Bekas PM Malaysia Berdepan Tindakan Bankrap Setelah Gagal Lunas Cukai, Penalti AS$421 Juta

Najib Razak berkata notis kebankrapan yang diserahkan kepadanya adalah bermotifkan politik.
S. Adie Zul & Hadi Azmi
2021.04.07
Kuala Lumpur
Bekas PM Malaysia Berdepan Tindakan Bankrap Setelah Gagal Lunas Cukai, Penalti AS$421 Juta Bekas Perdana Menteri Najib Razak tiba di Istana Kehakiman di Putrajaya, Malaysia, bagi prosiding rayuan berhubung sabitan kes pada 2020 mengenai pengubahan wang haram dan pertuduhan lain yang berkaitan dengan anak syarikat 1MDB, 6 April 2021.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, yang dimalukan, berdepan tindakan muflis kerana didakwa gagal menyelesaikan tunggakan cukai dan denda sebanyak AS$421 juta, yang boleh mengakhiri karier politiknya.

Najib pada lewat Selasa berkata lembaga cukai Malaysia telah menyerahkan notis kebankrapan kepadanya setelah didakwa gagal melunaskan bayaran cukai pendapatan peribadi dari 2011 hingga 2017, yang menurutnya, tindakan itu dibuat setelah parti politiknya memutuskan untuk berpisah dengan gabungan kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.

"Apakah kesan akibat dari notis bankrap ini? Saya akan kehilangan status sebagai Anggota Parlimen Pekan dan pilihan raya kecil akan diadakan,”kata Najib dalam catatannya di Facebook.

Beliau merujuk kepada peraturan di mana seseorang yang dilucutkan status sebagai Ahli Parlimen, akan dilarang bertanding dalam pilihan raya jika diisytiharkan muflis.

“Saya tidak lagi layak untuk bertanding dalam pemilihan parti dan pilihan raya. Saya akan kehilangan semua wang simpanan yang saya kumpulkan semasa bekerja dalam perkhidmatan kerajaan di mana ia sekarang digunakan untuk menyara hidup dan membayar peguam saya.”

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyerahkan notis kebankrapan itu kepada Najib pada Isnin. Prosiding kes itu dijadualkan pada 5 Mei.

Najib merupakan bekas presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), yang memegang kerusi Parlimen terbanyak dalam kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Bekas PM itu mendakwa bahawa notis kebankrapan itu mempunyai kaitan dengan keputusan UMNO pada bulan lalu untuk tidak bersekutu dengan gabungan Muhyiddin pada pilihan raya akan datang.

"Keputusan UMNO untuk tidak bekerjasama dengan PPBM / PN semasa PRU15," katanya semasa mendakwa bahawa ia adalah satu daripada sebab mengapa beliau diserahkan notis itu. PPBM merujuk kepada parti Bersatu pimpinan Muhyiddin dan PRU15 bermaksud pilihan raya umum ke-15.

BenarNews menghubungi pejabat LHDN dan pejabat Muhyiddin bagi mendapatkan komen, tetapi tidak ada seorang pun dari pejabat berkenaan yang membalas panggilan itu.

Najib menerima notis kebankrapan itu pada hari beliau membuat rayuan berhubung sabitan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai 2020 bagi pertuduhan yang berkaitan dengan penyelewengan berbilion dolar dari dana negara, 1MDB, yang menyebabkan kerajaan pimpinannya ditumbangkan hampir tiga tahun lalu.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta ($51 juta) bagi kes yang berkaitan dengan SRC International, anak syarikat dana negara, 1Malaysia Development Berhad.

"Mungkin tindakan memberi saya notis muflis pada hari pertama rayuan kes saya didengari adalah bertujuan untuk menabur garam ke luka ketidakadilan yang masih berdarah atau untuk terus memalukan saya,” katanya.

"Saya akan menggunakan kemampuan yang ada untuk menampilkan rayuan terbaik bersama barisan peguam saya untuk membantu para hakim dan panel hakim yang bijaksana untuk membuat keputusan yang berpihak kepada kebenaran,”

Najib berkata cukai pendapatan peribadi yang dituntut LHDN adalah bagi RM3 bilion ($ 726.1 juta) yang diterimanya dalam bentuk sumbangan "derma" dalam akaun peribadinya.

Penganalisis politik, Azmi Hassan, berkata jumlah cukai Najib adalah sukar dilunaskan oleh sesiapa pun.

"Saya tidak fikir Najib mampu membayar cukai pendapatan RM1.7 bilion," kata Azmi, ahli akademik di Universiti Teknologi Malaysia, kepada BeritaBenar.

Notis kebankrapan itu adalah pilihan yang ada bagi LHDN dan ia digunakan dengan harapan untuk mendapatkan sejumlah wang tersebut memandangkan Najib telah mencabar LHDN di mahkamah berhubung tuntutan cukai itu, kata Azmi.

Sekiranya Najib diisytiharkan muflis, ia bakal menjadi tamparan hebat kepada karier politik bekas PM itu, kata Azmi.

"Najib akan dilucutkan daripada kerusi Parlimen yang disandangnya kerana sebagai seorang yang muflis, beliau tidak layak untuk bertanding sebagai calon dalam pilihan raya umum," jelas Azmi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.