ASEAN Ambil Pendekatan Lembut Berhubung Rampasan Kuasa Myanmar
2021.02.01
Kuala Lumpur

KEMASKINI pada 7.15 petang waktu tempatan ETS - 2021-02-01
Rampasan kuasa oleh junta tentera Myanmar pada Isnin menyaksikan negara-negara jiran di Asia Tenggara hanya mengeluarkan kenyataan yang bersifat lembut tanpa ada yang menyelar tindakan berkenaan, ketika amalan demokrasi dilihat terus terhakis di rantau berkenaan.
Malaysia yang kini berada dalam tempoh darurat selepas lebih 50 tahun, sejak Januari lalu meminta pihak tentera Myanmar menyelesaikan percanggahan dalam pilihanraya melalui mekanisme perundangan manakala Thailand dan Filipina pula berkata perkembangan terbaharu itu adalah masalah dalaman negara berkenaan.
“Malaysia sekali lagi menegaskan sokongannya terhadap peralihan demokratik di Myanmar, proses perdamaian dan perkembangan ekonomi yang inklusif.
"Malaysia meminta tentera Myanmar serta semua pihak yang berkenaan untuk memberikan keutamaan kepada memelihara keamanan dan keselamatan di Myanmar, menegakkan undang-undang, serta menyelesaikan apa-apa percanggahan pilihanraya melalui mekanisme perundangan serta dialog secara aman,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar sebagai respon terhadap rampasan kuasa yang menyaksikan tentera Myanmar menangkap pemimpin tertinggi parti pemerintah yang dilantik melalui pilihanraya sah termasuk ketua kerajaan Aung San Suu Kyi.
Pada awal Isnin, sejurus selepas menangkap pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi, menteri-menteri negeri dan presiden negara itu, sebelum Parlimen dapat bersidang, pihak tentera mengisytiharkan darurat selama setahun untuk menangani dakwaan berlakunya penipuan pengundian dalam pilihan raya umum November lalu, menurut laporan Radio Free Asia (RFA), entiti BeritaBenar.
Parti Liga Nasional Demokrasi memenangi 396 kerusi Parlimen manakala Parti Kesatuan Solidariti dan Pembangunan yang bersekutu dengan tentera memenangi 33 kerusi.
Perkhidmatan internet dan telekomunikasi di ibu kota, Naypyidaw, juga diputuskan, lapor RFA.
"Untuk melaksanakan tindakan yang diperlukan termasuk memeriksa semula daftar pemilih ... semua kuasa perundangan, pentadbiran dan kehakiman diserahkan kepada panglima angkatan tentera," kata keyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Interim Myint Swe.
Jeneral Kanan Min Aung Hlaing akan bertanggungjawab ke atas negara ini, lapor Associated Press, yang memetik laporan TV tentera Myanmar.
Jeneral itu, yang merupakan panglima panglima angkatan tentera sejak 2011, berada di bawah sekatan Amerika Syarikat berikutan peranannya dalam tindakan keras terhadap Rohingya pada 2017 yang menyebabkan ratusan ribu etnik itu melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh.
Satu kenyataan rasmi tentera yang dimuat-naik di laman rasmi Facebook dengan pejabat Jeneral mendakwa bahawa Suruhanjaya Pilihanraya Kesatuan telah gagal menyelesaikan isu mengenai perbezaan ketara semasa pilihanraya umum pada November lalu.
Pemerintah tentera turut mendakwa Presiden Myanmar Win Myint enggan menerima permintaan supaya diadakan mesyuarat Pertahanan Negara dan Majlis Keselamatan sebanyak dua kali dengan Win antara yang turut ditahan oleh junta tentera pada Isnin.
Pejabat Jeneral Min juga menjanjikan bahawa satu "pilihanraya yang adil dan bebas" akan diadakan selepas segala isu diselesaikan ketika darurat dan kuasa akan diserahkan kepada parti yang menang mengikut norma dan standard demokrasi.
Aung San Suu Kyi [Reuters]
Malaysia juga berkata sebagai negara jiran yang berhampiran dan anggota ASEAN, penganjuran keamanan dan kestabilan adalah sesuatu yang penting bagi kemajuan serta kesejahteraan semua di rantau itu termasuk Myanmar.
ASEAN terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
“Malaysia menyokong penerusan diskusi di antara pemimpin Myanmar bagi mengelakkan kesan buruk kepada negara dan rakyat Myanmar, terutama ketika situasi pandemik COVID-19 masa kini," kata Kementerian Luar Malaysia sambil menambah kesatuan yang diharapkan oleh rakyat Myanmar terus bergantung kepada kejayaan antara para pemimpin negara itu untuk bersatu.
Hormati pilihanraya
Dalam pada itu, Ketua Pembangkang Malaysia, Anwar Ibrahim memanggil pemimpin dunia dan ASEAN untuk bersuara bagi mendesak pembebasan pemimpin Myanmar yang telah ditahan, dengan berkata pihak tentera perlu menghormati pilihan yang telah dibuat rakyat negara tersebut pada November lepas.
