McDonald’s Malaysia mahu gugurkan saman ke atas pergerakan pro-Palestin
2024.03.22
Kuala Lumpur

McDonald’s Malaysia pada Jumaat menyatakan hasrat mahu menarik balik saman fitnah dengan tuntutan berjumlah RM6 juta (AS$1.27 juta) terhadap sebuah pergerakan pro-Palestin pada penghujung proses mediasi yang berjaya.
Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd (GAR), pemegang lesen francais McDonald's Malaysia berkata syarikat itu akan meneruskan sokongan terhadap Palestin melalui sumbangannya kepada Tabung Kemanusiaan Palestin dan pelbagai inisiatif pengumpulan dana oleh kakitangannya untuk menyokong usaha bantuan di Gaza.
Namun, setakat ini tiada sebarang tarikh bilakah notis rasmi diberikan kepada pihak mahkamah bagi permohonan menggugurkan saman tersebut.
Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd (GAR), pemegang lesen francais McDonald's Malaysia sebelum ini menyaman Boycott, Divestmen and Sanctions (BDS) Malaysia pada Disember lalu, susulan kempen pergerakan itu yang menggesa rakyat Malaysia memboikot rangkaian restoran makanan segera tersebut dan telah memberikan kesan kerugian kewangan dan pekerjaan.
“Dengan hasil pengantaraan yang positif dan penjelasan oleh BDS dalam kenyataan mereka baru-baru ini, mengakui tindakan pengendali McDonald’s di Israel adalah bebas sepenuhnya daripada McDonald’s Malaysia, maka kami akan menarik balik saman itu.
"Kami berharap keputusan yang dibuat hari ini membolehkan semua pihak bergerak ke hadapan dan menumpukan pada mencari resolusi yang dapat menegakkan keadilan," kata Azmir Jaafar, Pengarah Urusan McDonald’s Malaysia dalam kenyataan pada Jumaat.
“Kami bersimpati dengan mangsa-mangsa tidak bersalah di Gaza yang terperangkap dalam konflik tersebut. Kami mengutuk keras semua bentuk keganasan dan berdoa agar perang ditamatkan dan keamanan berterusan.”
Belum terima
Peguam defendan, M Reza Hassan memberitahu BenarNews, anak guamnya, BDS Malaysia masih belum menerima sebarang notis penarikbalikan saman fitnah tersebut.
BDS Malaysia dalam reaksinya terhadap keputusan plaintif berkata pihaknya tidak terkejut dengan keputusan yang diambil oleh Gerbang Alaf, syarikat tempatan yang memiliki lesen francais McDonald’s itu.
“Kami tidak terkejut dengan keputusan mereka kerana kami kekal konsisten bahawa dakwaan rangkaian restoran itu dibuat tanpa merit dan tiada asas undang-undang,” ujar pergerakan itu.
Katanya, sebagai langkah ke hadapan, McDonald’s akan kekal diletakkan dalam senarai “Sasaran Boikot Organik’ oleh BDS Malaysia.
“Syarikat itu akan terus diboikot oleh individu yang teliti di seluruh dunia kerana dakwaan bersubahat dengan tindakan di Palestin, yang secara tragis mengakibatkan 32,000 orang terkorban terutamanya wanita dan kanak-kanak.
“Kami menggesa masyarakat global terus memboikot Israel dan semua entiti yang terlibat meneruskan kezaliman sehingga Palestin mencapai kebebasan dan keadilan untuk semua rakyatnya, dari sungai ke segara,” ujarnya.
Laporan BenarNews pada Isnin lepas menyebut McDonald's Malaysia dan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia memulakan rundingan secara rasmi di mahkamah bagi menyelesaikan saman fitnah berjumlah RM6 juta (AS$1.27 juta) yang difailkan syarikat rangkaian makanan segera jenama dari AS itu bagi menangkis kempen boikot melawan kepentingan Israel.
Kedua-dua pihak sebelum ini dijadual mengadakan satu lagi pusingan mediasi pada 30 April ini.
GAR memfailkan saman ke atas BDS Malaysia melibatkan ganti rugi RM6 juta atas dakwaan hasutan "kebencian awam" terhadap jenama restoran itu dan mengakibatkan kerosakan kepada perniagaannya dengan tuntutan RM3 juta bagi kerugian hasil, pampasan pekerja yang diberhentikan (RM1.5 juta) dan bahan tamat tempoh (RM1.5 juta).
Dalam tuntutan yang difailkan pada 19 Disember lalu, plaintif berkata defendan, BDS Malaysia telah menghasut orang ramai supaya membenci jenama McDonald's kerana konflik antara Israel dan Palestin.
