Malaysia: Mahathir Saman Najib Berhubung Dakwaan Rasuah, Salah Guna Kuasa

Fahirul N. Ramli
2016.03.23
Kuala Lumpur
160323-my-mahathir-620 Bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad membaca deklarasi rakyat semasa sidang berita bersama-sama ahli-ahli parti pembangkang di Kuala Lumpur, 4 Mac, 2016.
AFP

Bagi meneruskan lagi usahanya untuk menyingkirkan Perdana Menteri Najib Razak daripada jawatan, bekas perdana menteri Mahathir Mohamad pada Rabu memfailkan saman terhadap beliau atas dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

Mahathir dan dua plaintif lain juga menyaman Najib untuk memaksa beliau membayar kerajaan sebanyak RM2.6 bilion (US$681 juta) sebagai ganti rugi teladan dan RM42 juta (US$10.1 juta) sebagai ganti rugi teruk untuk salah laku jawatan yang didakwa dilakukan semasa menyandang jawatan awam, kata peguam mereka.

Salah laku jawatan itu didedahkan oleh siasatan terhadap salah laku kewangan di bawah kepimpinan Najib, termasuk dakwaan salah laku berkaitan dengan dana negara yang sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata peguam Mohamed Haniff Khatri kepada BeritaBenar.

"Jika setiap satu usaha yang diambil untuk menyampaikan mesej kepada pelaku salah laku telah pun dibuat, dan jika pelaku salah laku terus melakukan salah laku untuk berpaut kepada kedudukannya tanpa sebarang penyesalan, dengan itu, ia memerlukan seseorang untuk mendapatkan bantuan institusi kehakiman, sebagai benteng terakhir dalam melaksanakan keadilan,”kata Haniff.

Mahathir, 90, yang menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003, adalah antara pengkritik Najib yang paling lantang. Sejak tahun lepas,  beliau telah menerajui gesaan supaya Najib meletakkan jawatan berikutan skandal kewangan, terutamanya berhubung deposit sebanyak US$681 juta ke dalam akaun bank peribadinya pada  2013.

Bulan lalu, Mahathir keluar daripada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti yang mengetuai pemerintahan Malaysia, bagi membantah skandal yang dikaitkan dengan 1MDB. Pada 7 Mac, Mahathir dan sebilangan besar bekas musuh politiknya melancarkan "Deklarasi Rakyat" yang menggesa supaya Najib disingkirkan secara aman.

Pada Januari, Peguam Negara Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada potensi salah laku dan mengarahkan siasatan terhadap perdana menteri itu ditutup, dengan menyatakan bahawa "tiada kesalahan jenayah" yang dilakukan beliau. Wang sebanyak US$681 juta itu merupakan  sumbangan peribadi kepada Najib daripada keluarga diraja Arab Saudi, dan sebahagian besar  wang itu telah dikembalikan kepada penyumbangnya, demikian menurut Apandi.

Najib menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengambil wang untuk kepentingan dirinya. Perdana menteri, yang tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen mengenai saman  mahkamah itu, adalah pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Plaintif Bersama

Turut menyertai Mahathir dalam saman itu ialah Khairuddin Abu Hassan, bekas naib ketua bahagian UMNO dan bekas ahli UMNO Anina Saadudin.

Pada 2015, Khairuddin  ke Switzerland, Britain, Perancis dan Hong Kong untuk menarik perhatian berhubung kes 1MDB, tetapi kemudian ditahan di Malaysia mengikut Keselamatan Kesalahan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana didakwa berkomplot menentang Najib. Anina telah dipecat daripada UMNO kerana memfailkan saman berasingan terhadap Najib.

Saman setebal 34 muka surat itu mengetengahkan dakwaan  "gangguan dan salah laku kewangan" Najib berhubung 1MDB dan skandal kewangan yang lain.

"Menerusi saman itu, kami sedang mencari justifikasi terhadap salah laku Najib ... semua halangannya terhadap pihak berkuasa yang  menyiasat skandal 1MDB, dan itu adalah salah, kerana ia menghalang semua yang boleh dilakukan untuk mendapatkan kebenaran  perkara itu," kata Haniff kepada BeritaBenar.

Mahathir ‘kehabisan opsyen’

Sebagai reaksi terhadap langkah terbaru Mahathir terhadap Najib, seorang daripada sekutu kuat perdana menteri dalam Kabinet, Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak, mencatatkan dalam blog beliau bahawa  Mahathir adalah "dalam keadaan terdesak."

Salleh menulis di dalam blognya bahawa Mahathir mengemukakan saman setelah beliau gagal menggulingkan Najib melalui perhimpunan tahunan UMNO dan dengan usul undi tidak percaya di Parlimen.

"Tuduhannya adalah palsu, maka beliau akan gagal lagi. Beliau telah kehabisan opsyen, "catat Salleh.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamed berkata, Mahathir tidak mempunyai alasan undang-undang untuk menyaman perdana menteri sekarang.

"Seorang rakyat biasa tidak mempunyai locus standi untuk menyaman Najib [sebagai perdana menteri]. Ini adalah gimik politik yang mencari publisiti, Mahathir cuba membangkitkan kemarahan rakyat, " kata Jazlan kepada media Malaysia.

Tengku Razaleigh Hamzah, penggubal undang-undang UMNO yang juga sahabat Mahathir, sebaliknya memberitahu BeritaBenar bahawa sesiapa sahaja boleh mendakwa perdana menteri.

"Jika seseorang menteri tidak melakukan kerja yang memuaskan atau menyalahgunakan kuasa, rakyat biasa yang tidak berpuas hati dengan menteri itu, atau mana-mana kakitangan kerajaan, mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang," kata Ahli Parlimen yang paling lama berkhidmat itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.