Perdana Menteri Malaysia Pertahan Kenaikan Rendah Gaji Minima

Hadi Azmi
2018.09.07
Kuala Lumpur, Malaysia
180907-my-mahathir-gaji-620.jpg Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad bersama Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail pada satu sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, 13 Ogos 2018.
[AFP]

Malaysia akan hilang keupayaan untuk bersaing dengan negara jiran jika gaji minima di negara itu dinaikkan terlampau tinggi kata Perdana Menteri Mahathir Mohamad dalam penjelasan selepas mengumumkan penetapan gaji minima seluruh negara dengan peningkatan RM50 di Semenanjung dan RM130 bagi Sabah dan Sarawak.

Bermula Januari tahun hadapan, gaji minima di Malaysia adalah RM1,050 (AS $258), kenaikan dari RM1,000(AS$246) bagi Semenanjung dan RM920(AS$226) di Sabah dan Sarawak.

“Ada yang berpendapat bahawa gaji minima sepatutnya pada kadar RM1,800, dan ada juga yang kata RM1,500. Tetapi kerajaan sekarang berada dalam kesulitan kerana sebahagian besar dari wang digunakan untuk membayar balik hutang negara,” kata Mahathir di satu sidang media selepas mesyuarat majlis presiden di Petaling Jaya, Selangor di luar Kuala Lumpur,  awal Jumaat.

Kerajaan baru Pakatan Harapan dikecam hebat berikutan pengumuman kenaikan gaji yang dikatakan berlawanan dengan manifesto piliharaya gabungan tersebut. Dalam manifesto itu, PH berjanji untuk menaikkan gaji minima kepada RM1,500.

Had gaji minima diperkenalkan oleh bekas perdana menteri Najib Razak pada Mei 2012 dengan kadar RM900(AS$217) untuk Semenanjung serta RM800(AS$193) untuk Sabah dan Sarawak dan kemudiannya dinaikkan lagi pada pengumuman Bajet 2016.

Sejak itu, Najib berjanji untuk mengadakan satu kajian setiap dua tahun bagi mengkaji kadar minima gaji kebangsaan di bawah satu majlis yang ditubuhkan.

MTUC kecam

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada media tempatan mengecam kerajaan dengan mengatakan kenaikan tersebut menggambarkan eksploitasi korporat melalui kerajaan.

Setiausaha Agung MTUC  J. Solomon berkata kenaikan RM50 dari RM1,000 adalah sangat sedikit bagi golongan buruh di Semenanjung manakala kenaikan RM130 bagi Sabah dan Sarawak masih lagi di bawah paras kemiskinan pada kadar RM1,180.

“Kita mengundi untuk membuang kerajaan lama dengan harapan mendapat satu kerajaan yang boleh memahami masalah yang dihadapi oleh golongan B40,” katanya yang merujuk kepada seramai 40% pendudik berpendapatan RM3,900(AS$940) dan ke bawah.

Selain dari MTUC, 10 pertubuhan buruh turut mengeluarkan kenyataan menyuarakan kekecewaan mereka yang menganggap kenaikan tersebut sebagai sia-sia dan gagal untuk membenarkan pekerja hidup dengan bermaruah.

“Mengambil kira gaji pekerja buruh berbanding kos sara hidup, kenaikan RM50 adalah satu usaha yang tidak bermakna,” kata N Gopal Kishnam, Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pengangkutan Barangan dan Gabungan Pekerja Kilang dalam kenyataan mereka kepada BeritaBenar.

Menurut Nor Azlan Yaacob, ketua bagi Kesatuan Pekerja Balak Semenanjung Malaysia pula, pekerja dalam industri itu kerap dibayar pada kadar gaji minima ataupun sedikit peningkatan dari paras minima walaupun pembalakan merupakan salah satu export utama kerajaan.

“Pekerja kurang gembira dengan cadangan gaji minima tersebut,” katanya.

Manakala P. Panicker, pekerja kilang dari Rawang yang ditemuramah BeritaBenar berkata beliau amat kecewa dengan berita kadar gaji minima, satu lagi janji gagal dari PH.

“Kegagalan PH bukan sahaja dari peringkat atasan tetapi juga membawa kesan kepada perkara-perkara kecil di peringkat bawahan,” kata Panicker yang setia bersama pembangkang dan PH sejak pilihanraya 2008.

“Saya tak tahu apa yang saya boleh buat dengan tambahan RM50 ini mengambil kira benda-benda yang perlu dibayar tiap-tiap bulan,” katanya merujuk kepada pemotongan wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Walaubagaimanapun dia berterima kasih dengan kerajaan atas usaha untuk menyelesaikan masalah isu mereka yang tiada kewarganegaraan yang dialami oleh kaum India yang turut menjejaskan ahli keluarga beliau.

Menurut penganalisa kanan dari Institut Pulau Pinang, Lim Chee Han, beliau bersetuju dengan kadar rendah gaji minima yang ditetapkan.

Menurut kajian beliau, kadar gaji minima yang paling baik bagi Malaysia adalah di antara 30% hingga 60% dari pendapatan median isi rumah berpendapatan RM4,585, yang menurut beliau adalah kaedah yang digunapakai oleh kebanyakaan negara lain.

Jika dihitung, menurut Lim, gaji minima sepatutnya pada kadar RM1,528.

Menurut data 2017, gaji minima di Malaysia merupakan kedua tertinggi di Asia Tenggara selepas Thailand yang menetapkan gaji minima di antara AS$271 ke AS$280 manakala Myanmar pada tangga terbawah pada AS$80.28.

Dua negara terkaya di rantau itu, Singapura dan Brunei tidak mempunyai kadar gaji minima.

“Jika gred paling rendah bagi pekerja di Majlis Perbandaran Seberang Perai boleh menikmati gaji minima termasuk elaun tetap sebanyak RM1,350 ringgit sejak 2012, tiada sebab kenapa kerajaan persekutuan tidak boleh melakukannya di peringkat kebangsaan dengan menaikkan kadar dengan had yang munasabah dan adil,” kata Lim.

Beliau turut menegaskan kadar minima patut dijadikan sebagai sebagai hak pekerja untuk mengelakkan mereka di eksploitasikan oleh syarikat supaya hidup mereka lebih terjamin dan bermaruah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.