PM Malaysia Tolak Dakwaan Menteri Kanannya Letak Jawatan

A. Ariffin
2017.02.10
Kuala Lumpur
170210-my-najib-620.jpg Perdana Menteri Najib Razak [berbaju biru] yang juga Presiden parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu [UMNO] hadir pada perhimpunan agung parti itu di Kuala Lumpur, 1 Disember, 2016.
AFP

Perdana Menteri Najib Razak pada Jumaat melalui laman media sosial tampil memberi penjelasan dengan menolak dakwaan terdapatnya menteri kanan dalam pentadbiran kabinet mahu meletak jawatan kerana “tidak mahu bersubahat dengan isu 1MDB [1Malaysia Development Berhad]”.

Reaksi segera Najib dibuat secara ringkas melalui laman Facebook dan Twitter dengan berkata "Tiada menteri yang memaklumkan kepada saya bahawa beliau meletak jawatan.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali pada sebelah petang Jumaat telah mencetuskan rasa ingin tahu orang ramai selepas memuat-naik status di Twitternya dengan bertanya “Benarkah ada seorang menteri kanan sudah meletak jawatan?”

“Khabarnya beliau tidak mahu bersubahat dengan 1MDB. Cuba ikuti perkembangan,” muatnaik Azmin menerusi status laman Twitter peribadinya itu.

‘Perang siber’ mengenai desas-desus perletakan jawatan menteri kanan itu dapat diikuti di laman sosial Twitter antara Perdana Menteri dan Menteri Besar yang dilihat membalas status oleh kedua-dua pemimpin itu.

Najib yang menjawab status twitter Azmin itu, turut menulis “Saya menganggap Azmin berbohong kerana menimbulkan kekecohan melainkan beliau boleh mendedahkan nama menteri (itu),"

Dalam pada itu, portal Malaysiakini melaporkan Azmin yang ditemui media pada majlis makan malam di Klang, Selangor pada malam Jumaat berkata, adalah tidak mengejutkan yang Perdana Menteri menafikan ada anggota kabinetnya meletak jawatan.

Kata Azmin, maklumat mengenai peletakan jawatan itu disampaikan orang terbabit sendiri kepadanya baru-baru ini.

“Maklumat itu (datang) terus daripada orang yang berkenaan.

"Tunggu, kita akan umumkan,"

"Beliau (perdana menteri) memang perlu menafikannya," kata Azmin seperti dilaporkan oleh portal tersebut.

Penafian

Dalam pada itu akhbar The New Straits Times melaporkan bahawa seseorang pegawai kepada Menteri Luar Anifah Aman menafikan yang menteri itu akan meletakkan jawatannya daripada kabinet Najib.

Ketika dihubungi akhbar itu, pegawai menteri berkenaan berkata "Setakat yang saya tahu, tidak ada perkara seperti itu. Saya juga ingin tahu bagaimana nama Menteri disebut."

Difahamkan nama Anifah adalah antara nama menteri kanan yang disebut-sebut mahu melepaskan jawatannya.

Agensi berita Bernama pula melaporkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri  Mustapa Mohamed menyifatkan isu peletakan jawatan menteri kanan yang diperkatakan oleh Azmin itu sebagai berita nakal yang dilakukan oleh orang yang bermuslihat dan sengaja menimbulkan cerita bukan-bukan apabila dekatnya sesuatu pilihan raya.

"Kita jangka lagi dekat dengan pilihan raya, lagi banyaklah (cerita nakal), akan bertambah orang nakal seperti ini. Harap rakyat Malaysia tidak terpesong dengan berita sebegini yang disebarkan melalui media sosial," katanya seperti dilaporkan agensi berkenaan.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz pula mengaku tidak mempunyai  maklumat mengenai dakwaan peletakan jawatan seperti didakwa Azmin itu.

"Tetapi yang pasti ia bukan saya," katanya seperti dilaporkan portal Malaysiakini.

Nazri turut mendakwa kenyataan Azmin itu hanyalah helah timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat [PRK].

Terdahulu itu, Perdana Menteri menyampaikan mesej kepada negara dengan mengingatkan rakyat yang kerajaan telah mencapai banyak kejayaan sejak merdeka yang sekaligus meningkatkan taraf kehidupan, keharmonian dan kemajuan Malaysia.

Mesej itu disiarkan di laman web rasminya najibrazak.com, dengan turut mengingati lebih 30 juta rakyatnya supaya terus menghayati segala yang telah dikecapi.

“Pada tahun ke-60 Malaysia merdeka, kita perlu menghayati segala yang sudah kita kecapi. Bak kata orang, kita tidak akan menghargai sesuatu sehingga kita kehilangannya.

“Biarlah mereka nak kata apa pun, kerajaan hari ini tetap terus menabur bakti. Biarlah mereka nak kata apa pun, segala khidmat tetap diteruskan,” katanya. Perdana Menteri Ke-enam itu.

Selain itu, Najib juga menegaskan bahawa anasir negatif dalam dan luar negara boleh terus menghasut namun mereka tidak mampu menafikan kejayaan negara.

Sambil menyebut kejayaan beberapa projek besar negara itu seperti Transit Aliran Massa (MRT),  Jambatan Pulau Pinang Kedua, Lebuhraya Pan Borneo, KLIA2, Klinik 1Malaysia, beliau berkata, usaha itu adalah untuk meningkatkan taraf hidup rakyat termasuk menyediakan subsidi pendidikan dan perubatan,

“Semuanya demi negaraku yang tercinta,” katanya.

Tambah Najib, Malaysia pada tahun ini akan dikenali sebagai tahun Negaraku – “tahun kita mensyukuri kemakmuran dan terus membangunkan negaraku,”

Pada 7 Februari lalu, Najib berkata sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-60 tahun ini, kerajaan akan melancarkan inisiatif 'Negaraku' yang bertujuan untuk menyemarakkan lagi semangat cintakan negara dalam diri rakyat.

Katanya, inisiatif 'Negaraku' bertujuan untuk menyemarakkan lagi semangat cintakan negara dalam diri rakyat, mengetepikan sebarang perbezaan serta bersatu hati dalam menjayakan cita-cita bagi membentuk Malaysia yang lebih makmur dan berjaya.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.