Undang-Undang Syariah Berkait Seks Luar Tabii Tidak Sah Disisi Perlembagaan, Mahkamah Persekutuan

Persatuan Peguam Syarie Malaysia berkata keputusan Mahkamah Persekutuan itu membawa implikasi besar kepada perundangan syariah di negara berkenaan.
Noah Lee
2021.02.25
Kuala Lumpur
Undang-Undang Syariah Berkait Seks Luar Tabii Tidak Sah Disisi Perlembagaan, Mahkamah Persekutuan Jalur Gemilang berkibar di hadapan Mahkamah Persekutuan semasa negara itu dilanda jerubu di Putrajaya, Malaysia, 6 Oktober 2015.
[Reuters]

Mahkamah tertinggi Malaysia pada Khamis memutuskan bahawa satu peruntukan dalam undang-undang Syariah negeri Selangor yang menetapkan perbuatan seks luar tabii termasuk seks sesama jenis sebagai jenayah, adalah tidak sah disisi Perlembagaan negara.

Panel Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengumumkan keputusan mengetepikan undang-undang Syariah negeri Selangor itu, selepas meneliti kes dibawa seorang lelaki yang mencabar keabsahan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor, atas alasan bahawa perkara itu sudah termaktub di dalam Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun menurut mahkamah tertinggi itu, perbuatan tersebut masih kekal satu jenayah di bawah undang-undang jenayah persekutuan, yang menetapkan hukuman yang jauh lebih berat termasuk hukuman penjara dan sebatan bagi kesalahan seks luar tabii, termasuk yang dilakukan secara rela atau paksaan.

"Pada pandangan mahkamah, penggubalan Seksyen 28 di bawah enakmen tersebut telah dibuat secara bertentangan dengan Perkara 1 dalam Senarai Negeri, yang menetapkan bahawa Penggubal Undang-undang Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal perundangan 'yang mana berkait dengan perkara yang telah termasuk di dalam senarai (undang-undang) persekutuan).

“Oleh itu, Seksyen 28 Enakmen berkenaan adalah tidak konsisten dengan Perlembagaan Negara dan ia adalah tidah sah," kata Tengku Maimun ketika mengumumkan keputusan Mahkamah Persekutuan melalui satu sesi yang dijalankan secara atas talian pada Khamis itu.

Untuk rekod, Malaysia mempunyai undang-undang persekutuan yang terpakai di seluruh negara, termasuk undang-undang jenayah sivil manakala setiap negeri pula mempunyai set undang-undang syariah masing-masing di bawah kuasa negeri, termasuk peruntukan mengenai hal-ehwal tanah dan agama Islam.

Peruntukan undang-undang yang boleh digubal di peringkat negeri, bagaiamanapun mempunyai had tertentu seperti yang diperuntukkan di bawah satu senarai dalam Perlembagaan Persekutuan dengan senarai tersebut menetapkan undang-undang yang boleh digubal di peringkat negeri, kecuali perkara-perkara yang sudah termasuk di dalam Senarai Persekutuan.

Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor yang digubal pada tahun 1995 memperuntukkan bahawa individu yang didapati bersalah melakukan persetubuhan luar tabii samada dengan lelaki, wanita atau haiwan boleh didenda maksima RM5,000 (AS$1,237) atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun, atau sebatan tidak melebihi enam kali, atau mana-mana kombinasi hukuman berkenaan.

Ia bagaimanapun tidak membezakan sama ada sesuatu perbuatan itu dilakukan dengan rela atau sebaliknya.

Di bawah Kanun Keseksaan pula, terdapat tiga peruntukan berbeza untuk perbuatan seks luar tabii, iaitu Seksyen 377 untuk kesalahan melakukan persetubuhan dengan haiwan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan juga boleh dikenakan denda atau sebatan.

Seksyen 377B pula memperuntukkan hukuman bagi seks luar tabii sesama manusia di mana pesalah berhadapan hukuman penjara maksima 20 tahun dan juga sebatan dan bagi kesalahan melakukan seks luar tabii terhadap individu lain tanpa kerelaannya, Seksyen 377C memperuntukkan hukuman penjara sekurang-kurangnya lima tahun dan maksima 20 tahun, serta sebatan.

