Menteri Malaysia nafi pindaan perlembagaan akan tingkatkan jumlah kanak-kanak tanpa kerakyatan

Bagaimanapun, pengkritik mendakwa cadangan pindaan itu adalah 'regresif' dan akan menyebabkan kanak-kanak terbabit hilang hak perlembagaan mereka.
Iman Muttaqin Yusof
2024.03.19
Kuala Lumpur
Menteri Malaysia nafi pindaan perlembagaan akan tingkatkan jumlah kanak-kanak tanpa kerakyatan Kanak-Kanak menghadiri hari pertama persekolahan bagi Tahun Satu (Darjah Satu) di sebuah sekolah tempatan di Karak, Negeri Pahang, Malaysia, 21 Mac 2022.
[Mohd Rasfan/AFP]

Kerajaan Malaysia kini berdepan tekanan agar menarik balik beberapa cadangan pindaan terhadap perlembagaan berkaitan hal ehwal kewarganegaraan yang didakwa pejuang hak asasi manusia dan pakar perundangan boleh menyebabkan beribu-ribu kanak-kanak tidak mendapat kerakyatan.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada Selasa menafikan dakwaan ini dan berkata “tidak mungkin lebih ramai kanak-kanak tidak mendapat kerakyatan” disebabkan oleh pindaan terbabit.

Saifuddin Nasution berkata beliau sedia bertemu dengan kumpulan masyarakat sivil, peguam dan pejuang hak asasi manusia berhubung perkara ini.

“Saya tiada masalah. Saya sedia mendengar hujah mereka tetapi mereka juga perlu mendengar hujah saya kerana itulah yang dinamakan perbincangan,” katanya kepada pemberita.

Pengkritik pindaan itu, yang dipersetujui Kabinet Malaysia pada tahun lepas, mendakwa bahawa pindaan 'regresif' terbabit akan menyebabkan proses memperoleh kewarganegaraan menjadi lebih sukar.

Ini terutamanya bagi bayi yang ditinggalkan atau terdampar, kanak-kanak luar nikah dan anak-anak penduduk berstatus tetap atau yang tidak mendapat kerakyatan sekali gus mewujudkan kitaran tanpa negara selama beberapa generasi.

Menurut Saifuddin, pindaan itu dikritik kerana ia akan berjaya.

“Kritikan dilontarkan kerana pindaan ini tidak akan menyebabkan lebih ramai kanak-kanak tidak mendapat kerakyatan,” beliau dipetik sebagai berkata oleh akhbar Malay Mail.

Beliau juga telah mempertahankan pindaan itu pada awal minggu ini dan berkata ia adalah wajar atas sebab-sebab nasional kerana peruntukan sedia ada menyebabkan keadaan menjadi amat mudah bagi pasangan warga asing untuk meninggalkan anak mereka di hospital.

“Terdapat kes-kes di mana warga asing bersama pasangan mereka, yang bukan warganegara, apabila seorang bayi dilahirkan di hospital, mereka keluar begitu sahaja dan tidak membayar bil hospital,” kata beliau.

“Bil hospital yang tidak dibayar oleh warga asing ini berjumlah beratus-ratus juta ringgit. … Kami ada angkanya. …Mereka tahu di bawah Seksyen 19B, kanak-kanak yang dilahirkan di negara ini boleh mendapat kerakyatan secara automatik [di bawah undang-undang sedia ada].”

‘Perang' terhadap kanak-kanak

Cadangan pindaan terhadap undang-undang kewarganegaraan adalah antara perkara yang ditentang oleh para peguam dan kumpulan hak asasi manusia.

Ini kerana di bawah peraturan baharu yang dicadangkan, kanak-kanak terbiar yang ketika ini mendapat kerakyatan secara automatik, akan kehilangan hak itu dan terpaksa mengharungi proses pendaftaran yang memberikan kuasa budi bicara kepada Kementerian Dalam Negeri, kata Ambiga Sreenevasan, bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia.