"Pemimpin-pemimpin dunia dan ASEAN harus menggembeleng suara dan menggesa untuk pembebasan segera pemimpin-pemimpin Myanmar dan mesti menegakkan negara hukum.
“Setelah berjuang sekian lama, rakyat Myanmar berhasil untuk memungkinkan sebuah perlembagaan dan hak terkait pilihanraya.. dan pihak tentera sewajarnya mempertahankan aspirasi demokratik rakyat Myanmar, dan menghormati serta melindungi pilihan yang telah dibuat oleh rakyat," kata beliau di dalam satu kenyataan media.
Anwar turut memberi amaran bahawa tindakan rampasan kuasa yang dilakukan tentera Myanmar itu akan membalikkan aspirasi rakyat Myanmar, dan "menjerumuskan negara itu terus ke lembah kediktatoran".
Selain Malaysia, Brunei selaku pengerusi ASEAN juga menyeru supaya proses dialog, rekonsiliasi dan usaha mengembalikan situasi kepada normal dibuat bagi menjaga kepentingan rakyat Myanmar.
"Kami ingin mengingatkan fungsi dan prinsip-prinsip yang termaktub di dalam Piagam ASEAN, termasuklah kepatuhan kepada prinsip-prinsip demokrasi, peraturan perundangan dan tadbir urus yang baik, serta sikap menghormati dan menjaga hak kemanusiaan dan kebebasan fundamental," kata kenyataan yang disiarkan di laman web ASEAN.
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil Malaysia (BERSIH 2.0) pula di dalam satu kenyataan mengutuk tindakan tentera Myanmar, memanggilnya sebagai satu tindakan yang dibuat tanpa menghiraukan kehendak rakyat negara berkenaan serta proses demokratik.
"BERSIH 2.0 memperjuangkan pilihan raya bersih dan adil sebagai asas untuk membentuk kerajan yang sah. Pilihan raya Myanmar pada November 2020 adalah petunjuk jelas bahawa majoriti rakyat bersama National League for Democracy - NLD yang telah memenangi majoriti kerusi.
“Kami maklum tuduhan Tatmadaw bahawa wujudnya penipuan pilihan raya namun tiada bukti yang ditunjukkan dan tuduhan ini tidak dibawakan melalui saluran yang sepatutnya. BERSIH 2.0 amat khuatir terhadap jalan demokrasi di Myanmar yang berpatah balik serta pelanggaran hak asasi manusia yang sedang berlaku di sana.
“BERSIH 2.0 menggesa supaya semua aktivis dan ahli politik yang ditahan dibebaskan dengan segera. Darurat perlu dibatalkan segera dan kerajaan pilihan rakyat perlu dibenarkan untuk beroperasi.
“Semua gangguan kepada media mesti dihentikan serta saluran komunikasi dan maklumat yang bebas terutamanya dalam waktu genting ini perlu dibenarkan. Kami juga menggesa komuniti antarabangsa dan negara-negara ASEAN untuk maju ke depan bersolidariti bersama rakyat Myanmar," kata kenyataan badan bukan kerajaan tersebut.
Di tempat lain, Ahli Parlimen ASEAN untuk Hak Asasi Manusia mengeluarkan kenyataan dengan hampir 30 penandatangan bersama mengecam rampasan kuasa tersebut serta meminta pembebasan Suu Kyi dan semua tahanan lain. Ia juga meminta agar perkhidmatan internet dipulihkan dan Parlimen dapat melaksanakan mandatnya.
Di negara jiran, Indonesia, wakil negara itu dalam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antara Kerajaan ASEAN, Yuyun Wahyuningrum, mengkritik penangkapan Suu Kyi dan yang lain serta meminta tentera supaya mematuhi norma demokrasi.
"Tindakan rampasan kuasa ini bukan sahaja melanggar prinsip-prinsip ASEAN mengenai pemerintahan kerajaan berperlembagaan tetapi juga merosakkan proses melaksanakan demokrasi yang sememangnya rumit," kata Yuyun.
Thailand yang berkongsi sempadan dengan Myanmar serta turut mempunyai sejarah rampasan kuasa tentera dan menjatuhkan pemerintah demokratik pada 2014, semasa Timbalan Perdana Menteri Prawit Wongsuwan diminta mengulas mengenai perkembangan di negara jirannya itu berkata, “itu urusan dalam mereka.”
Di Filipina, jurucakap Presiden Rodrigo Duterte memberikan reaksi serupa mengenai rampasan kuasa di Myanmar.
"Ini adalah masalah dalaman," kata jurucakap Harry Roque, yang lebih suka membincangkan mengenai nasib lebih 1,200 rakyatnya yang berada di Myanmar.
"Keprihatinan utama adalah fokusnya terhadap keselamatan warga Filipina ... kami dapat menawarkan penghantaran pulang dan tempat tinggal sementara di pejabat kedutaan," kata Roque kepada wartawan.