PM Muhyiddin Yassin Penerima Pertama Suntikan Vaksin COVID-19 Di Malaysia

Suntikan itu turut menandakan pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Nasional yang memberi suntikan percuma kepada semua.
Noah Lee & Muzliza Mustafa
2021.02.24
Kuala Lumpur
PM Muhyiddin Yassin Penerima Pertama Suntikan Vaksin COVID-19 Di Malaysia Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer BioNTech daripada Ketua Jururawat Lina Ibrahim di Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya di Presint 11, Putrajaya, 24 Februari 2021.
[Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia]

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di Malaysia yang menerima suntikan vaksin COVID-19 dalam satu majlis yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara pada Rabu, ketika pihak berkuasa kesihatan memulakan fasa pertama program imunisasi yang akan melibatkan 500,000 petugas kesihatan dan barisan hadapan.

Pada hari yang sama, kerajaan juga mengumumkan bahawa mereka telah menerima lebih 465,000 permohonan daripada pengguna aplikasi MySejahtera bagi menyertai Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan. Jumlah itu direkodkan hanya dalam tempoh sehari sejak
aplikasi Kementerian Kesihatan itu dikemaskini untuk tujuan tersebut.

Muhyiddin menerima suntikan vaksin daripada ketua jururawat Klinik Kesihatan Putrajaya, Lina Ibrahim pada kira-kira jam 2.40 petang yang mengambil masa kurang seminit untuk suntikan berkenaan yang disiarkan secara langsung di semua stesen televisyen bahawa proses tersebut u tidak menyakitkan dan meminta semua rakyat Malaysia tampil bagi diinokulasi.

"Tidak sakit, tidak rasa apa pun. Macam suntikan biasa sahaja, tahu-tahu sudah selesai," kata beliau sejurus selepas disuntik dengan vaksin keluar Pfizer-BioNTech.

Beliau kemudian diletakkan di bawah pemantauan selama kira-kira 30 minit bagi melihat jika terdapat sebarang kesan samping, sebelum meneruskan proses dengan mendaftar temujanji untuk suntikan dos kedua vaksin berkenaan di mana penerima vaksin Pfizer-BioNTech perlu menerima dua dos dalam tempoh selang 21 hari.

Ketika ditemui pemberita selepas itu, Muhyiddin menyatakan bahawa setakat itu beliau tidak menunjukkan sebarang kesan sampingan, dan percaya bahawa ianya adalah selamat.

"Saya percaya vaksin ini cukup selamat dan berkesan. Masyarakat tidak perlu bimbang dan tampil ke hadapan untuk mendaftar supaya dapat ditentukan giliran bagi menerima vaksin COVID-19 nanti," katanya seperti dilaporkan media tempatan.

Selain Muhyiddin, turut menerima suntikan vaksin pada program yang sama adalah Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah, dan empat petugas kesihatan lainnya.

Noor Hisham dalam satu muatnaik di laman Facebook beliau berkata bahawa empat lagi penerima adalah Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Presint 9 Putrajaya Dr Tan Yee Ling;

Sheilla Mellissa Sikin, Jururawat Klinik Kesihatan Presint 9; masing-masing Khairul Asraf Mohd Yasin, Penolong Pegawai Perubatan dan Clement Marai Francis seorang pemandu di Pejabat Kesihatan Putrajaya.

Program vaksinasi COVID-19 adalah yang terbesar akan dilaksana di seluruh negara, melibatkan tiga fasa iaitu dengan fasa pertama membabitkan golongan petugas barisan hadapan yang bermula pada Rabu sehingga April depan. Hari pertama pelaksanaan program itu sebelum ini dijadualkan pada Jumaat 26 Februari, namun diawalkan dua hari.

Fasa kedua adalah kepada kumpulan berisiko tinggi yang akan bermula pada April sehingga Ogos manakala fasa terakhir melibatkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas bermula Mei 2021 dan dijangka selesai pada Feb tahun hadapan.

Kerajaan Malaysia sebelum ini juga telah mengumumkan bahawa program vaksinasi percuma itu akan turut melibatkan semua warga asing yang tinggal di negara itu, termasuk migran tanpa dokumen sah, dengan tujuan mewujudkan imuniti kelompok (herd immunity) terhadap virus COVID-19.

Sehingga kini, Malaysia telah berjaya mendapatkan akses bekalan vaksin sebanyak 66.7 juta dos melalui Fasiliti COVAX dan pembelian awal daripada lima pengeluar vaksin COVID-19.

Bagaimanapun, hanya satu pengeluar iaitu Pfizer-BioNTech sahaja yang telah memperoleh kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA).