“Kerajaan ketika ini seolah-olah melancarkan peperangan terhadap kanak-kanak dengan rancangannya untuk meminda undang-undang berkaitan kewarganegaraan dalam Perlembagaan Persekutuan kerana ia akan membatalkan hak sedia ada mereka untuk menjadi rakyat Malaysia,” katanya kepada BenarNews.

Pindaan itu bakal menggantikan pemberian kerakyatan secara automatik dengan kerakyatan secara pendaftaran yang memberikan kementerian berkenaan kuasa budi bicara penuh untuk memilih individu yang akan diberikan status sebagai warganegara Malaysia.

240319-MY-Citizen-inside2.jpeg

Kanak-Kanak yang merupakan sebahagian daripada kumpulan migran etnik Rohingya dan Bangladesh yang tiba di Indonesia dengan bot minggu ini, meninggalkan sebuah pusat perlindungan sementara untuk ke penempatan baharu di Lhoksukon, Wilayah Acheh, Indonesia, 13 Mei 2015. [Roni Bintang/Reuters]

Ketika ini, menurut undang-undang 1963, bayi yang dilahirkan di Malaysia dan tidak memohon status kerakyatan di mana-mana negara lain dalam tempoh setahun secara automatik dianggap sebagai rakyat Malaysia melalui 'operasi undang-undang' yang sekali gus melindungi mereka daripada status tanpa negara.

Dengan perubahan itu, bukan sahaja seseorang individu perlu memperoleh kerakyatan melalui pendaftaran, mereka juga perlu menunjukkan sijil beranak atau sebarang bukti lain bahawa seorang daripada ibu bapa mereka adalah warganegara Malaysia. Jadi, di mana seseorang yang telah ditinggalkan semasa bayi boleh mendapatkan bukti sedemikian, kata beberapa aktivis.

“Apabila mereka berkata mereka akan membuang perkataan ‘melalui operasi undang-undang,’ mereka sebenarnya membuang peruntukan asas dalam undang-undang kewarganegaraan kita. Apa yang mereka cuba katakan ialah ‘Saya akan putuskan, pihak kami akan putuskan siapa yang mendapat status sebagai warganegara,’” kata Ambiga kepada pemberita.

Jika diluluskan, pindaan ini juga akan terpakai kepada kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu bapa yang tidak berkahwin, anak penduduk tetap dan kanak-kanak tanpa kerakyatan daripada Bumiputera mahupun komuniti orang asli.

‘Saya rasa tidak berdaya’

Sebagai contoh, kes Seri Mulyati, seorang wanita berketurunan Indonesia yang dilahirkan di Malaysia.

Ibu bapanya memiliki status penduduk tetap yang kemudian diberikan kerakyatan. Semua adik-beradiknya juga telah diberikan kerakyatan. Bagaimanapun, Seri Mulyati masih tidak pasti mengenai status dirinya.

Selama hampir empat dekad, wanita berusia 41 tahun itu memohon kewarganegaraan Malaysia namun hanya diberikan status sebagai Penduduk Tetap (PR) dan kad pengenalan sementara Malaysia. Kemudian kad pengenalan itu juga telah ditarik balik ketika beliau cuba memperbaharuinya dan pegawai terbabit berkata beliau “tidak layak.”

“Saya telah memperjuangkan perkara ini seumur hidup saya. Ia sememangnya telah memberi kesan terhadap kesihatan mental saya kerana saya rasa tidak berdaya,” katan Seri Mulyati kepada BenarNews.

Seri Mulyati berkata beliau keliru kerana beliau dilahirkan di Malaysia pada 1983. Kedua-dua ibu bapanya adalah rakyat Indonesia yang telah diberikan status sebagai penduduk tetap dan kemudian mendapat kerakyatan Malaysia.

Berdasarkan operasi undang-undang, Seri Mulyati sepatutnya telah memperoleh kewarganegaraan secara automatik.

Beliau berkata ini membuktikan bahawa meskipun tanpa kesemua cadangan pindaan terhadap perlembagaan berkaitan kewarganegaraan terbabit, ramai orang sepertinya terpaksa berdepan layanan tidak adil daripada sesetengah pegawai kerajaan.

