Majlis Peguam cabar keputusan Peguam Negara melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid

Badan itu menfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mohon certiorari batal perintah Peguam Negara.
Minderjeet Kaur
2023.12.04
Kuala Lumpur
Majlis Peguam cabar keputusan Peguam Negara melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid Peserta "Himpunan Selamatkan Malaysia" memegang poster 'Dakwa Zahid' selepas mahkamah melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada kes jenayah rasuah di sekitar Masjid Kampong Baru, di Kuala Lumpur, 16 September 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Majlis Peguam Malaysia pada Isnin telah memulakan tindakan undang-undang memohon membatalkan keputusan Peguam Negara dalam menggugurkan pendakwaan kes rasuah Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada September lalu, dengan menegaskan ia menjadi tanggungjawab badan tersebut untuk menegakkan keadilan.

Semakan kehakiman yang dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memohon suatu certiorari membatalkan keputusan bekas Peguam Negara, Idris Harun yang memerintah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada kes penyelewengan jutaan dolar sebuah yayasan kebajikan diasaskanya bagi melawan kemiskinan.

Presiden Majlis Peguam Malaysia Karen Cheah berkata, keputusan Peguam Negara telah “dicemari dengan sifat tidak rasional”, di sebalik langkah pihak pendakwaan yang telah mengemukakan bukti yang cukup bagi kes tersebut untuk dibicarakan, dan seterusnya menghendaki tertuduh membela dirinya.

“Selepas mempertimbangkan secara panjang lebar fakta dan kedudukan kes Ahmad Zahid, Majlis Peguam Malaysia mengambil jalan perundangan ini sebagai sebahagian kewajipan berkanunnya untuk menegakkan keadilan, tanpa dipengaruhi sebarang ketakutan atau berat sebelah.

“Majlis Peguam memohon perisyhtiharan bahawa keputusan Peguam Negara pada September 4, 2023 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur adalah tidak sah dan terbatal serta “tidak wajar dan dicemari dengan sifat tidak rasional”.

“Satu deklarasi bahawa keputusan Peguam Negara telah dibuat dengan melampaui bidang kuasa dan kuasa di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah,” kata Cheah dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, berdasarkan bukti yang telah dibentangkan dalam perbicaraan yang telah bermula empat tahun lalu, pihak pendakwaan telah mengemukakan bukti yang mencukupi dalam membina kes terhadap Presiden UMNO itu.

“Hakikat bahawa perbicaraan Zahid Hamidi telah bermula lebih empat tahun lalu pada Nov 18, 2019, di mana kes prima facie telah dibuktikan.

“Selepas perbicaraan berlangsung selama 77 hari, saksi ke-15 Zahid Hamidi mengemukakan bukti, dan kes itu sedang dalam proses pembelaan pada September 4, 2023 dan dijadualkan memasuki fasa bela diri pada 4 Sept 2023.

“Apabila Peguam Negara memberi pandangan yang siasatan lanjut oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia adalah perlu bersabit beberapa representatsi yang dikemukakan oleh Zahid Hamidi setakat Disember 2022, tiga tahun selepas perbicaraan bermula,” ujar Cheah lagi dalam satu kenyataan itu.

Beliau berkata, Majlis Peguam berkongsi pandangan bahawa bidang kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak mutlak and wajar dihadkan dalam ruang lingkup dan batasnya, digunapakai dengan sifat yang boleh diterima seperti mana yang telah ditetapkan oleh mahkamah-mahkamah di bawah kuasa menyemak dan bidang kuasa berlandaskan kepada undang-undang.

"Badan peguam berpandangan budi bicara peguam negara adalah tidak mutlak, seperti yang ditetapkan oleh Perkara 145(3) Perlembagaan, dan harus terbatas serta boleh dihakimi oleh mahkamah.

“Kes Zahid mempunyai kepentingan negara dan rakyat kerana ia melibatkan dakwaan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang serius terhadap seorang individu yang memegang jawatan dan kuasa pada masa beliau telah didakwa,” ujarnya lagi.

Gugur pertuduhan

Pada September, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah melepas tanpa membebaskan Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan Yayasan Akalbudi, sebuah Yayasan amal yang ditubuhkannya untuk membanteras kemiskinan.

Permohonan itu telah dikemukakan oleh pihak pendakwaan, sambil memohon lebih banyak masa untuk menyiasat kes berkenaan, menurut Hakim Collin Lawrence Sequerah semasa mengumumkan keputusannya, sambil menyatakan bantahan.

