McDonald's Malaysia, pergerakan boikot pro-Palestin mula rundingan rasmi di Mahkamah

Pakar berpandangan pertembungan jenama korporat dengan aspirasi masyarakat mempunyai implikasi besar yang tidak boleh dipandang remeh.
Minderjeet Kaur
2024.03.18
Kuala Lumpur
McDonald's Malaysia, pergerakan boikot pro-Palestin mula rundingan rasmi di Mahkamah Peguam mewakili BDS, M Rezza Hassan (3 dari kiri) dan Pengerusi BDS Mohd Nazari Ismail (2 dari kiri) bercakap kepada pemberita di luar kompleks Mahkamah Shah Alam di Selangor, 18 Mac 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

McDonald's Malaysia dan pergerakan pro-Palestin memulakan rundingan secara rasmi di mahkamah bagi menyelesaikan saman fitnah berjumlah RM6 juta (AS$1.27 juta) yang difailkan syarikat rangkaian makanan segera jenama dari Amerika Syarikat (AS) itu bagi menangkis kempen boikot melawan kepentingan Israel, kata peguam defendan pada Isnin.

Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd (GAR), pemegang lesen francais McDonald's Malaysia menyaman pertubuhan Boycott, Divestmen and Sanctions (BDS) Malaysia pada Disember lalu setelah kempen pergerakann tersebut menggesa rakyat Malaysia memboikot rangkaian restoran makanan segera berkenaan telah memberikan kesan kerugian kewangan dan pekerjaan.

M. Reza Hassan, peguam yang mewakili BDS Malaysia berkata perbincangan berjalan secara positif dan mencapai kemajuan pada tahap tertentu dengan satu lagi pusingan rundingan dijadual diadakan pada 30 April ini.

"Perbincangan masih berjalan dengan melibatkan satu atau dua perkara tetapi kami menghadapi kekangan untuk membincangkan secara terperinci (sehingga keputusan dibuat)," katanya kepada pemberita selepas dua jam berlangsungnya perbincangan di Mahkamah Shah Alam pada Isnin.

Kira-kira 50 penyokong perjuangan Palestin berada di luar mahkamah dengan mengangkat sepanduk sambil melaungkan slogan "bebaskan Palestin" dan "dari sungai ke segara" manakala pengantara Zaman Noor menjadi pengantara kes tertutup antara McDonald's dan BDS Movement selama dua jam.

Seorang peguam mewakili McDonald’s yang tidak mahu dikenali berkata, pasukan perundangan mereka tidak akan mengeluarkan kenyataan semasa proses pengantaraan.

GAR menyaman pergerakan BDS Malaysia melibatkan ganti rugi RM6 juta atas dakwaan hasutan "kebencian awam" terhadap jenama restoran itu dan mengakibatkan kerosakan kepada perniagaannya dengan tuntutan RM3 juta bagi kerugian hasil, pampasan untuk pekerja yang diberhentikan (RM1.5 juta) dan bahan tamat tempoh (RM1.5 juta).

Dalam tuntutan yang difailkan pada 19 Disember lalu, plaintif berkata bahawa defendan, BDS Malaysia telah menghasut orang ramai supaya membenci jenama McDonald's kerana konflik antara Israel dan Palestin.

"Umum mengetahui bahawa rakyat Malaysia yang majoritinya beragama Islam telah memboikot perniagaan defendan kerana ia (didakwa) mempunyai kaitan dengan konflik itu.

“Terdapat juga insiden di mana pekerja plaintif diugut dan diaibkan dalam media sosial,” demikian menurut pernyataan tuntutan GAR.

Sebagai tambahan kepada ganti rugi teladan, plaintif juga memohon injunksi terhadap pengulangan kenyataan fitnah oleh BDS Malaysia dan perintah mahkamah agar BDS Malaysia menarik balik semua kenyataan fitnah.

BDS_MALAYSIA_01.jpg

Penyokong kumpulan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia berkumpul di luar kompleks Mahkamah Shah Alam di Selangor, 18 Mac 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

Sindiran

GAR berkata bahawa BDS Malaysia secara sindiran membuat kesimpulan bahawa syarikat itu terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai ke atas 2.3 juta warga Palestin dan bekerjasama dengan Israel atau tenteranya.

“Plaintif menegaskan bahawa ia mahupun McDonald's Corporation tidak menyumbang, menyokong atau terlibat dalam sebarang konflik politik atau agama di seluruh dunia, termasuk konflik Israel-Palestin," katanya.

BDS Malaysia telah melancarkan kempen agar rakyat Malaysia memboikot McDonald’s sehingga rangkaian makanan segera itu menamatkan hubungan dengan pemegang francais Israel yang didakwanya “menyokong genosid”.

