Mahkamah Malaysia batalkan penangguhan pengusiran 114 warga Myanmar

Amnesty mendakwa kumpulan itu termasuk kanak-kanak dan individu disyaki pencari suaka.
Iskandar Zulkarnain & Iman Muttaqin Yusof
2022.12.13
Kuala Lumpur
Mahkamah Malaysia batalkan penangguhan pengusiran 114 warga Myanmar Warga Myanmar yang akan dihantar pulang dari Malaysia dilihat di dalam trak imigresen, di Lumut, Malaysia, 23 Feb. 2021.
[Lim Huey Teng/Reuters]

Mahkamah Malaysia pada Selasa membatalkan penangguhan penghantaran pulang 114 warga Myanmar, kata peguam yang mewakili mereka dengan kumpulan hak asasi manusia melahirkan kebimbangan mereka akan dipaksa pulang ke negara asal yang dilanda konflik.

Amnesty International dan Access Asylum Malaysia menggesa kerajaan menimbang semula langkah pengusiran besar-besaran itu dan mendakwa pentadbiran baharu Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan kelihatan buruk jika ia melanggar prinsip tiada penghantaran pulang paksa.

Lim Wei Jet, seorang peguam yang dilantik oleh Amnesty untuk mewakili warga Myanmar terbabit, berkata mereka akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu.

“Kami ingin mendapatkan tarikh awal di Mahkamah Rayuan. Saya tidak tahu butiran sama ada penghantaran pulang itu akan dilakukan tidak lama lagi. Harapnya tidak. Kami telah memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan dan Menteri Dalam Negeri,” katanya kepada BenarNews pada Selasa.

Kumpulan 114 warga Myanmar itu termasuk kanak-kanak dan individu dipercayai pencari suaka yang kini berada di bawah tahanan imigresen, kata Pengarah Eksekutif Amnesty Malaysia Katrina Maliamauv kepada BenarNews.

Peguam mereka juga cuba bertemu Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bagi menggesa kerajaan Malaysia menghentikan pengusiran atas alasan kemanusiaan.

BenarNews telah menghubungi pejabat Saifuddin namun tidak menerima maklum balas.

Kerajaan baharu Malaysia masih belum mengeluarkan kenyataan mengenai Myanmar, di mana junta tentera telah meningkatkan pertempuran dengan para penunjuk perasaan prodemokrasi dan kumpulan etnik sejak menggulingkan kerajaan yang dipilih rakyat dalam kudeta oleh pihak tentera pada 1 Feb 2021.

Pada Februari tahun lepas, kerajaan Malaysia telah mengusir 1,086 warga Myanmar walaupun Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan sementara penghantaran pulang sejumlah 1,200 orang daripada kumpulan itu dengan 114 lagi kekal di negara itu selepas didapati positif COVID-19.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud dan Menteri Dalam Negeri ketika itu Hamzah Zainudin kemudian memohon perintah untuk mengetepikan penangguhan tersebut dan mendakwa kesemua 114 warga Myanmar terbabit telah bersetuju untuk dihantar pulang.

Kumpulan hak asasi bagaimanapun mempertikai kenyataan itu dan mendakwa persetujuan tidak dibuat secara sukarela.

Malaysia bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951 namun menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, prinsip tiada penghantaran pulang paksa yang melindungi pelarian atau pencari suaka daripada pengusiran adalah terpakai kepada negara itu sebagai sebahagian daripada undang-undang adat antarabangsa dan mengikat semua negara.

Amnesty International dan Access Asylum Malaysia berkata kerajaan Malaysia perlu "menghormati hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa serta menghentikan sebarang keputusan untuk menghantar mereka kembali ke negara asal yang dilanda konflik serta berada dalam situasi ganas dan berbahaya."

“Keputusan mahkamah ini menunjukkan bahawa meskipun terdapat bantahan di peringkat antarabangsa dan gesaan agar penghantaran pulang warga Myanmar terbabit secara paksa dihentikan terus diabaikan,” menurut kedua-dua NGO dalam kenyataan bersama.

"Kerajaan bertekad untuk menghantar mereka pulang ke Myanmar daripada mencari penyelesaian yang boleh melindungi hak dan keselamatan serta menghormati kewajipan hak asasi manusia kerajaan Malaysia."

Pada Oktober, kerajaan bayangan Myanmar menyuarakan kebimbangan mengenai laporan bahawa pembelot tentera adalah antara 150 warga Myanmar yang dihantar pulang dalam bulan itu dari Malaysia. Mereka adalah antara lebih 2,000 warga Myanmar yang dihantar pulang sejak April, menurut Human Rights Watch dalam kenyataan ketika itu.

Pihak berkuasa Malaysia telah menahan enam bekas pegawai tentera laut Myanmar pada September dan menghantar mereka pulang pada 6 Okt, lapor agensi berita Reuters.

Sekurang-kurangnya empat daripada mereka yang dihantar pulang telah memperoleh status pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Malaysia dan seorang pegawai serta isterinya ditahan sebaik tiba di Yangon, menurut agensi berita itu.

Dua sumber di Malaysia yang mengesahkan penghantaran pulang pembelot tentera terbabit kepada BenarNews bagaimanapun enggan nama mereka disiarkan kerana bimbang berdepan tindakan daripada kerajaan Malaysia.

Tidak lama selepas itu pada bulan Oktober, Hamzah berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kumpulan lain harus berhenti mencampuri hal ehwal dalaman Malaysia. Kuala Lumpur akan mengambil tindakan terhadap mana-mana warga asing yang melanggar undang-undang Malaysia tanpa mengira dari mana mereka berasal, katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.