EDA9D434-68B4-46D8-9AFF-EA535DED5EC4.jpeg

Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah menunjukkan Kad Vaksinasi dan paparan status vaksinasi COVID-19 pada aplikasi MySejahtera selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech di Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya di Presint 11, Putrajaya, 24 Februari 2021. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

Lebih 450,000 mendaftar untuk vaksin

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dalam sidang media pada Rabu mengumumkan bahawa pendaftaran untuk menyertai program vaksinasi COVID-19 melalui MySejahtera telah dibuka secara rasmi mulai hari tersebut.

Walaubagaimanapun, menurut pengerusi bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 itu, ramai pengguna aplikasi yang sudah memuat turun kemaskini lebih awal telah mula membuat pendaftaran mereka sejak sehari sebelum itu.

"Sukacita saya umumkan bahawa, walaupun hari ini baru kita umumkan pendaftaran melalui MySejahtera secara rasmi, tetapi kerana kemaskini aplikasi telah tersedia sejak semalam, kita sudah menerima pendaftaran. Setakat jam 2.45 petang tadi, sejumlah 465,081 pendaftaran untuk vaksin telah diterima," kata beliau.

Menurut Khairy, pengguna yang telah mendaftar masih tertakluk kepada fasa pemberian vaksin yang ditetapkan mengikut kumpulan sasar. Bagaimanapun, mereka yang membuat pendaftaran awal akan diletakkan dalam giliran yang lebih awal berbanding mereka yang berbuat demikian selepas mereka.

Aplikasi berkenaan mengkehendaki pengguna yang ingin mendaftar sebagai penerima vaksin untuk mengisi maklumat butiran diri mereka serta alamat, dan menjawab beberapa soalan mengenai tahap kesihatan mereka.

Antara soalan yang perlu dijawab adalah samada pengguna mempunyai penyakit komorbiditi lain serta jika mereka adalah termasuk dalam golongan kurang upaya.

Maklumat yang dimuatnaik itu kemudiannya akan dipadankan dengan rekod kesihatan mereka di pusat-pusat kesihatan awam atau swasta bagi melihat kesesuaian mereka untuk menerima vaksin, tambah Khairy.

Mereka yang telah dimasukkan ke dalam senarai untuk diinokulasi akan dimaklumkan menerusi sistem notifikasi MySejahtera dua minggu sebelum tarikh yang ditetapkan untuk mereka.

Selain MySejahtera, kerajaan juga menyediakan beberapa cara lain untuk mereka yang ingin mendapatkan vaksin mendaftar dengan pihak berkuasa kesihatan.

Khairy berkata bahawa satu laman web khas dan talian telefon untuk pendaftaran akan mula beroperasi pada 5 Mac depan, selain pendaftaran secara manual juga akan disediakan di hospital dan klinik-klinik kerajaan.

"Kita juga akan menggerakkan program sukarelawan bagi menjalankan aktiviti 'outreach' di kawasan-kawasan pedalaman nanti," kata menteri berkenaan.

BB3CAA1A-CD75-4404-8ED5-651EA69C363A.jpeg

Dua jururawat terlatih dari Klinik Kesihatan Presint 18 Putrajaya membawa vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech dalam bekas khas tiba di Pejabat Kesihatan Putrajaya, Putrajaya 24 Februari 2021. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

Vaksin diambil Malaysia terbukti keberkesanan

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Christopher Lee ketika dihubungi BeritaBenar menyatakan bahawa rakyat Malaysia boleh berasa yakin dengan keselamatan dan keberkesanan vaksin COVID-19.

Kata beliau, banyak agensi kesihatan di dunia seperti Agensi Pengurusan Dadah dan Makanan Amerika Syarikat (FDA) telah meluluskan satu atau lebih daripada vaksin-vaksin yang kini digunakan di seluruh dunia. Ini termasuklah vaksin keluaran Pfizer, Moderna dan Astra Zeneca, di mana agensi-agensi itu yakin dengan bukti tahap keselamatan serta keberkesanan mereka.

"Satu lagi fakta yang patut memberikan keyakinan adalah, kita kini berada di dalam kempen vaksinasi terbesar dalam sejarah dunia dan menurut laporan agensi berita Bloomberg, lebih 213 juta dos telah diberikan di 95 negara," kata Lee.

Tambah doktor yang mempunyai kepakaran dalam bidang penyakit berjangkit itu, data yang dikumpulkan di negara-negara yang telah menjalankan vaksinasi, termasuk Israel, menunjukkan penurunan kes COVID-19.

"Semua fakta di atas patut memberikan keyakinan bahawa vaksin adalah selamat dan efektif. Saya berharap bahawa semua rakyat Malaysia akan mengambil suntikan vaksin yang ditawarkan kepada mereka. Vaksin nampaknya adalah harapan terbaik negara untuk masa depan kehidupan dan juga ekonomi," kata Lee.

Malaysia pada Rabu merekodkan 3,545 kes positif baharu COVID-19, dengan jumlah kumulatif meningkat kepada 291,774, manakala 12 kes kematian baharu berkaitan pandemik tersebut menjadi seramai 1,088 orang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.