Sementara itu, Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir, telah mengeluarkan kenyataan terhadap Mahathir.

“Saya amat-amat tidak bersetuju dengan kenyataan Tun Dr Mahathir baru-baru ini. Kebebasan bersuara adalah satu hak, menyeru ke arah keganasan bukan satu hak,” katanya.

Kedutaan Jerman di Kuala Lumpur turut serta mengutuk perkataan yang digunakan oleh Mahathir.

“Kedutaan Jerman kecewa dengan bahasa yang digunakan oleh Tun Dr Mahathir. Apa yang sepatutnya dilakukan hari ini ialah tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan dan menyatakan solidariti kepada mangsa keganasan. Jerman berkongsi kesakitan dan kesedihan rakan karib kami, Perancis,” katanya.

Di Australia, Perdana Menteri Scott Morrison menyifatkan Ciapan Mahathir sebagai “tidak masuk akal dan keji.”

Badan-Badan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh-tokoh politik turut mengeluarkan kenyataan yang mengutuk pemimpin itu.

The Center for Independent Journalism (CIJ) telah mengeluarkan kenyataan yang mendesak Mahathir memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu.

“Individu yang berkaliber dan mempunyai kedudukan yang tinggi di mata umum seperti Dr Mahathir, sebagai seorang bekas pemimpin negara serta tokoh dan ahli politik berpengalaman, mempunyai tanggungjawab yang lebih besar dalam menjaga kata-kata dan mengelak melakukan ucapan yang mempunyai unsur-unsur kebencian serta mengagung-agungkan keganasan, kerana kesannya adalah lebih besar dan meluas,” kata Pengarah Eksekutif kumpulan itu Wathshlah G. Naidu.

Menurut laporan Associated Press, pejabat Facebook di Malaysia berkata dalam satu e-mel bahawa ia telah memadamkan hantaran Mahathir kerana telah melanggar dasar platform media sosial itu.                                                     

“Kami tidak membenarkan ucapan kebencian di Facebook dan mengutuk sekeras-kerasnya sebarang sokongan terhadap keganasan, kematian dan kemudaratan fizikal,” katanya.

Duta Perancis dipanggil

Terdahulu, pada minggu ini di Kuala Lumpur, kerajaan Malaysia telah memanggil Timbalan Duta Perancis untuk memberikan respons berhubung kenyataan Macron.

“Malaysia berpendapat bahawa peningkatan ketegangan seperti ini bukanlah sesuatu yang baik untuk kewujudan bersama secara aman bagi semua agama,” menurut kenyataan Kementerian Luar.

“Semasa pertemuan itu, kementerian mengulangi pendirian Malaysia yang mengutuk keras segala retorik dan tindakan provokatif  yang ingin memfitnah agama Islam seperti yang dapat disaksikan dunia baru-baru ini dalam bentuk ucapan populis dan penerbitan karikatur menghina yang menggambarkan Nabi Muhammad (SAW).”

Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), berkata kenyataan Macron mendedahkan sikap permusuhan beliau terhadap Islam.

“Ini sebenarnya adalah satu kesilapan besar kerana tidak ada justifikasi yang boleh digunakan untuk mempertahankan dirinya, meskipun matlamat beliau adalah semata-mata untuk meraih undi pada pilihan raya,” katanya pada Jumaat.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.