Malaysia Tolak Perkahwinan Sejenis Dan LGBT, Kata Mahathir
2018.09.21
Kuala Lumpur, Malaysia

Semasa menegaskan ia bercanggah dengan sistem nilai negara, Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada Jumaat menolak pernikahan sejenis atau hak asasi lesbian dan gay, dua minggu selepas beliau membidas pelaksanaan hukuman sebat ke atas dua wanita Islam kerana cuba melakukan seks lesbian.
Kenyataan Mahathir itu mungkin mencetuskan kebimbangan dalam kalangan aktivis terhadap pentadbirannya yang dianggap menentang komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kata penganalisis.
“Di Malaysia, ada perkara tertentu yang kita tidak boleh terima walaupun sekarang dianggap sebagai hak asasi manusia di negara Barat,” katanya pada satu sidang media. “Kita tidak boleh terima, umpamanya, LGBT, perkahwinan antara lelaki dengan lelaki dan wanita dengan wanita.”
Ia adalah kenyataan umum pertama pemimpin berusia 93 tahun itu berhubung komuniti LGBT sejak beliau menyandang jawatan tertinggi itu pada 10 Mei. Beliau mengulas demikian selepas pembentangan cadangan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia atau Suhakam di pusat pentadbiran Putrajaya.
"Konsep keluarga negara kita kekal sama: pasangan lelaki dan wanita serta anak-anak atau anak angkat sebagai keluarga. Tetapi, pasangan dua lelaki atau dua wanita tidak diiktiraf sebagai keluarga, "katanya.
Kanun Keseksaan di Malaysia, negara dengan 32 juta penduduk yang majoritinya Muslim, menggambarkan seks gay atau lesbian sebagai "bertentangan dengan hukum alam" serta mengenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan terhadap mereka yang melakukan kesalahan itu.
Semasa ditanya mengenai kenyataan Mahathir itu, aktivis transgender Nisha Ayub memberitahu BeritaBenar bahawa ramai LGBT tidak memikirkan tentang perkahwinan sejenis atau kebanggaan sebagai gay.
"Kebanyakan komuniti transgender tidak langsung memikirkan tentang perkahwinan," kata Nisha, transgender pertama yang menerima Anugerah Wanita Berani Antarabangsa 2016 daripada Jabatan Negara Amerika Syarikat. "Kami hanya mahu menjalani kehidupan harian sebagai warganegara yang menerima hak sama."
Kumpulan pejuang LGBT, Pelangi (Kempen untuk Kesamaan dan Inisiatif Hak Asasi Manusia) pula pada Jumaat mendesak Mahathir supaya menangani jenayah keganasan dan kebencian yang dilakukan terhadap "insan aneh."
"Berapa banyak lagi jenayah kebencian yang mahu anda lakukan di bawah kerajaan anda?" soal Pelangi dalam kenyataannya di laman Twitter.
Pelangi tidak mengulas lanjut, namun laporan media tempatan bulan lalu menyatakan transgender bernama Suki telah dipukul dengan kayu oleh penyerang tidak dikenali di Seremban, sebuah bandar di selatan Kuala Lumpur.
Presiden Pelangi Numan Afifi juga menjadi tumpuan media pada Julai selepas beliau melepaskan jawatannya sebagai pegawai media kepada Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq setelah diserang dalam media sosial kerana orientasi seksualnya.
Sebelum itu, Pelangi dikritik kerana didakwa mempersendakan bulan suci Islam Ramadan dengan menganjurkan acara berbuka puasa di Kuala Lumpur semasa Hari Kebanggaan pada 2017.
Kenyataan Mahathir yang menolak komuniti LGBT itu dibuat selepas dua wanita masing-masing menerima enam sebatan rotan pada awal bulan ini selepas mengaku bersalah di Mahkamah Syariah atas dakwaan cuba melakukan hubungan seks dalam sebuah kereta yang berparkir di negeri Terengganu yang konservatif agama.
Selepas berita mengenai hukuman sebatan itu menjadi tumpuan di seluruh dunia, Mahathir berkata kabinetnya memutuskan bahawa hukuman yang dikenakan itu adalah keras memandangkan kedua-dua wanita itu merupakan pesalah kali pertama. Beliau berkata hukuman sebatan itu telah mencemarkan imej Islam.
Tetapi pada 2014, Mahathir pernah menuduh ahli komuniti gay dan lesbian sebagai mengabaikan agama dengan mengikut emosi dan nafsu mereka.
"Sekiranya anda memahami agama, anda tidak akan menjadi gay," lapor akhbar-akhbar telah memetik beliau sebagai berkata demikian selepas satu syarahan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.