PM Malaysia Mahu Elak Disingkir Dengan Undi Tidak Percaya, Kata Penganalisis
2021.03.01
Kuala Lumpur

KEMASKINI pada 10.00 pagi waktu tempatan ETS - 2021-03-02
Ketika Muhyiddin Yassin melangkah ke tahun keduanya sebagai perdana menteri Malaysia yang tidak dipilih, beliau tidak mungkin menghadapi usul undi tidak percaya sekiranya Parlimen kembali bersidang, walaupun adanya kebimbangan bahawa beliau mungkin kehilangan sokongan majoriti, kata penganalisis kepada BeritaBenar.
Muhyiddin menerima hadiah ulang tahun pertama kerajaan PN pada hujung minggu lalu apabila dua Ahli Parlimen pembangkang menyuarakan sokongan mereka kepadanya, beberapa hari selepas Yang di-Pertuan Agong membuat kenyataan mengejutkan dengan bertitah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa negara sedang darurat, yang mencetuskan spekulasi bahawa Muhyiddin bakal berdepan masalah.
Dari sudut perlembagaan, Muhyiddin yang sepatutnya mempersembahkan syor kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa Parlimen boleh mengadakan persidangan, kata Barjoyai Bardai, ahli akademik di Universiti Tun Abdul Razak.
"Mengenai Parlimen kembali bersidang, walaupun Yang di-Pertuan Agong menzahirkan ia boleh berbuat demikian, sepatutnya perdana menteri yang harus menasihati baginda mengenainya. Namun, dari segi munasabahnya, perdana menteri tidak mungkin berbuat demikian,” kata Bardai kepada BeritaBenar.
Sesi Parlimen akan ditangguhkan selama mana yang mungkin, kata James Chin, pengarah Institut Asia di University of Tasmania.
Muhyiddin telah menangguhkan persidangan Parlimen selepas Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat pada 12 Januari, dengan langkah itu menerima kritikan meluas daripada pembangkang.
Walaupun perdana menteri menerima tekanan supaya menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan semula persidangan Parlimen, namun usul undi tidak percaya mungkin tidak akan dibawa, kata dua penganalisis.
"Tidak…apa gunanya? Walaupun ia kembali bersidang, ini tidak bermakna yang usul undi tidak percaya itu akan dibawa,” kata Oh Ei Sun, felow kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, kepada BeritaBenar.
"Yang di-Pertuan Agong hanya menzahirkan pendapat bahawa Parlimen boleh bersidang, dan bukannya Muhyiddin perlu mengundur diri."
Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia turut bersetuju dengan pendapat Oh.
"Berdasarkan pengalaman masa lalu, speaker mungkin tidak membenarkan [usul undi tidak percaya] kerana ia perlu diluluskan oleh menteri yang bertanggungjawab bagi urusan Parlimen," kata Tunku Mohar kepada BeritaBenar.
"Saya rasa Muhyiddin mungkin tidak mahu Parlimen kembali bersidang, tetapi sekiranya beliau dipaksa berbuat demikian, beliau tidak akan membenarkan usul undi tidak percaya itu."
Oh dan Tunku Mohar merujuk kepada tindakan Speaker Azhar Azizan Harun yang menolak lebih daripada sekali usul undi tidak percaya pada tahun lalu, sama ada oleh Ahli Parlimen pembangkang atau kerajaan gabungan.
Julai lalu, Azhar berkata beliau tidak mempunyai kuasa untuk membenarkan usul itu dibawa, dan pada Oktober lalu, beliau berkata urusan kerajaan perlu diutamakan dalam mana-mana persidangan Parlimen. Menurutnya, di bawah sistem Parlimen Westminster, usul undi tidak percaya perlu dibawa oleh seorang menteri.
Semua ini berlaku ketika parti-parti gabungan kerajaan iaitu parti Bersatu, yang diterajui Muhyiddin, dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang mendominasi gabungan itu, sedang menghadapi pertikaian dalaman.
"UMNO tidak akan sokong usul undi tidak percaya"
Sementara itu, UMNO tidak mungkin membawa usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin, kata Annuar Musa, menteri dan ahli parti itu serta Mustafa Shah Abdul Hamid yang merupakan pemimpin pemuda parti berkenaan.
"Saya tidak fikir UMNO akan menyokong [usul undi tidak percaya itu] kerana Ahli Parlimen Barisan Nasional menyokong PN untuk membentuk kerajaan," kata Mustafa Shah kepada BeritaBenar.
"Saya tidak pula mendengar apa-apa pun dalam UMNO untuk membawa usul undi tidak percaya ... dan saya rasa tindakan itu tidak perlu dilakukan pun."
Annuar berkata Majlis Tertinggi UMNO masih berpendirian yang gabungan pimpinan Muhyiddin itu mestilah disokong, walaupun terdapatnya sebilangan anggota yang menyokong gesaan oleh presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi supaya diadakan pilihan raya mengejut pada Januari lepas.
