Malaysia Usir Lebih 1,000 Rakyat Myanmar Walaupun Adanya Perintah Mahkamah
2021.02.23
Kuala Lumpur

KEMASKINI pada 7.15 petang waktu tempatan ETS - 2021-02-23
Malaysia pada Selasa mengusir lebih 1,000 rakyat Myanmar walaupun adanya perintah penangguhan sementara mahkamah berhubung pengusiran besar-besaran itu dengan kapal tentera laut Myanmar, setelah kumpulan hak asasi menyatakan beberapa orang daripada mereka mungkin berdepan dengan penganiayaan di negara asal mereka.
Seramai 1,086 rakyat Myanmar dihantar pulang secara sukarela dan mereka tidak termasuk pelarian atau pencari suaka, kata pegawai imigresen Malaysia. Minggu lalu, agensi pelarian PBB, UNHCR, dan kumpulan lain menyatakan bahawa pelarian berdaftar adalah antara mereka yang akan dihantar pulang serta mungkin juga ramai pencari suaka yang tidak dapat dihubungi agensi berkenaan sejak Ogos 2019.
“Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Pertugas Kebangsaan (NTF) dan pihak Kedutaan Myanmar telah melaksanakan program penghantaran pulang 1,086 pendatang asing tanpa izin warganegara Myanmar pada hari ini,” kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud dalam kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya pada Selasa.
“Jabatan Imigresen Malaysia ingin menegaskan bahawa semua tahanan yang dihantar pulang adalah merupakan pendatang asing tanpa izin warganegara Myanmar dan tidak melibatkan etnik Rohingya atau pencari suaka. Kesemua mereka yang dihantar pulang itu telah bersetuju untuk pulang secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak.”
Khairul Dzaimee bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa jumlah mereka yang dihantar pulang itu lebih rendah daripada 1,200 yang diumumkannya pada minggu lalu. Beliau berkata semua yang dihantar pulang ditahan di depot imigresen sejak tahun lalu dan dihantar pulang melalui pangkalan TLDM di Lumut, Perak dengan menggunakan tiga kapal tentera laut Myanmar.
Sumber-sumber TLDM mengesahkan kepada BeritaBenar bahawa kesemua mereka yang dihantar pulang itu telah dipindahkan ke tiga kapal Myanmar iaitu sebuah kapal perang, kapal penyokong serbaguna dan kapal hospital yang mula berlayar dari perairan tempatan pada kira-kira 6 petang waktu tempatan.
Pegawai Jabatan Imigresen tidak segera menjawab permintaan BeritaBenar untuk mendapatkan komen berhubung perhantaran pulang pada Selasa itu.
Mahkamah tangguh pengusiran
Beberapa jam sebelum itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan penangguhan sementara terhadap tindakan pengusiran tersebut berdasarkan petisyen yang difailkan pada Isnin.
Amnesty International dan Access Asylum Malaysia, sebuah kumpulan hak pelarian tempatan, telah memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi untuk menghentikan pengusiran besar-besaran warga Myanmar terutamanya pemegang kad UNHCR dan pencari suaka.
Pengusiran itu akan membahayakan nyawa mereka, yang sekali gus mengesahkan pencabulan hak asasi manusia masih diteruskan oleh pemerintahan tentera Myanmar yang menggulingkan Aung San Suu Kyi, pemimpin awam negara itu, dalam rampasan kuasa pada 1 Februari lalu, kata kumpulan berkenaan.
Pejabat UNHCR di Kuala Lumpur tidak mengeluarkan kenyataan pada Selasa sebagai reaksi balas terhadap pengusiran berkenaan, tetapi perwakilan daripada agensi PBB tersebut memberitahu Menteri Sumber Manusia Malaysia pada Selasa bahawa lebih 20,000 pendatang di Malaysia belum berdaftar dengan agensi berkenaan, demikian menurut kenyataan kementerian tersebut.
Amnesty and Access Asylum berkata terdapat sekurang-kurangnya tiga pelarian berdaftar dengan UNHCR adalah antara mereka yang dihantar pulang ke Myanmar dan perintah mahkamah berkenaan merangkumi nama mereka.
UNHCR minggu lalu berkata sekurang-kurangnya enam orang yang mendaftar dengan agensi pelarian PBB itu adalah antara mereka yang akan dihantar pulang ke Myanmar.
