Malaysia-Singapura Buka Semula Sempadan Hidupkan Ekonomi Terkesan COVID-19
2020.08.17
Kuala Lumpur, Malaysia

Malaysia dan Singapura pada Isnin membenarkan rentas sempadan bersyarat antara kedua negara apabila pintu sempadan yang merupakan laluan darat paling sibuk di dunia, dibuka semula selepas ditutup lebih enam bulan akibat penularan pandemik COVID-19, demikian menurut pegawai kedua-dua negara.
Pembukaan pintu sempadan melalui dua skim, iaitu Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan juga Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dengan perlu mematuhi prosedur standard operasi (SOP) ketat yang ditetapkan sekaligus memberi ruang kepada ekonomi dua negara tersebut kembali rancak termasuk kepada lebih 100,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik ke Singapura untuk bekerja.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Negeri Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri berkata, pembukaan sempadan Malaysia-Singapura pada Isnin berjalan lancar dengan proses pemeriksaan suhu dan ujian saringan COVID-19 telah dibuat sebelum rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dibenarkan masuk ke republik itu.
"Proses masuk dan keluar melibatkan kedua-dua negara di bawah kedua-dua skim ini nampaknya berjalan dengan lancar, yang dilakukan oleh pelbagai pihak berwajib. Mereka yang masuk dan keluar perlu menjalani ujian swab dan memiliki dokumen yang disahkan serta mendapat persetujuan sebelum dibenarkan pergi ke kaunter Imigresen," kata Mohd Solihan seperti dilaporkan oleh media tempatan Malaysia.
Dalam pada itu, jurucakap Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Singapura memberitahu media “Sistem permohonan di bawah skim PCA dan RGL telah berlangsung dengan lancar dengan agensi kerajaan (Singapura) akan terus memastikan bahawa pembukaan sempadan dilakukan dengan berhati-hati dan teratur serta mengimbangi kepentingan ekonomi dan menjaga kesihatan awam,”
Skim RGL melibatkan perjalanan jangka pendek 14 hari buat perniagaan berkepentingan atau yang mempunyai urusan rasmi melibatkan ke dua-dua belah pihak, manakala PCA pula membenarkan rakyat Singapura dan Malaysia yang mempunya pas lawatan panjang untuk perniagaan dan pekerjaan di negara lain dibenarkan untuk memasuki negara tersebut untuk bekerja.
Perjalanan rentas sempadan di bawah skim ini termasuk yang melalui jambatan dan tambak yang menyambungkan kedua negara termasuk udara dengan langkah itu diambil selepas kedua negara jiran itu bertungkus lumus mengawal penularan wabak COVID-19.
Operasi pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura turut mendapat perhatian daripada pihak Istana Johor, dengan Tunku Mahkotanya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa pihak berkuasa imigresen supaya menerbitkan garis panduan yang mudah dan jelas untuk diikuti oleh mereka yang ingin merentas sempadan.
"Saya telah meminta Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerbitkan garis panduan mudah dan jelas kepada individu yang ingin merentas sempadan di laman sesawang dan saluran media sosial mereka, terutama mereka yang tinggal di Johor dan Singapura,” kata putera Sultan Johor itu selepas membuat lawatan ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin di Bangunan Sultan Iskandar minggu lalu.
Pembukaan semula sempadan itu juga menyaksikan penyambungan semula operasi pengangkutan udara antara Malaysia dan Singapura, termasuk penerbangan AirAsia yang menyaksikan pesawat pertama berlepas pada jam 11.50 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi sebelum kembali semula pada 2.35 petang.
Dalam satu kenyataan media, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat memberikan maklumbalas positif terhadap perkembangan itu, dan mengharapkan bahawa lebih banyak langkah seumpama itu bakal menyusul dengan sempadan dibuka kepada negara-negara lain yang mempunyai jumlah kes COVID-19 yang rendah.
"Kami berharap untuk menyakksikan lebih banyak 'travel bubbles' dan juga 'laluan hijau' dibuat antara negara-negara yang mempunyai kadar jangkitan atau kes aktif yang rendah, dan sistem yang terbukti berkesan bagi menghalang penularan pandemi bagi membolehkan perjalanan udara,” kata Riad.
Tindakan tepat
Sementara itu, seorang penganalisis keselamatan menyifatkan keputusan membuka semula sempadan Malaysia-Singapura menggunakan dua skim itu sebagai tindakan yang bertepatan dalam mengurangkan krisis ekonomi dihadapi negara jiran itu.
Menurut Abdul Rashid Abdul Hamid, walaupun kedua-dua skim berkenaan menyaksikan pengecualian diberikan terhadap perintah kuarantin selama 14 hari, Malaysia mempunyai kemampuan untuk mengawal penularan COVID-19 dalam negara dan kedua-dua negara juga telah bersetuju untuk menggantung pelaksanaannya sekiranya terdapat sebarang kejadian luar jangka.
"Malaysia dan Singapura amat memerlukan antara satu sama lain dalam konteks ekonomi. Malaysia membekalkan tenaga kerja dan barangan keperluan asas kepada Singapura dan ia secara tidak langsung membantu pertumbuhan ekonomi negara melalui pengaliran mata wang asing ke Malaysia.
“Pelaksanaan ini dilihat sebagai tanda aras sebelum kerajaan mempertimbangkan untuk membuka sempadan negara dengan negara-negara lain yang boleh memberikan manfaat kepada negara secara keseluruhannya,
"Kita perlu hidup dalam virus ini dan apa yang penting adalah untuk kita patuh dan terus mengamalkan SOP seperti social distancing dan sentiasa memakai pelitup muka. Sekiranya kita langsung tidak memberi kelonggaran kepada aktiviti ekonomi, kita akan berhadapan dengan situasi lebih sukar pada masa akan datang,” tambahnya.
Pusat Maklumat Koronavirus Universiti John Hopkins, Amerika Syarikat telah mencatatkan sejumlah 55, 838 kes COVID-19 di Singapura manakala di Malaysia pula sebanyak 9,212 kes.
Pada Sabtu KKM telah mengumumkan penemuian wujudnya mutasi COVID-19 jenis D614G, iaitu satu strain yang disifatkan sebagai 'super spreader', yang mampu menjangkiti ramai individu lain dengan cepat.
Ketua Pengarahnya Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan yang disiarkannya melalui Facebook menyatakan bahawa mutasi itu ditemui oleh Institut Penyelidikan Perubatan dalam sampel yang diambil dari dua kluster jangkitan yang kini sedang aktif di Malaysia.
"Keputusan terkini yang baru diterima dari makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), seperti disyaki mutasi jenis D614G telah dikesan daripada ujian pengasingan dan kultur virus COVID-19 untuk tiga kes daripada Kluster PUI Sivagangga, iaitu kontak rapat kepada kes indeks, dan juga satu kes daripada Kluster Ulu Tiram," kata kenyataan Noor Hisham di laman media sosial rasminya itu.
Beliau berkata mutasi D614G mempunyai kemampuan untuk menjangkiti 10 kali ganda lebih mudah, dan ia mudah merebak sekiranya dijangkiti individu super spreader.