Jika pindaan ini diluluskan - ia belum dibentangkan di Parlimen - Seri Mulyati yakin ia akan memburukkan lagi isu penduduk tanpa kerakyatan di Malaysia yang telah dihadapi selama beberapa generasi.

Minggu lepas, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyatakan bahawa Kementerian Dalam Negeri tidak memberikan sebarang data empirikal mengapa semua pindaan ini diperlukan.

Daripada sudut pandangan positif pula, satu daripada pindaan itu membawa khabar gembira. Ia adalah pindaan yang membolehkan kedua-dua ibu atau bapa yang berkahwin dengan warga asing mewariskan kewarganegaraan Malaysia mereka kepada anak yang dilahirkan di luar negara.

Sebelum ini, hanya bapa warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing boleh mendapatkan kewarganegaraan Malaysia untuk anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Family Frontiers telah menyaman kerajaan atas dakwaan mengamalkan diskriminasi jantina dan menang.

Bagaimanapun pada 2022, Mahkamah Rayuan telah mengetepikan keputusan itu selepas membenarkan permohonan kerajaan.

“[Kini] kami masih berasa amat bimbang dengan pindaan regresif lain yang akan menyingkirkan hak kewarganegaraan yang dijamin oleh Perlembagaan untuk kumpulan rentan seperti kanak-kanak,” kata Suriani Kempe daripada Family Frontiers kepada BenarNews.

Suriani berkata meskipun pelbagai percubaan telah dilakukan untuk membincangkan kebimbangan itu dengan pihak yang berkaitan, mereka dinafikan perbincangan yang bermakna berhubung cadangan pindaan terbabit oleh kerajaan Malaysia.

“Berdasarkan apa yang pernah kami lihat sepanjang tugasan kami, kami boleh katakan bahawa pindaan regresif tidak akan menyelesaikan isu membabitkan hal ehwal berkaitan kewarganegaraan sebaliknya ia akan memburukkan lagi keadaan dan mewujudkan kelas baharu iaitu sekumpulan individu tanpa kerakyatan di Malaysia,” katanya.

240319-MY-Citizen-inside3.jpeg

Para ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing menanti di Mahkamah Rayuan di Putrajaya bagi mendengar keputusan saman menuntut hak bagi mendapatkan status kerakyatan untuk anak mereka yang dilahirkan di luar negara, 5 Ogos 2022. [S.Mahfuz/BenarNews]

Individu tanpa kerakyatan atau bukan warganegara biasanya dilarang menghadiri sekolah kerajaan atau menerima manfaat penjagaan kesihatan awam. Kebanyakannya juga gagal mendapat peluang pekerjaan sewajarnya, kata Suriani.

Pada 2019, satu kajian yang dikendalikan oleh Ahli Parlimen Wong Chen menunjukkan bahawa Malaysia mengalami kerugian tahunan yang dianggarkan sebanyak RM6 bilion (AS$1.3 bilion) susulan penafian status kerakyatan kepada kira-kira 300,000 individu yang dilahirkan di Malaysia atau oleh ibu bapa warga Malaysia.

Ini berdasarkan anggaran bahawa separuh daripada populasi individu tanpa kerakyatan atau 150,000 orang, berdepan peluang pekerjaan tidak setara dan menerima hanya separuh daripada nilai produktiviti tahunan purata sebanyak RM81,039 ringgit (AS$17,122).

Kerajaan tidak sepatutnya membuang perlindungan hak perlembagaan untuk kanak-kanak terbabit, kata Maalini Ramalo daripada Pembangunan Sumber Manusia bagi Kawasan Luar Bandar.

“Kerajaan sepatutnya menangani isu individu tanpa kerakyatan di negara ini, termasuk kanak-kanak yang dilahirkan di luar nikah yang tidak mendapat kerakyatan melalui pewarisan oleh bapa mereka kerana Malaysia mendiskriminasi kanak-kanak yang dilahirkan di luar nikah,” kata Maalini kepada BenarNews.

“Justeru itu, jika kesemua pindaan ini diluluskan, kita akan menyaksikan peningkatan ketara individu tanpa kerakyatan dalam kumpulan ini terutama jika perlindungan mereka dari segi perlembagaan hilang.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.