Malaysia Dakwa Bekas PM Najib Dengan Pertuduhan Pengubahan Wang Haram
2018.08.08
Kuala Lumpur, Malaysia

Pihak berkuasa Malaysia mendakwa bekas Perdana Menteri Najib Razak dengan tiga pertuduhan pengubahan wang haram pada Rabu, sehari selepas ia menerima sebuah kapal layar mewah bernilai AS$250 juta, yang menurut pihak pendakwa raya dibeli oleh seorang daripada rakan sekutunya dengan menggunakan wang daripada dana pelaburan negara yang dibelenggui skandal.
Pertuduhan terbaru itu membabitkan tiga pemindahan elektronik yang dilakukan pada 2014 dan 2015, di mana menurut penyiasat anti-rasuah, sebanyak RM42 juta (AS$10.3 juta) telah dimasukkan ke akaun bank peribadi Najib daripada SRC International, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Setiap pertuduhan membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun, berserta dengan denda, kata peguam.
Najib mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan, menurut laporan agensi berita negara, Bernama.
Para penyiasat anti-rasuah di bawah pemerintahan baru yang diterajui Perdana Menteri Mahathir Mohamad membuka semula siasatan terhadap 1MDB selepas Pakatan Harapan mengalahkan gabungan Barisan Nasional pada pilihan raya umum 9 Mei, yang menyaksikan kemenangan menakjubkan pakatan pembangkang yang menerima undi rakyat yang marah dengan dakwaan rasuah dalam dana pelaburan negara itu.
Jumlah yang dinyatakan dalam pertuduhan itu adalah amat kecil berbanding dengan dakwaan pendakwa raya Amerika Syarikat bahawa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion dicuri daripada 1MDB dan dialihkan melalui pengambilalihan hartanah, karya seni dan kediaman mewah oleh Najib dan rakan-rakannya.
Najib ditangkap dan didakwa bulan lalu dengan pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan tiga pertuduhan pecah amanah.
Pertuduhan baru itu akan disatukan dengan empat pertuduhan awal berkenaan, kata peguam Najib. Siasatan terhadap 1MDB Malaysia itu dijalankan secara bebas di Switzerland, Perancis dan Amerika Syarikat.
Najib, yang juga bekas menteri kewangan, mengasaskan 1MDB sebagai dana kekayaan negara dengan tujuan mendapatkan projek-projek yang akan memanfaatkan rakyat Malaysia.
Semasa pendakwa raya Amerika Syarikat memfailkan kes pelucutan hak yang berkaitan dengan 1MDB pada Julai 2016, mereka menyifatkannya sebagai tahap penipuan yang mengejutkan di mana lebih daripada AS$730 juta daripada apa yang nampaknya dimiliki 1MDB telah dialihkan dalam beberapa transaksi yang rumit sebelum akhirnya dimasukkan ke akaun bank peribadi "Pegawai Malaysia 1," rujukan kepada Najib.
Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat menggambarkan hal ehwal 1MDB itu sebagai "skandal kleptokrasi terburuk sejak sekian lama."
“Paparan pemerintahan kuku besi”
Ketika Najib berjalan ke arah kenderaannya, beliau melambai kepada kira-kira 20 penyokong yang berkumpul di lobi kompleks mahkamah itu.
"Ini adalah paparan mengejutkan mengenai pemerintahan kuku besi Mahathir Mohamad," kata Lokman Noor Adam yang menganjurkan dan mengetuai perhimpunan menyokong Najib.
Seorang penyokong memberitahu BeritaBenar bahawa pertuduhan terhadap bekas pemimpin itu tidak menggoyahkan kepercayaannya kepada Najib.
"Tuduhan akan terus dilemparkan tetapi kami tidak akan mempercayai yang Najib adalah teruk seperti mana yang mereka gambarkan beliau," kata Zahalan Man.
Pada Isnin, Mahathir mengucapkan terima kasih kepada Presiden Indonesia Joko "Jokowi" Widodo kerana menyerahkan kapal layar mewah Equanimity, yang sebelum ini dirampas Indonesia pada Februari lalu. Para penyiasat Malaysia menaiki kapal itu pada Selasa selepas ia berlabuh di terminal Boustead Cruise Center di Pelabuhan Klang.
Kapal yang memasang bendera Kepulauan Cayman itu berlabuh di Pulau Bali sejak ia ditahan polis Indonesia dan ejen-ejen FBI pada 27 Feb.
Washington telah menyenaraikan kapal layar itu di dalam dokumen mahkamah sebagai satu daripada aset yang didakwa dibeli oleh ahli kewangan Malaysia Jho Low, rakan kepada anak tiri Najib, Riza Aziz.