Malaysia, Indonesia Meterai MoU Berkaitan Pengambilan dan Perlindungan PDI

MoU itu akan memastikan proses pengambilan dan mekanisme perlindungan pekerja domestik Indonesia mengikut perundangan kedua-dua negara.
Noah Lee & Tria Dianti
2022.04.01
Kuala Lumpur & Jakarta
Malaysia, Indonesia Meterai MoU Berkaitan Pengambilan dan Perlindungan PDI Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob (kiri) sedang bercakap dengan Presiden Indonesia Joko Widodo memperhatikan semasa sidang media selepas pertemuan kedua pemimpin itu di Istana Merdeka di Jakarta, Indonesia, 1 April 2022.
(Ihsan Istana Presiden Indonesia melalui AP)

Malaysia dan Indonesia pada Jumaat menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) yang akan memberi lebih banyak perlindungan kepada warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu domestik di negara jiran itu dalam inisiatif yang diambil ekoran pelbagai kes penderaan oleh majikan terhadap pekerja sektor terbabit.

Majlis menandatangani MoU bagi Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di Malaysia diadakan sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ke republik itu.

Dalam ucapan beliau, Ismail Sabri berkata MoU itu dimetri selepas beberapa siri perbincangan antara kerajaan Malaysia dan Indonesia yang diadakan sebelum ini.

"Pemeteraian MoU ini merupakan satu detik yang besar dan penting kerana ia merupakan komitmen berterusan Pemerintah Malaysia dan Indonesia untuk memberi manfaat besar serta berpanjangan kepada rakyat kedua-dua negara.

"MoU ini akan memastikan segala proses pengambilan dan mekanisme perlindungan PDI akan dilaksanakan secara komprehensif oleh pihak-pihak yang berkaitan mengikut dasar dan perundangan di kedua-dua negara," katanya.

Majlis itu berlangsung di Istana Merdeka, Jakarta menyaksikan MoU berkenaan ditandatangani oleh Menteri Sumber Manusia Malaysia M.Saravanan dan Menteri Ketenagakerjaan Indonesia Ida Fauziyah, dengan disaksikan oleh Ismail Sabri dan Presiden Joko Widodo atau lebih di kenali Jokowi.

Antara lain, kedua-dua negara bersetuju menggunakan sistem saluran tunggal bagi menguruskan kemasukan pembantu domestik dari Indonesia ke Malaysia yang bertujuan memastikan proses saringan iaitu hanya majikan yang layak dibenarkan menggaji PDI.

Ismail Sabri turut memaklumkan Presiden Indonesia bahawa Malaysia telah meratifikasi Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa untuk membanteras penggunaan buruh paksa di negara itu termasuk memberikan perlindungan kepada pekerja migran warga Indonesia.

Beliau berkata Malaysia juga melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menjaga dan memberi perlindungan dari sudut sosial kepada pekerja domestik termasuk caruman melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), penggunaan sistem e-Wages untuk memastikan majikan membayar gaji pekerja mereka tidak lewat daripada hari ketujuh setiap bulan dan pekerja diberikan cuti rehat sehari lagi setiap minggu.

"Kerajaan juga memperkenal aplikasi e-aduan yang membolehkan pekerja membuat sebarang aduan secara dalam talian," katanya.

Tambah beliau, pemeteraian perjanjian pada Jumaat juga akan menjadi perintis kepada kemasukan semula pekerja migran warga Indonesia dalam sektor lain yang dibenarkan di Malaysia.

Dalam pada itu, Presiden Jokowi berkata, “Kami telah menyaksikan bersama-sama pemeteraian MoU (memorandum persefahaman) berhubung penempatan dan perlindungan pekerja asing Indonesia di Malaysia,” kata Jokowi dalam satu kenyataan akhbar yang disiarkan secara maya.

“Pekerja migran Indonesia telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi di Malaysia dan secara semula jadi mereka mendapat hak dan perlindungan daripada kedua-dua negara,” tambah Presiden itu lagi.

“Dengan kehadiran PM Ismail Sabri hari ini, saya percaya MoU itu dapat dilaksanakan dengan baik dan saya mahu MoU ini tidak terhenti di atas kertas, tetapi semua pihak mesti melaksanakan MoU ini dengan baik,” tambah Jokowi.

Malaysia berdepan masalah kekurangan tenaga kerja selepas Indonesia tidak memperbaharui MoU mengenai pengambilan PDI sejak 2016 susulan kes penderaan majikan terhadap pembantu domestik dari negara itu. Menurut laporan akhbar tempatan, beberapa siri rundingan di antara 2017 dan 2018 turut gagal memuktamadkan MoU baharu.

Antara kes yang menjadi perhatian ialah insiden pembantu rumah warga Indonesia Adelina Lisao yang didera sehingga mati oleh majikannya di Pulau Pinang pada 2018. Mangsa, yang bekerja dengan MA Ambika sejak 2014, meninggal dunia pada 4.45 petang 10 Feb 2018 di Hospital Bukit Mertajam selepas ditemukan dalam keadaan parah.

Adelina mengalami kesan lebam di bahagian muka dan kepala selain kecederaan serius di lengan serta kedua-dua kakinya dipercayai akibat dicurah air panas.

Menurut jiran, mangsa tidur di luar rumah bersama dengan anjing peliharaan majikannya selama sebulan selain tidak diberikan makanan secukupnya.

Berdasarkan data Kementerian Luar Negeri Indonesia, dianggarkan seramai 3.1 juta pekerja negara itu bekerja di Malaysia, dengan separuh daripada merea adalah pekerja haram yang tidak mempunyai sebarang dokumen imigresen.

Menurut data yang dikeluarkan Bank Indonesia, jumlah pekerja asing di Malaysia telah mencecah 1.7 juta pada 2021.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.