Kumpulan Pelarian: Malaysia Rancang Hantar Pulang Pencari Suaka ke Myanmar
2021.02.18
Washington & Kuala Lumpur

Malaysia merancang untuk menghantar pulang pencari suaka dalam kalangan 1,200 rakyat Myanmar yang berada di negaranya pada minggu depan, menurut sebuah kumpulan pelarian kepada BeritaBenar pada Khamis manakala kumpulan hak asasi manusia pula terkejut dengan langkah itu yang dianggap boleh membahayakan nyawa selepas berlakunya rampasan kuasa tentera di negara itu.
Antara yang bakal dihantar pulang itu adalah sekurang-kurangnya sembilan etnik Chin yang, seperti etnik Muslim Rohingya, turut mengalami diskriminasi yang disokong kerajaan di Myanmar, kata James Bawi Thang Bik dari Alliance of Chin Refugees yang berpusat di Kuala Lumpur.
"Kami mempunyai sembilan orang [yang mahukan suaka] daripada komuniti kami dan mereka berasal dari zon konflik di negara kami," kata Thang Bik pada lewat malam Khamis, yang merujuk kepada negeri-negeri Chin dan Rakhine di mana tentera Myanmar dan pemberontak Tentera Arakan terbabit dalam pertempuran maut sejak November 2018.
“Etnik kami akan dihantar pulang ke Myanmar, mereka tidak memiliki dokumen UNHCR kerana masih belum ditemu duga oleh UNHCR bagi menentukan sama ada mereka pelarian atau pencari suaka. Mereka ditahan sementara menunggu pihak UNHCR. Oleh itu, adalah amat penting untuk membenarkan UNHCR menemui mereka dahulu bagi menentukan status mereka."
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Khairul Dzaimee Daud pada awal minggu ini menyatakan bahawa tiada pelarian yang berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau kalangan minoriti Rohingya Myanmar yang akan dihantar pulang ke negara itu.
Tetapi, menurut UNHCR iaitu agensi pelarian PBB, sejak Ogos 2019 lagi wakilnya belum dapat bertemu dengan mereka yang ditahan bagi menentukan sama ada mereka layak mendapat perlindungan antarabangsa kerana Malaysia menolak permohonannya mengunjungi pusat-pusat tahanan imigresen.
Alliance of Chin Refugees menghantar senarai etnik komunitinya yang ditahan itu kepada UNCHR setiap bulan supaya agensi PBB itu mengetahui kes mereka yang memohon suaka, kata Thang Bik.
"UNHCR selalu memberi respons kepada kami dengan menyatakan bahawa mereka tidak dibenarkan oleh pihak imigresen untuk mengunjungi kem tahanan sejak Ogos 2019, jadi mereka tidak dapat melakukan apa-apa. Itulah yang selalu dijawab mereka kepada kami,” katanya.
Agensi PBB itu mengesahkan fakta berkenaan dalam satu kenyataan pada 12 Februari.
"UNHCR belum menerima kebenaran pihak berkuasa imigresen untuk mengunjungi pusat-pusat tahanan imigresen sejak Ogos 2019, walaupun adanya sokongan berterusan daripada UNHCR dan pihak lain mengenai perkara ini," kata Yante Ismail, jurucakap UNHCR di Kuala Lumpur.
"Malangnya, ini menghalang UNHCR daripada bertemu dengan mereka yang ditahan bagi mengesahkan status pelarian mereka, dan untuk menentukan sama ada mereka memerlukan perlindungan antarabangsa."
Yante berkata beliau tahu mengenai laporan bahawa 1,200 rakyat Myanmar akan dihantar pulang dari Malaysia, dan masih berusaha untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenainya daripada pihak berkuasa Malaysia.
"Namun, kami bimbang kerana masih ada sejumlah orang dalam tahanan Malaysia yang mungkin memerlukan perlindungan antarabangsa termasuk wanita dan kanak-kanak yang rentan dengan status pelarian mereka masih belum disahkan," katanya.
Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951.
Tindakan ‘jijik’ Malaysia
Dalam perkembangan berkaitan, sekumpulan tahanan Muslim dari Myanmar memberitahu agensi berita Reuters bahawa 85 orang daripada mereka adalah antara yang disenaraikan untuk dihantar pulang pada 23 Februari.
"Mereka tidak mahu pulang ke Myanmar," kata Thu Zar Moung, pengasas dan ketua Komuniti Pelarian Muslim Myanmar, sebuah kumpulan yang mewakili Muslim bukan Rohingya, kepada agensi berita itu pada Khamis.