Kuasa gubal undang-undang

"Bagi mengelakkan keraguan, badan perundangan negeri di seluruh Malaysia mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang mengenai kesalahan jenayah yang bertentangan dengan ajaran Islam.

“Seperti yang pernah diputuskan oleh Mahkamah ini dalam kes Sulaiman Takrib dan keputusan-keputusan lain yang berkaitan, definisi 'ajaran Islam' itu adalah sesuatu yang luas dan tidak terhad hanya kepada lima rukun Islam. Maka, capaian terhadap jenis kesalahan yang boleh digubal adalah luas.

“Bagaimanapun, kuasa untuk menggubal kesalahan-kesalahan tetap tertakluk kepada had yang ditetapkan perlembagaan," kata Tengku Maimun, seperti dipetik di dalam rumusan penghakiman Mahkamah Persekutuan yang disediakan bagi kegunaan media.

Menurut dokumen tersebut, mahkamah telah membuat keputusan selepas meneliti kes dibawa seorang lelaki yang mencabar kerajaan negeri Selangor dengan individu tersebut telah didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan cuba melakukan seks luar tabii dengan beberapa lelaki lain di sebuah rumah di Bandar Baru Bangi pada 9 Nov 2018.

Sementara itu, Persatuan Peguam Syarie Malaysia dalam satu kenyataan berkata keputusan mahkamah itu akan membawa implikasi yang besar kepada perundangan syariah dalam negara, termasuk peruntukan-peruntukan lain.

"Keputusan tersebut akan membuka ruang kepada mana-mana pihak lain untuk mencabar peruntukan-peruntukan lain yang terdapat dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri-negeri.

"Keputusan tersebut menunjukkan bahawa selagi mana ada peruntukan tentang sesuatu kesalahan jenayah dalam undang-undang persekutuan, maka sukar untuk negeri mengadakan atau menggubal peruntukan berhubung kesalahan-kesalahan jenayah syariah walaupun kesalahan itu adalah dalam kategori kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama' itu.

"Keputusan tersebut juga sebagai gambaran awal “menutup pintu” kepada cadangan untuk melaksanakan undang-undang berkaitan hudud dan qisas di negara ini. Ini kerana kesalahan hudud seperti mencuri (sariqah), merompak (hirabah), kesalahan qisas seperti membunuh (al-qatl) juga terdapat dalam Kanun Keseksaan," kata kenyataan Persatuan Peguam Syarie Malaysia itu selepas keputusan mahkamah tersebut.

Persatuan itu juga menggesa kerajaan negeri serta pihak berkuasa lain supaya mengambil tindakan untuk mengkaji semula semua peruntukan jenayah syariah di negeri mereka.

"Ini bagi memastikan undang-undang jenayah syariah tidak lagi dicabar dan menjadi mangsa untuk diperkotak-katikan oleh pihak-pihak tertentu."

Tegak hak kemanusiaan

Keputusan Mahkamah Persekutuan menurut para aktivis komuniti Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender and Queer) telah membuka laluan kepada penegakan hak kemanusiaan dan keadilan untuk semua.

Sebuah kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai LGBTIQ Network dalam kenyataan yang dimuatnaik di laman Twitter pada Khamis berkata, "Keputusan ini membuka laluan kepada penegakan hak kemanusiaan dan keadilan untuk semua. Ia mengembalikan semula keyakinan kepada kehakiman dan mengesahkan semula prinsip-prinsip demokrasi yang menjadi asas perundangan,"

Numan Afifi, seorang aktivis LGBTQ di Malaysia dalam laman Twitternya pula berkata, "Kemenangan kecil ini mungkin tidak bermakna buat kamu, tetapi ia adalah segala-galanya buat 12 lelaki yang kehilangan pekerjaan, didera secara fizikal oleh keluarga, menghadapi masalah kewangan dan kehilangan tempat tinggal.”

Beliau dipercayai merujuk kepada kes melibatkan lelaki yang mencabar kerajaan negeri itu dan individu-individu lain yang didakwa di Mahkamah Syariah Selangor di bawah Seksyen 28 tersebut.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.