Hormati Proses Perundangan Malaysia
2015.11.02

Malaysia mahu semua pihak termasuk mereka di luar negara supaya menghormati proses perundangan dan keputusan mahkamah negara itu berhubung hukuman penjara lima tahun keatas bekas ketua pembangkang, Anwar Ibrahim, kata pegawai kerajaan.
Gesaan itu dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan selepas sebuah panel Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggesa supaya Anwar dibebaskan segera daripada penjara, dengan berkata pemimpin pembangkang itu ditahan secara sewenang-wenangnya.
Perdana Menteri Najib Razak, dalam responnya pada lewat Isnin berkata, Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) perlu menghormati proses perundangan kerana Malaysia mempunyai badan kehakiman yang bebas.
“Malaysia mempunyai badan kehakiman yang bebas yang mana banyak keputusan mahkamah tidak memihak kepada pegawai-pegawai kanan kerajaan dan kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan keputusan mahkamah,” menurut kenyataan yang dikeluarkan dari Pejabat Perdana Menteri itu.
Pada pagi Isnin waktu tempatan, anak Anwar, Nurul Izzah, yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai membacakan kenyataan Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari PBB di Parlimen, yang menyifatkan perbicaraan membabitkan Anwar adalah “tidak sah” dan pemimpin itu perlu dibebaskan serta-merta.
Pada 17 Feb lepas, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Anwar berkaitan dengan kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, tujuh tahun lepas dan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadapnya.
Kumpulan Kerja PBB dalam laporannya memutuskan bahawa ‘penafian hak kebebasan’ Anwar telah dibuat ‘dengan sewenang-wenangnya,’ dan berpendapat bahawa membebaskan Anwar dengan segera merupakan penyelesaian yang sempurna.
Kenyataan Pejabat Perdana Menteri itu menyebut Anwar didapati bersalah kerana melakukan jenayah dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan politik atau kerajaan Malaysia.
“Keputusan akhir kes ini dicapai oleh mahkamah selepas semua pilihan undang-undang dan proses undang-undang yang menyeluruh telah dilaksanakan bertahun-tahun. Hakim Mahkamah Persekutuan tidak akan mengekalkan hukuman bersalah Mahkamah Rayuan setelah mempertimbangkan semua bukti yang ada,” tambah kenyataan itu.
Selain itu, ia turut menyebut dalam kes berkenaan, bukan kerajaan tetapi yang menjadi mangsa ialah Saiful Bukhari, seorang individu dan pembantu Anwar yang membuat laporan polis dan membawa kes tersebut ke mahkamah.
“Pejabat Perdana Menteri juga meminta semua pihak termasuk di luar negara, untuk menghormati proses undang-undang, keputusan mahkamah di Malaysia dan hak mangsa untuk mencari keadilan,” kata kenyataan itu.
Hormati Mahkamah
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamed yang memberi reaksi terhadap laporan panel PBB itu berkata, kumpulan berkenaan tidak mempunyai hak untuk mempertikai keputusan sistem perundangan Malaysia.
Sambil menegaskan, semua pihak perlu mematuhi keputusan Mahkamah kerana bukan kerajaan yang menentukan hukuman ke atas bekas Ketua Pembangkang itu.
"Perlu diingat bahawa mahkamah membuat keputusan selepas menimbangkan tuduhan jenayah individu terhadap Anwar. Tidak ada kena mengena dengan kerajaan,"
“Hormati keputusan mahkamah, kerajaan telah melakukan apa yang patut untuk memastikan beliau sentiasa sihat dan sentiasa memastikan beliau mendapat rawatan yang sepatutnya," katanya.
Terdahulu semasa menjawab soalan Nurul Izzah berhubung prosedur piawaian serta tempoh masa yang diperlukan bagi mendapatkan perhatian kesihatan segera bagi tahanan penjara di sidang Dewan Rakyat, Nur Jazlan menafikan dakwaan anak bekas ketua pembangkang itu, bahawa kerajaan gagal memenuhi saranan doktor pakar untuk menjalankan fisioterapi intensif dan pembedahan bahu yang diperlukan Anwar.
Nur Jazlan memberitahu sidang dewan itu, bahawa Anwar telah menjalani rawatan kesihatan sebanyak 83 kali dengan turut menerima 10 kali rawatan fisioterapi seperti yang disyorkan oleh tiga pakar Ortopedik yang dipilih oleh keluarga beliau sendiri, sejak dipenjarakan pada 10 Feb lepas.
Katanya, Jabatan Penjara sentiasa menyegerakan rawatan terhadap banduan seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 14 dan Seksyen 37 Akta Penjara 1995.
"Sekiranya seseorang banduan telah disyorkan oleh pakar perubatan untuk mendapatkan rawatan lanjut, pihak penjara akan menghantar banduan ke hospital untuk mendapatkan bantuan termasuk rawatan daripada pakar," tambah Nur Jazlan kepada persidangan Dewan Rakyat itu.
Nur Jazlan juga berkata, Anwar telah diberi pelbagai keistimewaan berbanding banduan lain dengan diberi ruang berjumpa keluarga sebanyak 15 kali, diberi perjumpaan bersama peguam sebanyak 65 kali, menjalankan solat Jumaat sebanyak 35 kali, diberi peluang menghadiri pengebumian bapanya pada 5 April lepas dan perjumpaan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia pada 20 Okt lepas.
Pada sidang media Nurul Izzah berkata, “Kerajaan perlu membebaskan Anwar dengan segera seperti yang disyorkan oleh kumpulan kerja PBB yang menegaskan bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu dipenjarakan secara haram, dan (kerajaan Malaysia) melanggar undang-undang antarabangsa. Kerajaan perlu mematuhi apa yang disyorkan oleh kumpulan berkenaan dan (saranan tersebut) perlu dilaksanakan dengan segera,”
Katanya, PKR akan terus memberi tekanan kepada kerajaan untuk mematuhi apa yang dikemukakan oleh kumpulan kerja itu.