Wartawan Malaysiakini siasat kartel pekerja asing dituduh rasuah, berdepan 20 tahun penjara

Wartawan B. Nantha Kumar mengaku tidak bersalah terima suapan sebagai dorongan untuk padamkan artikel berkaitan kartel pekerja asing Pakistan.
Iman Muttaqin Yusof dan Helmi Foad
2025.03.14
Kuala Lumpur
Wartawan Malaysiakini siasat kartel pekerja asing dituduh rasuah, berdepan 20 tahun penjara Wartawan Malaysiakini B. Nantha Kumar (kiri) tiba bersama peguamnya P. Purshotaman untuk menghadapi pertuduhan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, 14 Mac 2025.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Wartawan penyiasatan portal Malaysiakini, B. Nantha Kumar mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah sebagai dorongan untuk memadamkan artikel mengenai kartel pekerja asing Pakistan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada Jumaat.

Beliau membuat pengakuan tersebut dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.

Kes itu menjadikan beliau sebagai wartawan pertama dituduh di bawah kesalahan berkaitan rasuah di negara ini.

"Saya faham pertuduhan itu dan saya tidak bersalah," ujar Nantha di kandang tertuduh.

Berdasarkan kertas pertuduhan yang dilihat BenarNews, Nantha, 42, didakwa "telah secara rasuah menerima daripada, seorang warga Pakistan, Muhamad Zahid untuk dirinya suapan wang tunai berjumlah RM20,000 [AS$4,545] sebagai dorongan untuk menurunkan dan tidak memuat naik mana-mana artikel berkaitan sindiket kartel pekerja asing Pakistan dalam liputan Malaysiakini".

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Hotel Concorde, Shah Alam pada pukul 11.45 malam, 28 Februari lalu, mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 [AS$2,272], mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Alis Izzati Azurin Mohd. Rusdi memberitahu mahkamah kesalahan dilakukan itu tidak boleh diikat jamin, namun menawarkan jaminan berjumlah RM20,000 sekiranya dibenarkan mahkamah dengan menggunakan budi bicara.

“Sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa dan melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM terdekat," katanya.

Pihak pendakwaan menghujahkan jumlah jaminan yang dicadangkan adalah munasabah bagi memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah.

"Pendakwaan juga memohon mahkamah memberi peringatan kepada tertuduh untuk tidak menganggu saksi dan tidak memuatnaikkan artikel berkaitan kes kerana ia mungkin akan menjejas dan memprejudiskan kes tertuduh," ujarnya.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, P. Purshotaman memohon mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 [AS$1,136] kepada bapa dua anak itu kerana beliau menjalankan tugasan wartawan sehingga menggadai nyawa sendiri dalam membantu kerajaan mematahkan sindiket yang menggugat keselamatan negara.

“Anak guam adalah wartawan yang pernah memenangi anugerah. Sekiranya jaminan dan syarat tambahan yang terlampau diberikan, beliau terpaksa meringkuk dalam penjara sehingga kes selesai.

"Beliau amat menghormati mahkamah dan hadir sendiri ke mahkamah pada hari ini apabila dimaklumkan oleh pegawai penyiasat, ini menunjukkan beliau hormati proses mahkamah... untuk membersihkan namanya," ujar beliau.

"Sistem keadilan kita berjalan dengan anggapan bahawa seseorang itu kekal tidak bersalah hingga dibuktikan."

Hakim Mohd. Nasir kemudian memutuskan ikat jamin dibenarkan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 April ini.

Ketika bercakap kepada BenarNews pada Selasa, Nantha menafikan tuduhan menerima rasuah sebaliknya beliau telah diperangkap ketika bertemu dengan seorang ejen kartel pekerja asing Pakistan. 

"Saya tahu ini antara risiko dalam kerja tetapi hati saya tenang kerana saya tidak sembunyikan apa-apa perkara," ujarnya.  

Sebelum ini, Nantha dilaporkan banyak mendedahkan penyelewengan membabitkan pekerja asing termasuk sindiket pemalsuan cop keluar masuk imigresen selain penglibatan ejen Pakistan dalam kegiatan tersebut. 

Pada Oktober lalu beliau turut dilapor menyerahkan senarai nama yang dipercayai dalang sindiket visa perubatan dan kegiatan menentukan kaunter imigresen di lapangan terbang kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Perbicaraan adil

Dalam pada itu, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) Malaysiakini dalam kenyataan pada Jumaat berkata pihaknya berharap Nantha akan mendapat perbicaraan yang adil serta diberikan semua hak yang diperuntukkan undang-undang untuk beliau membela diri.

"Sebagai sebuah kesatuan sekerja yang mewakili wartawan di Malaysiakini, kami berpegang kepada prinsip bahawa seseorang tertuduh itu kekal tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya dan memberikan sokongan moral kepada Nantha sepanjang proses undang-undang ini berjalan," kata kenyataan itu. 

NUJ-Malaysiakini berkata ia memantau secara teliti perkembangan perbicaraan kes tersebut dan percaya proses di mahkamah akan dapat memberikan keadilan. 

"Mahkamah merupakan medan terbaik untuk membuktikan kebenaran," ujarnya lagi. 

Pakar media, Benjamin Loh berpandangan keputusan mahkamah akan menentukan sama ada tuduhan rasuah tersebut merupakan satu perangkap bagi menutup mulut atau sebaliknya.

“Situasi ini sangat rumit pada masa ini dan saya berasa sangsi untuk memberi komen mengenai kesahihan kes ini. Saya juga tidak mahu mengatakan ia ‘normal’ kerana seolah-olah menunjukkan bahawa wartawan sering meletakkan diri mereka dalam situasi sebegini dan oleh itu dikecualikan daripada undang-undang.”

“Seorang wartawan yang menyiasat rasuah mesti mematuhi undang-undang dengan seketat mungkin bagi memastikan integriti laporan mereka tidak boleh dipertikaikan," kata beliau yang merupakan pengarah Kursus Sarjana Muda Media Digital Universiti Monash kepada BenarNews. 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.