Tekanan Antarabangsa Meningkat Desak Malaysia Henti Deportasi Rakyat Myanmar

Kira-kira 1,200 rakyat Myanmar dijadualkan dihantar pulang pada Selasa dengan kapal tentera ke negara mereka yang sedang bergolak.
Hadi Azmi
2021.02.22
Kuala Lumpur
Tekanan Antarabangsa Meningkat Desak Malaysia Henti Deportasi Rakyat Myanmar Keluarga pelarian dari etnik Chin Myanmar di pangsapuri kecil mereka di Kuala Lumpur, 17 Jun 2010.
[Reuters]

KEMASKINI pada 7.00 petang waktu tempatan ETS - 2021-02-22

Komuniti antarabangsa dan tempatan pada Isnin terus memberi tekanan terhadap Malaysia supaya ia menghentikan penghantaran pulang 1,200 rakyat Myanmar ke negara asal mereka selepas rampasan kuasa pihak tentera berlaku di negara berkenaan beberapa miggu lalu.

Menjelang penghantaran pulang besar-besaran itu dengan menggunakan kapal tentera laut Myanmar yang sudahpun berlabuh di Lumut, dua badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak pelarian telah memfailkan petisyen bersama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghentikan penghantaran pulang tersebut dengan menyatakan bahawa tindakan itu membahayakan nyawa mereka yang terlibat.

Dalam pada itu, Amerika Syarikat turut menggesa Malaysia supaya membenarkan rakyat Myanmar yang terlibat dalam penghantaran pulang tersebut bertemu dengan wakil Suruhanjaya Tinggi bagi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).

"Amnesty International Malaysia dan Asylum Access Malaysia hari ini memfailkan secara bersama satu semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghentikan rancangan kerajaan untuk menghantar pulang 1,200 individu ke Myanmar dengan kerjasama tentera Myanmar," kata kumpulan berkenaan dalam satu kenyataan bersama.

Mereka berkata jaminan Malaysia pada minggu lalu bahawa tiada pelarian Myanmar akan dihantar pulang, nampaknya bukanlah perkara yang benar.

Antara mereka yang akan dihantar pulang ialah individu yang berdaftar sebagai pelarian UNHCR dan lebih dua belas individu bawah umur yang akan dipisahkan daripada ibu bapa mereka, kata Amnesty International dan Asylum Access Malaysia pada Isnin bagi menjelaskan mengenai pemfailan semakan kehakiman itu di mahkamah.

"Semakan kehakiman ini dibuat dengan tujuan bagi mendapatkan satu perintah mahkamah untuk menghalang penghantaran pulang itu, dan ia turut mengandungi nama serta butiran tiga pemegang dokumen UNHCR dan 17 kanak-kanak bawah umur yang mempunyai sekurang-kurangnya satu ibu atau bapa di Malaysia. Maklumat ini bercanggah dengan jaminan yang diberi pihak berkuasa Imigresen pada 15 Februari bahawa tiada pelarian antara 1,200 yang akan dihantar pulang."

Amnesty International dan Asylum Access telah menamakan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam petisyen mahkamah itu.

Memisahkan anak daripada ibu bapa mereka adalah melanggar komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Hak-hak Kanak-Kanak, kata Tham Hui Ying, pengarah eksekutif Asylum Access Malaysia.

"Akta Kanak-kanak 2001 Malaysia dengan jelas menyatakan bahawa kerajaan bertanggungjawab untuk melindungi kanak-kanak," kata Tham.

Menghantar pulang rakyat Myanmar selepas beberapa minggu pihak tentera melakukan rampasan kuasa di negara itu boleh membahayakan nyawa mereka, kata Katrina Jorene Maliamau, pengarah eksekutif Amnesty International dalam satu kenyataan.

"Pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan oleh tentera Myanmar terhadap para penunjuk perasaan dan pengkritik mereka sudah dilaporkan dengan meluas. Jika Malaysia tetap bertegas untuk menghantar pulang 1,200 individu itu, ia perlulah bertanggungjawab kerana meletakkan kesemua individu berkenaan dalam risiko penganiayaan, keganasan dan malah, kemungkinan kematian," kata Katrina.

Para pegawai Jabatan Imigresen Malaysia pada Isnin tidak segera menjawab permintaan BeritaBenar untuk mendapatkan komen berhubung penghantaran pulang itu pada Selasa.

Kedutaan AS di Kuala Lumpur turut menyuarakan kebimbangan mereka berhubung keputusan Malaysia menghantar pulang rakyat Myanmar itu.

Pegawai kedutaaan menggesa Malaysia supaya membenarkan rakyat Myanmar bertemu wakil UNHCR supaya agensi pelarian berkenaan boleh menentukan sama ada terdapat pelarian atau pencari suaka dalam kalangan mereka yang akan dihantar pulang ke negara asal mereka itu, kata jurucakap tersebut.

UNHCR pada minggu lalu menyatakan bahawa Malaysia telah menolak permohonan mereka untuk mengunjungi pusat-pusat tahanan imigresen sejak Ogos 2019.

Sementara itu, pejabat Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan pada Selasa memberikan petunjuk bahawa lebih banyak penghantaran pulang "atas dasar kemanusiaan" sudah dirancang dengan keutamaan diberikan kepada usaha membawa pulang rakyat Myanmar yang terkandas di negara-negara lain akibat pandemik COVID-19.