Kempen boikot
Laporan Badan Penyiaran Britain (BBC) pada Februari lalu menyebut rangkaian makanan segera terbesar di dunia, McDonald’s gagal mencapai sasaran jualan untuk suku keempat 2023, didorong oleh sentimen boikot kerana menyangka ia menyokong Israel.
Chris Kempczinski, ketua pegawai eksekutif McDonald’s dipetik sebagai berkata, perniagaannya di Malaysia, Indonesia dan Perancis turut terjejas dengan impak terbesar dicatatkan di rantau Asia Barat.
“Selagi perang ini (Israel-Gaza) berterusan, kami tidak menjangkakan sebarang pemulihan signifikan bagi pasaran-pasaran tersebut,” ujarnya.
Pelbagai jenama makanan segera dari Barat menghadapi kempen boikot di Malaysia, negara majoriti rakyatnya beragama Islam dan penyokong tegar Palestin sejak pengeboman tentera Israel ke atas Gaza susulan serangan mengejut Hamas memasuki wilayah diduduki rejim Zionis itu pada 7 Oktober lepas.
Pemilik Starbucks Malaysia Vincent Tan pada 4 Mac lalu menyeru orang ramai supaya berhenti memboikot rangkaian kafe itu kerana ia hanya merugikan penduduk tempatan yang menguruskan rangkaian jenama tersebut melalui sistem francais.
Berjaya Food milik Tan yang bergantung kepada Starbucks untuk kira-kira 90 peratus daripada pendapatannya telah kehilangan kira-kira 25 peratus daripada nilai pasarannya di Bursa Malaysia sejak Israel melancarkan serangan ke atas Gaza.
Satu lagi syarikat francais jenama AS dimiliki syarikat tempatan yang berdepan kempen boikot ialah Kentucky Fried Chicken (KFC) Malaysia hingga ia terpaksa memasang kain rentang memaklumkan bahawa syarikat itu adalah milik Johor Corporation (JCorp), anak syarikat kerajaan Johor, negeri asal Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Iskandar.
Pendirian tegas kerajaan Malaysia terhadap keganasan rejim Zionis itu terserlah apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan larangan serta-merta ke atas kapal milik gergasi perkapalan Israel Zim daripada berlabuh dan memunggah kargo di pelabuhannya di negara itu pada Disember lalu.
Turut termasuk dalam senarai boikot tersebut adalah kurma Israel, buah organik dari Asia Barat yang biasa dimakan umat Islam untuk berbuka puasa ketika Ramadan.
Kebimbangan itu dibangkitkan selepas pihak berkuasa Kastam Malaysia merampas puluhan pek kurma dilabel berasal dari Israel dan dijual di pasaran tempatan selepas ia tular di media sosial baru-baru ini.
Anwar semasa lawatannya ke Jerman baru-baru ini, mengulangi pendirian Malaysia bahawa beliau "tidak memohon maaf" kerana mengekalkan hubungan dengan sayap politik Hamas.
Perkara itu berlaku di tengah-tengah tekanan daripada negara Barat, termasuk Amerika Syarikat untuk mengecam kumpulan militan itu.
Sasaran mudah
Azmi Hassan, felo kanan di Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara berkata rakyat Malaysia memilih untuk memboikot “sasaran yang mudah” di mana terdapat alternatif kepada francais tempatan seperti McDonald's atau Starbucks.
"Walaupun ia memberikan kesan kepada usahawan tempatan seperti McDonald's dan Starbucks, mereka yang memboikot premis itu menganggap tindakan itu adalah baik, sekurang-kurangnya mereka telah melakukan sesuatu demi Palestin," katanya.
Namun katanya pada masa sama, orang ramai tidak memboikot platform media sosial meskipun ia bersikap berat sebelah kepada Hamas, pergerakan pejuang Palestin yang beroperasi di Gaza.
"Begitu juga, syarikat multinasional yang mempunyai hubungan langsung membantu Israel, tetapi tidak ada alternatif, jadi tidak ada boikot [terhadap mereka di Malaysia]," katanya.
Azmi berkata terdapat beberapa negara Islam dari Asia Barat dan yang bersempadan dengan Rusia membekalkan minyak kepada Israel.
"Jika benar-benar mahu memboikot, mereka harus memboikot negara-negara Islam itu kerana membekalkan minyak untuk memastikan kapal tangki IDF (Pasukan Pertahanan Israel) terus berjalan,” katanya.