Malaysia Tolak Guna Nuklear Sebagai Sumber Tenaga Negara

Hadi Azmi
2018.09.18
Kuala Lumpur, Malaysia
180918-MY-MahathirNuklear620.jpg Perdana Menteri Mahathir Mohamad semasa berucap di Persidangan Industri Bekalan Kuasa Elektrik (CEPSI) 2018 di Kuala Lumpur, 18 Sep, 2018
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia sedang mencari kaedah lain untuk menjana tenaga elektrik selain dari penggunaan tenaga nuklear selepas mengalami kesan salah urus bahan radioaktif yang berlaku tiga dekad lalu, kata Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada Selasa.

Mahathir berkata, pendiriannya tetap sama dengan pendirian dahulu ketika menjadi perdana menteri Malaysia yang keempat jika mahu dibandingkan pemimpin negara selepas itu yang bersikap terbuka dalam penerimaan penggunaan kuasa nuklear.

“Saya bantah kuasa nuklear kerana kita ada pengalaman buruk dengan bahan yang menghasilkan radiasi di negara ini,"  katanya di Persidangan Industri Bekalan Kuasa Elektrik (CEPSI) 2018 di Kuala Lumpur pada Selasa.

Mengambil contoh kejadian yang berlaku pada 1984, Mahathir berkata,  Malaysia mempunyai pengalaman buruk apabila negara berdepan dengan isu penggunaan amang, sejenis bahan hitam yang digunakan untuk menghasilkan warna dalam televisyen suatu masa dulu.

Kejadian itu berlaku di kawasan berdekatan Ipoh, Perak semasa Mahathir menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri yang keempat, di mana tujuh orang maut apabila diserang penyakit leukemia di dalam komuniti seramai 11,000 di kawasan berkenaan walaupun tiada sebarang kes yang dilaporkan sebelum itu. Turut direkodkan adalah peningkatan mendadak jumlah kecacatan semasa kelahiran.

“Untuk menggunakan amang, ianya perlu diaktifkan terlebih dahulu, namun masalah timbul akibat daripada pengeluaran bahan berlebihan oleh industri televisyen berwarna.

“Langkah menanam amang dalam tanah dan menutupnya dengan lapisan simen yang tebal juga mengundang isu lain, termasuk kerugian kawasan untuk pembangunan. Apa yang kita pelajari adalah sisa buangan daripada bahan radiasi tidak mudah untuk dilupuskan” katanya.

Negara masih kurang pengetahuan

Tambah beliau, negara masih tidak mempunyai pengetahuan yang cukup untuk menggunakan bahan nuklear.

Loji nadir bumi milik Asian Rare Earth Sdn Bhd (ARE) merupakan milik usahasama antara Mitsubishi Chemical Corp (MCC) of Japan, rakan tempatan dan kerajaan Malaysia yang akhirnya ditutup berikutan kes mahkamah yang berpanjangan dan bahan radioaktif tersebut telah ditanam dalam ruang fasiliti bawah tanah di Bukit Merah, Perak.

Kebimbangan Mahathir berikutan apa yang berlaku di negara luar seperti kegagalan Loji Nuklear Fukushima yang menyebabkan tumpahan bahan radioaktif di sekeliling kawasan tersebut termasuk Lautan Pasifik selepas terjadinya gempa bumi besar yang membawa kepada Tsunami pada 2011.

Perdana Menteri memberi amaran bahawa walaupun sains telah berjaya meningkatkan bidang elektronik,  ia masih belum mampu untuk menangani kesan daripada bahan sisa radiasi selepas ia tidak lagi mampu menjadi sumber tenaga.

“Sebab itu kita membuat keputusan untuk tidak menggunakan tenaga nuklear di Malaysia,” kata beliau.

Selepas Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada 2003, pengganti beliau, Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak telah bersetuju membenarkan syarikat dari Australia, Lynas untuk membina loji “Advanced Material Plant” di Kuantan, Pahang.

Loji bernilai AS$220 juta itu akan menyuling bijih radioaktif yang dibawa masuk dari lombong Mount Weld dari gurun di Australia.

Walaupun kempen memprotes keputusan kerajaan memberi kebenaran kilang itu beroperasi diadakan secara besar-besaran,  kerajaan tetap meluluskannya dengan memberi pelepasan cukai selama 12 tahun bermula pada 2012.

Kesan radiasi dari Lynas

Ahli Parliamen Kuantan, Fuziah Salleh memberitahu BeritaBenar, bijih radioaktif  dari loji tersebut membawa kesan radiasi rendah berbanding kadar tinggi radiasi dari loji nuklear.

“Kadar radiasi yang rendah mempunyai jangka hayat yang lebih panjang dan sebab itu ia memberikan kesan yang lebih lama kepada alam sekitar,” kata Fuziah yang turut sama memprotes penubuhan loji tersebut.

Beliau berkata di bawah kerajaan pusat yang lama, kesemua operasi dijalankan secara rahsia dan segala pertanyaan beliau di parlimen berkenaan loji itu juga tidak diambil peduli.

Mahathir berkata, Malaysia akan terus menggunakan arang dan minyak untuk menjana tenaga.

“Kita ada banyak arang di Malaysia tetapi kita tidak memaksimakan penggunaannya, kawasan lain turut berpotensi menyumbangkan arang seperti Selangor, Sabah dan Sarawak.” tambah beliau lagi.

Bagaimanapun pakar alam sekitar telah meluahkan kebimbangan terhadap ketegasan Mahathir yang mahu terus menggunakan arang sebagai bahan utama walaupun negara mempunyai banyak lagi punca tenaga yang lebih bersih untuk menjana elektrik.

Menurut pakar dari Yayasan Pulau Banding di Perak, Malaysia mempunyai potensi untuk mengeluarkan sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga solar, angin dan biofuel.

“Nuklear dikira sebagai sumber tenaga bersih berbanding bahan api fosil seperti yang dilihat di Fukushima dan Chernobyl, ia boleh mendatangkan isu besar dengan kebocoran dan tempat simpanan,” kata Chandra kepada BeritaBenar.

Beliau berkata, kekayaan Malaysia dalam sumber tenaga asli, arang dan bahan api berpandukan petroleum membuatkannya susah untuk memotivasikan negara dalam  mencuba bahan tenaga alternatif yang lain dan dalam inovasi mencipta reaktor nuklear berbanding dengan negara-negara yang mempunyai pilihan yang terhad dalam hal ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah, Agensi Nuklear Malaysia, Muhd Noor Muhd Yunus memberitahu BeritaBenar bahawa agensi akan meniliti setiap cadangan untuk membina infrastruktur tenaga nuklear dari sudut pandangan saintifik dan juga perundangan.

“Sebagai pengawalselia, saya tidak boleh memberikan komen samaada ianya baik ataupun tidak atau tentang sumber tenaga spesifik tetapi apa yang kita buat adalah adil.

Malaysia pada tahun 1973 telah menubuhkan Pusat Penyelidikan Atom Tun Ismail yang diilhamkan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Ismail Abdul Rahman sebagai program perintis dalam membangunkan keupayaan teknologi nuklear di Malaysia. Pusat itu bagaimanapun ditukar namanya kepada Agensi Nuklear Malaysia pada 2005.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.