Minggu lepas, Alliance of Chin Refugees yang berpusat di Kuala Lumpur, memberitahu BeritaBenar bahawa sekurang-kurangnya sembilan etnik Chin akan dihantar pulang. Seperti etnik Muslim Rohingya, etnik Chin turut mengalami diskriminasi yang disokong kerajaan di Myanmar.
Dua kumpulan yang mewakili etnik Rohingya bukan Muslim dari Myanmar dan minoriti Chin telah menyatakan bahawa pencari suaka juga termasuk dalam senarai yang dijadual dihantar pulang ke Myanmar pada 23 Februari.
Kumpulan etnik Chin menyatakan ada di antara ahlinya yang dihantar pulang itu tidak memiliki dokumen UNHCR kerana masih belum ditemu duga oleh UNHCR bagi menentukan sama ada mereka pelarian atau pencari suaka.
Sehingga akhir 2020, kira-kira 178,610 pelarian dan pencari suaka telah berdaftar dengan UNHCR di Malaysia dan kebanyakan mereka berasal dari daerah yang dilanda konflik atau melarikan diri daripada penganiayaan di Myanmar, menurut agensi tersebut.
Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, tetapi, menurut UNHCR, prinsip undang-undang antarabangsa yang melarang penghantaran pulang individu ke negara asal di mana mereka berisiko menghadapi penganiayaan adalah terpakai kepada negara itu sebagai sebahagian daripada amalan undang-undang antarabangsa yang mengikat semua negara.
Kerajaan Malaysia ‘berpotensi menghina mahkamah’
Kerajaan Malaysia mungkin menghina mahkamah kerana mengabaikan perintah kehakiman yang membenarkan penangguhan tindakan pengusiran rakyat Myanmar, kata Amnesty International dan Majlis Peguam Malaysia.
"Majlis Peguam berpendapat bahawa tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk mengusir 1,086 warga Myanmar adalah sama dengan penghinaan perintah penangguhan yang diberikan oleh mahkamah petang ini," kata Ketua Jawatankuasa Migran, Pelarian dan Imigresen Majlis Peguam Malaysia, M. Ramachelvam kepada BeritaBenar.
Jabatan Imigresen pasti tahu bahawa prosiding mahkamah telah dirancang pada Selasa berhubung isu pengusiran tersebut, katanya.
Dokumen penangguhan mahkamah yang dilihat oleh BeritaBenar menunjukkan tanda tangan pihak Jabatan Peguam Negara dengan arahan supaya pengusiran tersebut ditangguhkan sekurang-kurangnya sehingga prosiding diadakan pada Rabu 24 Februari.
"Prosiding mahkamah esok, yang masih akan berlangsung, semestinya perlu merungkaikan jawapan mengenai apa yang telah berlaku," kata Amnesty International dalam satu lagi kenyataan selepas pengusiran itu dilakukan pada Selasa.
"Tindakan pengusiran seperti hari ini - dilakukan secara rahsia, dan PBB tidak dibenarkan bertemu mereka yang rentan - tidak boleh dibiarkan berlaku lagi. Kami meminta pihak berkuasa Malaysia untuk menghormati kewajipannya berdasarkan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa supaya memastikan penghantaran pulang dilakukan secara selamat dan sukarela serta memberi kebenaran kepada UNHCR untuk membuat penilaian terhadap mereka yang akan dihantar pulang. "
Mengulas kenyataan Ketua Pengarah Imigresen bahawa rakyat Myanmar yang pulang itu berbuat demikian secara sukarela, Amnesty International berkata para pendatang itu tidak mempunyai pilihan.
"Pihak berkuasa menegaskan bahawa mereka yang dihantar pulang itu bersetuju untuk kembali secara sukarela - tetapi pilihan yang ada bagi mereka dan keluarga adalah sama ada ditahan tanpa had masa atau pulang ke situasi yang amat tidak stabil di tengah-tengah pergolakan akibat rampasan kuasa," kata kumpulan hak asasi itu.
"Menggunakan cara tidak langsung untuk mendorong mereka pulang menghadapi pencabulan hak asasi manusia yang teruk pada dasarnya adalah seperti menghantar pulang individu ke negara asal untuk berdepan penindasan dan penganiayaan.”
Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.