"Malah, sepanjang perjalanan dari Malaysia ke Myanmar, nyawa mereka boleh terancam dan [itu] berbahaya," katanya tanpa menjelas secara terperinci.
Sementara itu, Khairul Dzaimee mengesahkan bahawa Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur telah mengatur penghantaran pulang warganegaranya ke negara itu, lapor Reuters pada minggu lalu.
Malaysia bersetuju untuk menghantar pulang 1,200 rakyat Myanmar setelah tentera negara itu, yang mendalangi rampasan kuasa pada 1 Februari, menawar untuk menghantar kapal-kapal tentera lautnya bagi menjemput mereka, lapor Reuters.
Tindakan Malaysia bekerjasama dengan tentera Myanmar untuk mengusir rakyat negara itu kembali ke negara tersebut selepas berlakunya rampasan kuasa, telah mengejutkan kumpulan hak asasi Amnesty International dan sekumpulan Ahli Parlimen Asia Tenggara.
"Adalah amat menjijikkan melihat Malaysia bekerjasama dengan junta Myanmar yang telah merampas kuasa secara haram, dan lebih-lebih lagi untuk menghantar pulang rakyat Myanmar menghadapi situasi bahaya dan rusuhan," kata Chamnan Chanruang, Ahli Parlimen ASEAN bagi Hak Asasi Manusia ( APHR), dalam satu kenyataan pada Khamis.
"Kebanyakan daripada mereka mungkin merupakan pelarian dan pencari suaka yang akan diserahkan kembali ke tangan tentera Myanmar, yang sebelum ini menyebabkan mereka melarikan diri daripada keganasan dan keadaan terdesak di negara itu."
Tentera Myanmar, yang memerintah negara Asia Tenggara itu selama hampir 73 tahun sejak kemerdekaannya daripada pemerintahan Inggeris, dikatakan telah mencabuli hak asasi manusia yang serius terhadap etnik minoriti, menurut Human Rights Watch, PBB dan pemerhati antarabangsa yang lain.
Ribuan minoriti itu - Rohingya, Karen, Karenni, Chin, Kachin, Shan dan Mon - melarikan diri daripada penganiayaan yang disokong kerajaan di Myanmar sejak beberapa dekad yang lalu.
“Rampasan kuasa itu mengancam nyawa semua masyarakat yang rentan. Tidak diragukan lagi bahawa risiko diskriminasi dan keganasan lanjut terhadap etnik dan agama minoriti, termasuk Rohingya, adalah amat tinggi. Kami tahu apa yang mampu dilakukan tentera Myanmar daripada aspek pencabulan hak asasi manusia,” kata Teddy Baguilat dari APHR.
Tindakan keras terhadap pembangkang selepas berlakunya rampasan kuasa tentera di Myanmar menjadikan mereka yang akan dihantar pulang itu berdepan risiko pencabulan hak asasi manusia lagi, kata Amnesty International.
"Kerajaan Malaysia secara semberono mengancam nyawa lebih 1,000 orang rakyat Myanmar dengan mengusir mereka di sebalik rancangan sulit ke sebuah negara yang sedang menghadapi rampasan kuasa dan dicemari dengan pencabulan hak asasi manusia," kata Katrina Jorene Maliamauv, pengarah eksekutif bagi kumpulan pemerhati di Malaysia, dalam kenyataan pada Khamis.
"Pihak berkuasa Imigresen Malaysia mendakwa 'program penghantaran pulang' itu tidak melibatkan pelarian atau pencari suaka, tetapi bagaimana mereka boleh menentukan perkara ini jika PBB dihalang daripada bertemu dengan tahanan imigresen sejak lebih satu setengah tahun lalu?"
Dalam kenyataannya pada Isnin, ketua pengarah jabatan imigresen Malaysia tidak menyentuh mengenai isu UNHCR yang dilarang mengunjungi pusat-pusat tahanan imigresen sejak Ogos 2019.
Penghantaran pulang 1,200 warganegara Myanmar adalah "sebahagian daripada proses biasa pengusiran rakyat asing" yang tidak memiliki dokumen perjalanan atau yang tinggal lebih masa dengan melanggar peraturan imigresen, kata Khairul Dzaimee Daud, ketua pengarah Jabatan Imigresen Malaysia.
"Jabatan ini ingin menjelaskan bahawa tidak ada pemegang kad UNHCR atau etnik Rohingya yang disenaraikan dalam program penghantaran pulang ini," katanya.