Kes Hina Mahkamah Malaysiakini Ditangguh Kali Kedua

Peguam portal berita itu Malik Imtiaz Sarwar mengesahkan penangguhan berkenaan yang disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan.
Hadi Azmi
2021.01.15
Kuala Lumpur
Kes Hina Mahkamah Malaysiakini Ditangguh Kali Kedua Ketua Editor portal berita Malaysiakini, Steven Gan bercakap kepada media selepas keluar dari kamar mahkamah di Mahkamah Persekutuan Putrajaya, 2 Julai 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Mahkamah Persekutuan pada Jumaat sekali lagi menangguhkan penghakiman berhubung kes menghina mahkamah oleh Mkini Dotcom Sdn Bhd, syarikat yang menerbitkan portal berita Malaysiakini dan Ketua Pengarangnya Steven Gan, mengenai komen pembaca pada Jun lepas, yang didakwa menghina badan kehakiman negara itu, kerana sekatan pergerakan koronavirus.

Pentadbiran Putrajaya pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilihat menggunakan ancaman undang-undang untuk menakutkan media dan melemahkan kebebasan akhbar, kata pemerhati antarabangsa - Jawatankuasa Melindungi Wartawan pada Julai lalu, di mana kes tersebut mendapat perhatian media di seluruh dunia.

Penangguhan penghakiman kali kedua itu dimakumkan oleh peguambela yang mewakili syarikat dan ketua pengarang itu, Malik Imtiaz Sarwar kepada BeritaBenar adalah disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dan darurat yang diumumkan kerajaan pada Isnin dan Selasa.

“Kes telah ditangguh akibat PKP,” kata Malik secara ringkas kepada BeritaBenar.

Sementara itu, Steven yang dihubungi BeritaBenar juga mengesahkan yang kes tersebut ditangguh dengan berkata, " Ya, keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Malaysiakini yang didakwa menghina mahkamah telah ditunda ke tarikh lain yang tidak diumumkan kerana sekatan pergerakan COVID-19."

Kali pertama kes itu ditangguhkan adalah pada 10 November lalu semasa Wilayah Persekutuan dan Putrajaya berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ekoran peningkatan kes COVID-19 pada masa itu.

BeritaBenar difahamkan tarikh prosiding berikutnya masih belum ditetapkan oleh pihak mahkamah.

Muhyiddin pada Selasa lalu, tampil dalam siaran secara langsung di stesen-stesen televisyen dan media sosial berkata, “Saya juga memberi jaminan bahawa sepanjang tempoh darurat ini, badan kehakiman akan terus berfungsi untuk menegakkan hukum dan keadilan.”

Beliau berkata demikian selepas beberapa jam Istana Negara mengeluarkan kenyataan memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan pengisytiharan darurat di seluruh Malaysia sehingga Ogos berikutan penularan pandemik COVID-19 yang kini berada ditahap kritikal.

Prosiding menghina mahkamah dijalankan setelah Peguam Negara Idrus Harun pada 15 Jun lepas memfailkan satu permohonan secara ex-parte di Mahkamah Persekutuan, untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan tindakan terhadap Malaysiakini berkaitan lima komen oleh pembaca-pembacanya yang disiarkan dalam laman berkenaan pada 9 Jun.

Semasa prosiding mahkamah pada 2 Julai lalu bagi mendengar permohonan Malaysiakini dan Ketua Pengarangnya untuk mengenepikan kes tersebut, Presiden Mahkamah Rayuan Malaysia, Hakim Rohana Yusuf berkata barisan panel tujuh hakim menolak permohonan portal itu setelah berpuashati bahawa Malaysiakini telah terbukti menerbitkan komen-komen tersebut.

"Berdasarkan kepada fakta-fakta (yang disebutkan), antara lain, kami berpandangan bahawa responden telah menerbitkan komen-komen yang tidak berasas dan prima facie telah ditunjukkan dalam kes ini.

"Kami juga berpandangan bahawa, berdasarkan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950, para responden dianggap sebagai telah menerbitkan komen-komen berkenaan. Anggapan itu adalah sesuatu yang boleh disanggah," kata Rohana ketika membacakan keputusan panel hakim berkenaan.

Selain Rohana, panel tersebut dianggotai oleh Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Azahar Mohamed; Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim; dan empat orang Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Mohd Zawawi Salleh, Nallini Pathmanathan, Vernon Ong Lam Kiat dan Abdul Rahman Sebli.

Malaysiakini adalah sebuah laman yang menggelarkan dirinya sebagai sebuah portal berita bebas dari sebarang pengaruh.

Ini adalah kali pertama portal berkenaan didakwa menghina mahkamah sejak ia mula beroperasi 20 tahun lalu, namum pernah beberapa kali menjadi sasaran siasatan pihak berkuasa dan kerajaan serta dilihat sebagai entiti yang tidak mesra kerajaan semasa era pemerintahan Barisan Nasional.

Berdasarkan dokumen mahkamah, prosiding penghinaan terhadap Malaysiakini itu dibuat atas penyiaran lima komen yang bersifat menghina sistem kehakiman negara dimana kesemua komen tersebut telah diposkan oleh beberapa pembaca Malaysiakini di ruangan komen sebuah artikel berbahasa Inggeris pada 9 Jun yang bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1” (Ketua Hakim Arahkan Semua Mahkamah Beroperasi Sepenuhnya Mulai 1 Julai).

Rohana berkata semua pihak terlibat tidak dibenarkan membuat sebarang komen mengenai prosiding berkenaan sehingga kes selesai bagi mengelakkan kesalahan sub-judice.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Malaysiakini dan Gan dalam hujahan beliau telah memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya tidak boleh dipersalahkan diatas komen yang diposkan oleh pembaca.

Tambah beliau, laman Malaysiakini menerima lebih daripada 2,000 komen setiap hari dan sistem yang digunakan hanya menapis perkataan-perkataan tidak senonoh secara automatic manakala bagi komen lain, Malaysiakini bergantung kepada makluman daripada pembaca sebelum mengambil tindakan.

Selain itu, tambah Malik, undang-undang Malaysia tidak mengkehendaki laman web untuk menapis komen pembaca sebelum ia diposkan, dan tindakan hanya boleh diambil selepas ia dimuatnaik pembaca.

"Responden tidak terlibat dalam memuatnaik komen-komen berkenaan. Dan responden juga tidak mengetahuinya," kata peguam berkenaan, seperti dilaporkan media tempatan.

Malik juga menambah bahawa Malaysiakini telah memadamkan kesemua komen berkenaan secepat mungkin setelah dimaklumkan mengenainya oleh pihak polis.

Selain itu, beliau juga menyuarakan mengenai prosiding mahkamah yang dimulakan di Mahkamah Persekutuan, termasuk mendakwa ianya akan menidakkan peluang anak guamnya untuk sebarang rayuan.

Pada Rabu, badan hak asasi kemanusiaan Human Right Watch (HRW) telah mengeluarkan laporan 2020 mengenai Malaysia yang antara lainnnya menyentuh tentang kebebasan media dan tindakan tegas kerajaan terhadap pelarian.

Dalam laporan itu HRW berkata sektor media di Malaysia telah dihentam sepanjang tahun 2020 dengan menyenarai beberapa kes yang melibatkan organisasi media dan wartawan termasuk tindakan kehakiman terhadap Malaysiakini dan editornya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.