Industri Pertahanan Malaysia Alami Perubahan Drastik
2017.03.21
Langkawi, Kedah

Industri pertahanan sedang mengalami perubahan yang drastik, lanjutan daripada pelbagai ancaman dalam bentuk baru dan sentiasa berubah dengan memerlukan kajian dan pembangunan (R&D) yang berterusan, kata Perdana Menteri Najib Razak di Langkawi, Kedah.
Beliau berkata, perubahan itu sekaligus membawa kepada peningkatan kos serta harga produk dan perkhidmatan pertahanan.
Najib berkata, perbelanjaan pertahanan turut dijangka akan terus meningkat memandangkan ancaman yang dihadapi oleh Asia Tenggara dan benua lain, baik dari segi ancaman konvensional dan bukan konvensional.
“Malaysia akan terus memberikan tumpuan kepada sektor pertahanan dan keselamatan kerana ia penting dalam mengekalkan keutuhan wilayah dan kedaulatan negara, “ katanya semasa berucap merasmikan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 [LIMA’17] pada Selasa.
LIMA '17 yang dianjurkan kali ke-14 sejak 1991, berjaya menarik minat 520 syarikat dari 35 buah negara yang mewakili lebih 55 peratus daripada 100 syarikat maritim dan aeroangkasa terulung di dunia.
Pameran yang bermula pada Selasa itu, disertai lebih 200 delegasi pertahanan dan keselamatan, 55 kapal perang dan bot, 106 pesawat udara serta 267 wakil media,.dan akan berakhir pada Sabtu ini.
Najib berkata, kerajaan telah memperuntukkan kira-kira RM26 billion di bawah Rancangan Malaysia ke-11 yang merangkumi perbelanjaan untuk pertahanan, ketenteraman awam dan penguatkuasaan undang-undang.
“Ini adalah usaha kerajaan untuk melengkapkan angkatan tenteranya dengan keupayaan supaya dapat berdepan dengan peperangan moden yang bersifat simetri atau sebaliknya, tambah Perdana Menteri itu.
Mengenai ‘LIMA ’17, Najib berkata, Pameran berkenaan merupakan platform terbaik untuk menghimpunkan firma maritim dan aeroangkasa dari seluruh dunia dalam usaha mengukuhkan sasaran Malaysia untuk menjadi hub pasaran global bagi kedua-dua industri berkenaan.
Najib turut melahirkan keyakinannya terhadap kemampuan Malaysia untuk menjadi negara peneraju dalam industri maritim dan aeroangkasa khususnya di Asia Tenggara, dengan keperluan pasaran yang mencatat pulangan RM55.2 billon menjelang 2030.
Dalam pada itu, agensi berita Reuters melaporkan yang Malaysia bercadang untuk merombak dan menggantikan 50 buah kapal dalam pasukan tentera lautnya untuk memiliki aset terkini yang setanding serta mampu untuk menghadapi pelbagai ancaman.
Panglima Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata kapal yang bakal digantikan itu memiliki lebih banyak aspek keselamatan maritim seperti urusan berkaitan jenayah rentas sempadan, cetak rompak, anti-keganasan dan operasi mencari dan menyelamat.
"Kesemua kapal itu mampu berhadapan dengan ancaman Daesh dan lain-lain masalah keselamatan maritim," kata Kamarulzaman, merujuk kepada singkatan Bahasa Arab untuk IS.
Agensi berita itu turut melaporkan yang Malaysia dijangka menandatangani perjanjian kapal misi pesisir [LMS] dengan China di pameran LIMA ’17 itu, untuk membina empat buah LMS serta memperolehi teknologi untuk membina kapal tempatan ketika TLDM berharap untuk membina sehingga 18 buah LMS lagi.
Manakala itu, Malaysia telah mengurangkan jumlah bajet pertahanannya sebanyak 12.7 peratus kepada RM15.1 bilion (AS$3.41 bilion) tahun ini.