"Dengan penyelarasan bersama-sama pihak berkuasa yang berkaitan di Malaysia, Kedutaan Republik Myanmar ingin memaklumkan bahawa dalam siri pertama ini, sejumlah 1,200 rakyat Myanmar dari pusat-pusat tahanan Malaysia akan dihantar pulang dengan kapal-kapal tentera laut pada Februari 2021," kata kenyataan kedutaan itu yang dikeluarkan di laman media sosial rasminya di Facebook.

Etnik minoriti berdepan risiko

Ketua Pengarah Imigresen pada minggu lepas menyatakan bahawa Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur telah menguruskan penghantaran pulang rakyat mereka, manakala Reuters melaporkan bahawa tentera Myanmar yang melakukan rampasan kuasa pada 1 Feb telah menawarkan untuk menghantar kapal tentera laut bagi membawa mereka pulang.

Tetapi menurut Lilianne Fan, pengarah antarabangsa Yayasan Geutanyoe yang menjalinkan kerjasama dengan pelarian, pencari suaka merupakan golongan minoriti yang menghadapi diskriminasi disokong kerajaan Myanmar dan mereka disenaraikan dalam kalangan 1,200 orang yang akan dihantar pulang itu.

"Sebilangan daripada mereka [yang akan dihantar pulang] tidak mempunyai dokumen manakala ada yang menjadi pencari suaka serta ramai lagi daripada etnik minoriti. Mereka adalah minoriti Chin Kristian dan penduduk negeri Kachin dan Shan yang dilanda konflik,” katanya kepada BeritaBenar.

"Berikutan langkah kerajaan Malaysia, kini setiap pencari suaka dan pelarian dari Myanmar bimbang mereka mungkin dihantar pulang. Dan keadaan sekarang adalah sangat bahaya bagi semua orang. "

Antara yang bakal dihantar pulang itu adalah sekurang-kurangnya sembilan etnik Chin yang, seperti etnik Muslim Rohingya, turut mengalami diskriminasi yang disokong kerajaan di Myanmar, kata James Bawi Thang Bik dari Alliance of Chin Refugees yang berpusat di Kuala Lumpur kepada BeritaBenar.

Amnesty International dan Asylum Access berkata walaupun Malaysia mengeluarkan kenyataan yang kritikal terhadap rampasan kuasa tentera di Myanmar, namun ia menjalinkan kerjasama dengan pihak tentera itu dalam penghantaran pulang migran yang ditahan da ini sama seperti mengiktiraf perbuatan pihak tentera yang melanggar hak kemanusiaan secara berterusan.

"Ketika seluruh dunia mengecam kekejaman politik di Myanmar, kami berasa terkejut melihat kerajaan Malaysia memilih untuk menghantar 1,200 individu pulang ke negara itu yang kini berada dalam situasi yang semakin teruk," kata dua kumpulan berkenaan.

Majlis Peguam Malaysia pada Isnin turut menyuarakan kebimbangan mereka mengenai penghantaran pulang rakyat Myanmar itu.

"Tindakan penghantaran pulang itu dilakukan ketika Myanmar menghadapi landskap politik yang sedang bergolak, dan ini melanggar prinsip undang-undang antarabangsa mengenai non-refoulement - prinsip undang-undang yang melarang penghantaran pulang individu ke negara asal di mana mereka berisiko menghadapi penyeksaan, kekejaman, layanan atau hukuman tidak berperikemanusiaan atau bahaya lain yang boleh menjejaskan mereka,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

"Tindakan seperti itu akan dianggap sebagai menggugat komitmen kami untuk mengesahkan instrumen antarabangsa mengenai hak asasi manusia."

Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951.

Pada hujung minggu lalu, polis anti-penunjuk perasaan Myanmar menembak mati dua orang dan mencederakan 24 orang yang lain semasa orang ramai melakukan tunjuk perasaan untuk menentang pihak tentera yang menggulingkan Aung San Suu Kyii, pemimpin awam negara itu, pada 1 Feb.

Tentera Myanmar, yang kerap memerintah negara berkenaan dalam tempoh 73 tahun sejak ia merdeka daripada pemerintahan British, dikatakan telah melakukan pencabulan hak asasi manusia terhadap etnik minoriti, menurut Human Rights Watch, PBB dan pemerhati antarabangsa lain.

Ribuan rakyat Myanmar daripada etnik minoriti - Rohingya, Karen, Karenni, Chin, Kachin, Shan dan Mon - telah melarikan diri daripada penganiayaan di negara itu sejak beberapa dekad lalu.

Lebih 830,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh ketika tentera Myanmar menjalankan operasi keras terhadap komuniti mereka secara besar-besaran pada 2016 dan 2017, sebagai tindak balas terhadap serangan maut yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan militan Rohingya ke atas pos-pos kawalan polis.

Pada Ahad, seramai 27 Ahli Parlimen dan Senator Malaysia menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya menghentikan serta merta penghantaran pulang rakyat Myanmar itu.

"Kami, wakil rakyat dan senator yang dipilih, dengan ini bersama-sama meminta supaya dihentikan segera penghantaran pulang tahanan Myanmar ke negara itu, yang mana kerajaan telah mengumumkan bahawa ia akan dilaksanakan pada 21 Februari 2021," kata mereka dalam kenyataan yang ditandatangani bersama itu.

"Malaysia mestilah menerajui usaha memberikan perlindungan kepada mereka kerana kita tidak boleh menjadi negara yang menghantar mereka pulang kepada junta tentera yang mempunyai rekod pencabulan hak asasi manusia yang serius."

Tiga buah kapal yang memasang bendera Myanmar termasuk sebuah kapal tentera dilihat berada dalam perairan Malaysia pada Sabtu, menurut laman web pemantauan perkapalan Marine Traffic.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.