Wakil PBB: Malaysia Perlu Tetapkan Standard Pembiayaan Dana Asing

Hata Wahari
2016.12.05
Kuala Lumpur
161205-my-mainakiai-620.jpg Maina Kiai menunjukkan poster mengenai pembiayaan dana asing kepada Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Razali Ismail, di Kuala Lumpur, 5 Disember 2016.
[Ihsan Maina Kiai]

Malaysia perlu menetapkan standard pembiayaan dana asing sama ada melibatkan kerajaan, badan bukan kerajaan atau masyarakat sivil tanpa mengamalkan sebarang diskriminasi, kata pelapor khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Maina Kiai di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pembiayaan dana asing merupakan satu perkara yang biasa digunakan di seluruh dunia seperti Amerika Syarikat, Afrika, Asia termasuk di Malaysia.

“Semua negara menerima pembiayaan dana asing, perniagaan, NGO serta juga individu yang  membabitkan wang dari Amerika Syarikat, China, Rusia serta Arab Saudi, dan ia tidak menimbulkan masalah kerana ia dibuat mengikut standard antarabangsa serta tidak berlaku diskriminasi di dalam semua sektor,

“Ada ketika pemimpin kerajaan boleh menerima dana asing tetapi pemimpin pembangkang, serta NGO tidak boleh menerimanya dan dilihat sebagai tindakan untuk menjatuhkan kerajaaan, bagaimanakah itu?” kata beliau pada Isnin.

Maina yang dalam rangka lawatan ke Kuala Lumpur itu berkata demikian bagi mengulas mengenai dana yang diterima oleh Perdana Menteri Najib Razak daripada seorang Putera Arab Saudi, yang identitinya tidak didedahkan, serta dana kepada Bersih oleh hartawan George Soros melalui Open Society Foundation (OSF).

Pelapor khas PBB itu  turut  menegaskan bahawa diskrminasi yang dimaksudkannya ialah bagaimana setengah pihak boleh menerima pembiayaan asing contohnya institusi agama tetapi bagi sesetengah NGO yang memperjuangkan hak asasi manusia, tidak dibolehkan.

Bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said mahu Akta Dana Politik dan Perbelanjaan yang masih sedang digubal merangkumi kumpulan masyarakat sivil berikutan dakwaan bahawa OSF telah membiayai Bersih untuk membantu menggulingkan kerajaan.

Pada 30 September lepas, Pengerusi Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Paul Low ketika mengumumkan draf akta berkenaan merangkumi 32 cadangan.

Katanya, ia terbahagi kepada tiga kategori iaitu proses pelaksanaan, keperluan undang-undang baharu dan jangkaan pelbagai isu yang berbangkit dalam jangka panjang

Tahun lepas, Najib berhadapan dakwaan rasuah dan salah urus dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pendedahan bahawa kira-kira AS$681 juta (RM2.6 bilion) telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya, selepas akhbar The Wall Street Journal (WSJ), yang berpangkalan di Amerika Syarikat membuat laporan mengenainya pada Julai.

Najib telah disiasat berhubung deposit wang ke dalam akaun bank peribadinya itu, dan laporan-laporan media pula mengaitkan wang tersebut dengan 1MDB. Beliau menegaskan yang beliau tidak mengambil apa-apa wang untuk kepentingan peribadinya.

Pada Januari, Peguam Negara Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada potensi salah laku dan mengarahkan siasatan terhadap perdana menteri itu ditutup, dengan menyatakan bahawa "tiada kesalahan jenayah" yang dilakukan beliau.

Wang sebanyak AS$681 juta yang dimasukan ke dalam akaun peribadi perdana menteri itu merupakan sumbangan peribadi kepada Najib daripada keluarga diraja Arab Saudi, dan sebahagian besar daripadanya telah dikembalikan kepada penyumbangnya, demikian menurut Apandi.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.