Bagaimanapun, BDS menafikan memulakan boikot restoran McDonald’s di Malaysia dan mendakwa kempen itu adalah “protes organik” yang disokong oleh rakyat Malaysia biasa.

Dalam satu kenyataan Rabu lepas, gerakan boikot pro-Palesin itu secara sinis mengucapkan terima kasih kepada Mcdonalds atas tuntutan mahkamah itu dengan menyatakan: "Tuntutan McDonald terhadap BDS Malaysia telah menyebabkan rakyat Malaysia dan pengguna di seluruh dunia lebih marah terhadap McDonald's."

Malaysia, negara majoriti penganut Islam merupakan penyokong tegar rakyat Palestin dan beberapa jenama makanan segera Barat di negara itu telah menjadi sasaran boikot ekoran pengemboman tentera Israel dan serangan darat ke atas Gaza sebagai tindak balas susulan serangan mengejut pergerakan Hamas pada 7 Oktober tahun lepas.

Boikot terhadap perniagaan yang berkaitan dengan Israel di Malaysia bukan sahaja menjejaskan restoran McDonalds malah beberapa jenama lain yang berkaitan AS dan Israel.

Pemilik Starbucks Malaysia Vincent Tan pada 4 Mac lalu menyeru orang ramai supaya berhenti memboikot rangkaian cafe itu kerana ia hanya merugikan penduduk tempatan yang menjalankan syarikat itu.

Berjaya Food milik Tan yang bergantung kepada Starbucks untuk kira-kira 90 peratus daripada pendapatannya telah kehilangan kira-kira 25 peratus daripada nilai pasarannya di Bursa Malaysia sejak Israel melancarkan serangan mautnya di Gaza berikutan serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.

Pendirian tegas kerajaan Malaysia terhadap keganasan rejim Zionis itu terserlah apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan larangan serta-merta ke atas kapal milik gergasi perkapalan Israel Zim daripada berlabuh dan memunggah kargo di pelabuhannya di negara itu pada Disember lalu.

Selain itu, mana-mana kapal yang membawa bendera Israel turut dimasukkan dalam larangan itu.
Turut termasuk dalam senarai boikot tersebut adalah kurma Israel, buah organik dari Asia Barat yang biasa dimakan umat Islam untuk berbuka puasa ketika Ramadan.

Kebimbangan itu dibangkitkan selepas pihak berkuasa Kastam Malaysia merampas puluhan pek kurma dilabel berasal dari Israel dan dijual di pasaran tempatan selepas ia tular di media sosial baru-baru ini.

Anwar semasa lawatannya ke Jerman baru-baru ini, mengulangi pendirian Malaysia bahawa beliau "tidak memohon maaf" kerana mengekalkan hubungan dengan sayap politik Hamas.

Perkara itu berlaku di tengah-tengah tekanan daripada negara Barat, termasuk Amerika Syarikat untuk mengecam kumpulan militan itu.

Pertembungan jenama

A. Aziz Azizam, pakar gerakan sosial dan komunikasi politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam berkata perang Israel-Hamas telah menyebabkan pertembungan antara penjenamaan korporat dan aspirasi masyarakat.

"Apa yang berlaku adalah pertembungan antara penjenamaan korporat dan aspirasi masyarakat, yang mesti dikendalikan dengan betul kerana ia menjejaskan persepsi terhadap jenama McDonald's dan mempunyai implikasi jangka panjang yang tidak boleh dipandang remeh," katanya kepada BenarNews.

Tambah beliau, persepsi itu berlaku di media sosial yang dibanjiri dengan video McDonald's di Israel menyumbangkan makanan percuma kepada Pasukan Pertahanan Israel (IDF) susulan serangan ke atas Gaza.

Beliau berkata beberapa francais McDonald's di luar negara telah mendapat kecaman meluas daripada masyarakat global sambil menambah bahawa pada Mac 2022, McDonald's telah menutup semua cawangannya di Rusia sebagai simbol protes perang berterusan selepas serangan ke atas Ukraine.

“Tindakan syarikat ini menunjukkan solidariti dan sokongan kepada Ukraine,” katanya sambil menambah syarikat itu masih berdiam diri mengenai isu Palestin.

Bagaimanapun kata Aziz, McDonald's Malaysia bertindak segera mempertahankan kedudukannya dengan menegaskan bahawa operasinya tidak menyumbang dari segi kewangan kepada konflik politik dan ia harus berdiri bersama pergerakan BDS dan rakyat dalam mengutuk Israel terhadap genosid yang dilakukan rejim Zionis itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.