“Mahkamah dengan ini memutuskan melepas tanpa membebaskan. Sekiranya pihak pendakwaan berhasrat mengugurkan kesemua dakwaan, “semua yang dilalui dalam proses perbicaraan sebelum itu hanya sia-sia.”

Kes tersebut adalah salah satu daripada dua laporan yang dibuat terhadap Ahmad Zahid, setahun selepas UMNO hilang kuasa buat pertama kali dalam tempoh beberapa dekad susulan dakwaan terlibat dalam skandal rasuah yang besar.

Bagaimanapun, susulan keputusan pilihan raya umum November lalu, yang menyaksikan UMNO kalah dengan begitu teruk – telah menyertai gabungan politik Anwar Ibrahim yang membolehkan kerajaan dibentuk.

Pasukan peguam yang mewakili Ahmad Zahid memohon supaya kesemua kes pendakwaan digugurkan sepenuhnya, sambil mendakwa pertuduhan itu sama sekali tidak berasas.

Dalam satu kenyataan yang ditandatangani oleh peguamnya, Ahmad Zahid bertegas bahawa beliau telah menjadi mangsa “pendakwaan politik” semasa era pentadbiran mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad di antara tahun 2018 dan 2020.

Para aktivis membidas langkah menggugurkan pertuduhan ke atas Ahmad Zahid, dengan kumpulan elektoral Bersih menyifatkan langkah itu telah mencetuskan persoalan mengenai status Anwar sebagai reformis, anti-rasuah pentadbirannya “di bawah kesangsiang yang sangat serius”.

Susulan itu, Majlis Peguam telah meminta dibenarkan akses kepada semua dokumen yang difailkan di mahkamah, termasuk rakaman, perintah serta penghakiman.

Badan itu juga memohon kebenaran perundangan untuk meminta kepada Peguam Negara memaklumkan perkembangan siasatan semasa dan siasatan susulan ke atas Ahmad Zahid, termasuk makluman mengapa Peguam Negara telah memutuskan untuk memberikan DNAA atau sebarang pilihan untuk mendakwa semula, meneruskan perbicaraan, atau menghentikan siasatan terhadap timbalan perdana menteri itu.

Cheah berkata proses semakan kehakiman itu adalah penting kerana ini telah direka secara teliti bagi mencabar keputusan, tindakan atau pengguguran mana-mana badan awam, sekiranya proses “check and balance” pada peringkat eksekutif dan perudangan diperlukan berdasarkan kepada “kepentingan sistem demokrasi”.

Katanya lagi, dokumen permohonan semakan kehamiman itu beserta afidavit sokongan telah diserahkan kepada Peguam Negara pada Isnin.

BenarNews cuba menghubungi Timbalan Peguam Negara dan pembantu Ahmad Zahid untuk mendapatkan reaksi namun tidak menerima sebarang maklumbalas.

Tekanan

Dalam pada itu, seorang peguam M. Manoharan menjelaskan pertikaian terhadap keputusan yang dibuat oleh Perkara 145(3) adalah “tugas mencabar, memandangkan Peguam Negara mempunyai kuasa, membolehkan beliau membuat keputusan penting membabitkan perihal perundangan.

Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa peguam negara perlu mempunyai kuasa yang boleh digunakan menurut budi bicara, untuk memulakan, mengendalikan, melaksanakan atau menggantung mana-mana proceeding atas kesalahan di bawah Mahkamah Shariah.

“Terdapat banyak kes yang mencabar keputusan Peguam Negara dan kebanyakannya mendapati tidak mudah untuk mencabar Peguam Negara kerana beliau mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.

Begitupun, beliau berkata Majlis Peguam boleh mengenakan tekanan untuk mendapatkan semakan perundangan terhadap keputusan Peguam Negara melepaskan Ahmad Zahid.

“Peguam Negara boleh mendakwa Ahmad Zahid sekali lagi. Majlis Peguam boleh menjalankan tekanan ke atas perkara ini,” katanya lagi.

Manoharan menjelaskan lagi, jika sekiranya tertuduh dilepaskan dengan DNAA, itu tidak sama sekali membawa maksud bahawa tertuduh telah terlepas daripada pertuduhan.

“Bagaimanapun, pihak pendakwaaan masih mempunyai pilihan sama ada memfailkan semula pertuduhan atau menetapkan ke satu tarikh lain sekiranya wujud bukti baharu.”

Iskandar Zulkarnain di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.