UMNO telah memecat Musa dari jawatannya sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional kerana bersuara menentang gesaan Zahid untuk mengadakan pilihan raya.
Annuar tidak menyebut sebarang nama tetapi memberitahu bahawa ada beberapa pihak dalam UMNO yang tidak senang dengan Muhyiddin kerana tidak membantu menggugurkan kes mahkamah yang dihadapi mereka.
"UMNO berpecah dari dalam dan itulah kebenarannya," kata Annuar, sambil menambah yang kerajaan pada masa ini "tidak pernah kuat."
Muhyiddin menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya mengisytiharkan darurat, dua Ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan mereka terhadapnya yang menyebabkan beliau kehilangan sokongan majoriti di Parlimen, kata ahli parlimen pada masa itu.
Tetapi pada Ahad, menjelang ulang tahun pertama kerajaan pimpinannya, Muhyiddin mengumumkan di media sosial bahawa dua Ahli Parlimen parti pembangkang utama iaitu Parti Keadilan Rakyat yang dipimpin Anwar Ibrahim, telah mengubah sokongan kepada gabungan kerajaan Perikatan Nasional yang diterajuinya.
Pengkhianatan itu membolehkan Muhyiddin kembali menerima sokongan yang diperlukan setelah dua Ahli Parlimen gabungan itu menarik balik sokongan mereka terhadap kerajaan pada Januari lalu.
Anwar pada Isnin mendakwa bahawa Muhyiddin telah menggunakan tipu helah untuk merancang tindakan pengkhianatan kedua-dua Ahli Parlimen PKR itu.
"Saya faham maksud demokrasi"
Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri Malaysia pada 1 Mac 2020 iaitu seminggu selepas kerajaan Mahathir Mohamad tumbang, dengan sebahagian daripadanya kerana ditinggalkan oleh parti pimpinan Muhyiddin.
Beliau kemudian membentuk pakatan dengan UMNO, parti yang dibelenggui dengan skandal sehingga dapat dijatuhkan Mahathir pada pilihan raya umum 2018 bersejarah yang membawa perubahan pertama kerajaan dalam sejarah Malaysia.
Langkah Muhyiddin ke tampuk kuasa pula menerima bantahan rakyat yang menuduhnya membentuk "kerajaan pintu belakang" tetapi desakan mereka itu dapat dilenyapkan ekoran penularan pandemik koronavirus.
Namun, hubungan parti kecil Bersatu yang dipimpinnya dan parti UMNO tetap dilanda pergolakan, selain jumlah Ahli Parlimen yang dikatakan memberi sokongan kepadanya masih lagi misteri.
Muhyiddin pada Isnin menegaskan bahawa beliau mengesyorkan darurat hanya untuk membolehkan pandemik COVID-19 ditangani dengan lebih efisien, dan bukannya mahu terus berkuasa seperti yang dikatakan pembangkang.
“Saya faham maksud demokrasi. Oleh itu, tidak ada satu pun ordinan diperkenalkan untuk menjadikan Perdana Menteri kekal berkuasa selama-lamanya,” kata Muhyiddin.
Darurat bukan makna darurat supaya saya boleh duduk lama jadi Perdana Menteri.. Saya pun tak tahu parti mana sekarang yang mempunyai jumlah kerusi yang lebih besar daripada saya… Saya yakin kedudukan saya ini mengikut Perlembagaan. Sah di sisi undang-undang. Saya tak boleh duduk sebagai Perdana Menteri haram,” katanya semasa wawancara khas bersama agensi berita nasional Bernama dan beberapa organisasi media sempena setahun beliau memegang jawatan perdana menteri pada Ahad.
Perdana Menteri menambah apabila pandemik berjaya dikawal, beliau akan menasihati Agong untuk membubarkan parliament agar pilihan raya dapat diadakan.
“... yang mustahak kita selesaikan ini (pandemik) dahulu, apabila selesai, saya tidak mahu tunggu sehari pun [untuk mengadakan pilihan raya],” kata Perdana Menteri itu.
Annuar yakin Muhyiddin akan jujur dengan kata-katanya.
"PM ingin mengadakan pilihan raya sejak tahun lalu," kata Musa.
Annuar turut mengakui bahawa kerajaan telah menangani pandemik itu dengan amat baik sekali.
"Tidak pernah dalam sejarah kerajaan Malaysia, adanya pentadbiran yang menghadapi begitu banyak masalah - politik, pandemik dan ekonomi - semuanya pada masa yang sama, dan kami yang berada dalamnya (kerajaan), berjaya mengawal penularan COVID-19. Saya melihat kabinet menjalankan fungsinya dengan baik. Sangat harmoni dan cepat membuat keputusan,” kata Annuar.
Kes jangkitan koronavirus semakin berkurangan sejak mencatatkan angkat tertinggi pada akhir Januari, namun kes kematian terus meningkat dengan angkanya melebihi 1,000 sejak dua minggu lalu.