IS: Mahkamah Rayuan Tambah Hukuman Penjara Tujuh Tahun
2016.08.10
Kuala Lumpur

Mahkamah Rayuan Malaysia pada Rabu mengambil keputusan menambah tempoh hukuman penjara sebanyak tujuh tahun terhadap seorang tukang kayu kerana memberi sokongan kepada kumpulan militan Negara Islam (IS) dengan berjuang di Syria tiga tahun lalu.
Panel Hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya yang diketuai oleh Hakim Ahmadi Asnawi memutuskan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Mei lepas, terhadap Muhammad Kasyfullah Kasim, 38, tidak mencukupi.
Dengan keputusan terbaru itu, Muhammad Kasyfullah perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.
“Kami (panel ini) sebulat suara bersetuju dengan pihak pendakwaan hukuman lima tahun itu tidak memadai memandangkan kesalahan itu adalah serius," kata beliau yang bersidang bersama Hakim Vernon Ong Lam Kiat dan Hakim Zamani A.Rahim seperti dilaporkan agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Panel itu membuat keputusan berkenaan selepas menerima rayuan pendakwaraya bahawa tempoh hukuman penjara Mahkamah Tinggi tersebut tidak setimpal dengan kesalahannya itu.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini telah memerintahkan hukuman penjara lima tahun terhadap Muhammad Kasyfullah bermula tarikh pesalah itu ditangkap, pada 27 November 2014.
Terdahulu itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurshafini Mustafha dalam hujahnya, memohon supaya hukuman lima tahun itu ditambah kepada 15 tahun kerana kesalahan serius yang dilakukan responden, penglibatannya dalam kes berkenaan serta latihan ketenteraan yang dijalaninya bersama rakan-rakan di Syria.
Hujahnya, responden juga menyertai beberapa pertempuran semasa selama berjuang di Syria selama empat bulan.
"Responden juga telah menyebarkan ideologi melalui gambar-gambar yang dimuat naik di dalam akaun laman sosial Facebook miliknya semasa berada di Syria antara 28 Disember 2013 hingga 7 April 2014," katanya.
Nurshafini berhujah bahawa Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf semasa menjatuhkan hukuman lima tahun dengan mengambil kira faktor responden telah mengaku bersalah dan itu merupakan kesalahan pertamanya.
Beliau berkata pengalaman dan penglibatan responden di Syria jika tidak dibendung, boleh menyebarkan idealogi itu lantas merekrut orang awam di Malaysia yang boleh membangkitkan kekecohan.
Sementara itu, peguambela tukang kayu, Azizzul Shariman Mat Yusoff, dalam membela anak guamnya memberitahu mahkamah bahawa Muhammad Kasyfullah telah insaf dan tidak lagi terlibat dengan gerakan kumpulan IS sejak pulang ke Malaysia.
Muhammad Kasyfullah didakwa memberi sokongan kepada keganasan dengan menggunakan senjata api dalam perjuangan ideologi yang membahayakan orang awam di Syria.
Lelaki yang berasal dari negeri Kedah itu didakwa mengikut Seksyen 130J (1) (b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 130J (1)(a) akta yang sama. Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun penjara atau denda dan harta juga boleh dirampas.
Beliau telah memasuki Syria melalui Istanbul, Turki pada 28 Disember 2013 dan kembali ke Malaysia pada 7 April 2014 melalui Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur.
Sebelum ke negara bergolak itu, Muhammad Kasyfullah telah menjual tanah dengan harga RM10, 000 pada 24 Disember, 2013 untuk perbelanjaan perjalanan ke Syria.
Semasa di Syria, Muhammad Kasyfullah telah diberi senapang AK-47 oleh kumpulan militan itu dan menjalani latihan ketenteraan.
Sementara itu, sebuah akhbar tempatan The Star melaporkan, seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ampang di ibu negara pada Rabu atas dua pertuduhan iaitu memberi sokongan kepada kegiatan pengganas yang melibatkan penggunaan bahan letupan pada Mac lepas.
Nur Redzwan Wan Redzmann, 29, pemilik bengkel kereta yang tidak diwakili peguam mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Nor.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan Mahkamah menetapkan 10 Okt untuk sebutan semula kes berkenaan.
Tertuduh didakwa telah memberi sokongan kepada tindakan keganasan yang melibatkan penggunaan bahan letupan dan didakwa melakukan kesalahan itu di No 7, Jalan Watan 24, Taman Sri Watan, Ampang, di sini antara 25 Mac hingga 30 Jun lepas.
Dalam pada itu, Ketua Bahagian Anti-Keganasan Cawangan Khas PDRM, Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay seramai 230 individu yang dipercayai pengganas IS termasuk 200 rakyat Malaysia telah ditahan pihak berkuasa Malaysia. Seramai 84 individu telah didakwa dengan 18 lagi telah dibuang negeri manakala 62 telah dibebaskan selepas disoal siasat, katanya.