COVID: Malaysia Tangguh, Batal Semua Bentuk Perhimpunan di Seluruh Negara
2020.03.13
Kuala Lumpur, Malaysia

Perdana Menteri Malaysia pada Jumaat tampil dalam satu pengumuman khas yang disiarkan secara langsung di stesen-stesen televisyen mengarahkan semua bentuk perhimpunan termasuk agama dan kejohanan sukan dibatalkan atau tunda sehingga April bagi mencegah penularan virus COVID-19, apabila hampir 200 orang disahkan positif di negara itu.
Muhyiddin Yassin dalam pengumuman berdurasi 12 minit itu juga meminta agar bersentuhan, bersalaman dikurangan, dan juga mengelak daripada menghadiri sebarang bentuk perhimpunan yang boleh mendedahkan diri kepada jangkitan virus tersebut.
"Kerajaan telah memutuskan agar semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan ditangguhkan atau dibatalkan mengikut kesesuaian sehingga 30 April 2020.
"Keputusan ini akan diteliti semula sekiranya situasi COVID-19 bertambah baik," katanya dalam pengumuman khas itu, beberapa jam selepas mempengerusikan satu mesyuarat khas jawatankuasa tertinggi negara bagi menangani masalah virus tersebut, di Putrajaya.
Sehingga tengahari Jumaat, Kementerian Kesihatan Malaysia [KKM] telah merekodkan sejumlah 197 kes positif COVID-19, iaitu peningkatan sebanyak 39 kes dari hari sebelumnya.
Menurut Muhyiddin, sebilangan besar daripada jumlah tersebut iaitu sebanyak 175 kes adalah melalui gelombang kedua jangkitan yang melanda Malaysia.
Berdasarkan statistik terbaru yang disediakan oleh pihak berkuasa kesihatan itu, golongan terbesar yang didapati positif COVID-19 adalah mereka yang berusia antara 50 hingga 59 tahun, iaitu seramai 53 orang dengan 40 orang daripadanya adalah warga emas berusia 60 tahun ke atas, serta tujuh kanak-kanak di bawah umur sembilan tahun.
Muhyiddin turut meminta pihak berkuasa agama Islam negeri untuk mengeluarkan garis panduan mengenai ibadah keagamaan di masjid bagi mengelakkan penularan virus berkenaan dengan mengambil kira nasihat KKM.
"Acara keagamaan bagi agama-agama lain yang melibatkan perhimpunan berskala besar juga mestilah mengambil kira nasihat dan arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dari masa ke semasa," kata Muhyiddin.
Berdasarkan grafik yang dikeluarkan KKM, sekurang-kurangnya 40 kes dari gelombang kedua jangkitan COVID-19 di Malaysia mempunyai hubungan dengan satu program keagamaan yang dianjurkan sebuah persatuan Tabligh, yang berlangsung di Masjid Jamek Sri Petaling antara 27 Feb hingga 3 Mac lalu.
Pihak berkuasa Malaysia telah menganggarkan bahawa program tersebut telah disertai lebih kurang 16,000 orang, termasuk 1,500 peserta dari negara luar. Setakat ini, Singapura dan Brunei telah mencatatkan warganegara yang positif Covid-19 dan pernah menghadiri program berkenaan.
Bawa pulang rakyat
Muhyiddin juga berkata yang Malaysia akan membawa pulang rakyatnya di Iran dan Itali, iaitu antara negara yang teruk berlakunya penularan jangkitan virus berkenaan sehingga menyebabkan kematian dengan jumlah yang banyak.
“Seramai 65 orang rakyat Malaysia yang berada di Iran dan 323 orang yang berada di Itali sedang dalam proses untuk dibawa pulang,” tambah beliau.
China merekodkan jumlah jangkitan dan kematian tertinggi setakat ini, iaitu 80,814 jangkitan dan 3,176 kematian, dengan Itali mencatatkan lebih 1,016 kematian dan 15,113 telah dijangkiti.
Iran pula adalah negara ketiga tertinggi kes jangkitan positif COVID-19 dengan jumlah kes mencecah 10,075 dan 429 kematian manakala Korea Selatan pula lebih 7,979 kes positif direkodkan dengan 67 kematian.
Malaysia juga telah membuat sekatan perjalanan sepenuhnya terhadap kemasukan rakyat atau melawat ke Itali, Iran, Korea Selatan dan terbaru Denmark.
Selain itu, Muhyiddin di dalam ucapannya turut menyentuh mengenai impak koronavirus baru itu terhadap ekonomi negara dan berjanji akan memastikan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan baru-baru ini akan dilaksanakan dengan berkesan kepada sasaran.
Sektor pelancongan negara, yang menyaksikan pembatalan pakej pelancongan serta tempahan penerbangan dan hotel sejak penularan Covid, dianggarkan telah mengalami kerugian sebanyak RM3.37 bilion (AS$787 juta) antara Januari dan Februari.
Menurut Muhyiddin, kerajaannya menganggarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2020 akan mencatatkan penurunan di antara 0.8 peratus hingga 1.2 peratus, iaitu antara RM10.8 billion (AS$2.52 bilion) hingga RM17.3 billion (AS$4 bilion).
"Saya sedar bahawa langkah-langkah segera perlu dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengurangkan kesan wabak ini kepada ekonomi negara, khususnya kepada rakyat.
"Untuk itu, kerajaan akan memastikan pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan akan dipantau pelaksanaannya supaya kesannya akan dapat dirasai oleh anda semua dengan segera," katanya.
Fasiliti rawat COVID ditambah
Pentadbiran Putrajaya juga akan mempertingkatkan jumlah hospital yang berkeupayaan menerima pesakit bagi kes COVID-19 termasuk menambah makmal untuk ujian pengesanan, tambah Perdana Menteri itu.
Muhyiddin berkata sebanyak 26 buah hospital kerajaan dan sebuah hospital universiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya mempunyai keupayaan untuk mengendalikan kes-kes COVID-19.
"Terdapat 57 hospital kerajaan dan 170 klinik kesihatan di seluruh negara yang bersedia untuk melaksanakan saringan kesihatan ke atas mereka yang bergejala penyakit COVID-19 dengan beberapa kolaborasi bersama hospital swasta dan seliaan Kementerian Pertahanan dan universiti akan dipertingkatkan."
Sementara itu, Menteri Luar, Hishammuddin Hussein pada awal Jumaat berkata Wisma Putra telah mengesan sejumlah 11 rakyat Malaysia yang berada di luar negara dijangkiti virus tersebut.
Menurutnya, sembilan daripadanya adalah mereka yang berada di Singapura, manakala dua lagi dari Jepun, dan telah pulang ke Malaysia.
Hishammuddin turut menggesa rakyat Malaysia yang berada di luar negara supaya menghubungi kedutaan atau wakil negara di tempat mereka berada bagi memudahkan pemantauan.
"Kita hendak tekankan rakyat Malaysia di negara luar ini, tolong daftar dengan kedutaan supaya senang untuk kita pantau," kata Hishammuddin pada satu sidang media.
Menurut Hishammuddin, sehingga kini, jumlah rakyat Malaysia di luar negara yang berdaftar dengan Wisma Putra, nama lain bagi Kementerian Luar Negeri Malaysia, adalah seramai 14,929 di China, Korea Selatan (4,297), Itali (380), Iran (67), Jepun (6,019), Perancis (2,401), Jerman (2,218), Sepanyol (150), Amerika Syarikat (23,179), dan Switzerland (790).