Sumber: Bekas PM Najib ditempatkan berasingan dalam penjara, terima layanan sama seperti banduan lain
2022.09.08
Kuala Lumpur

Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara ditempatkan dalam sel pengasingan khas bagi banduan yang dikawal ketat di Penjara Kajang, kata satu sumber yang berjawatan penting dalam kerajaan kepada BenarNews, tetapi menafikan bahawa ahli politik itu menerima sebarang layanan istimewa.
Selain itu, kata sumber tersebut, bekas Perdana Menteri berkenaan yang sebelum ini biasa menjamu selera di restoran mewah di seluruh dunia juga hanya menerima makanan penjara yang sama seperti dimakan oleh banduan lain. Satu-satunya perbezaan untuk Najib adalah beliau dibenarkan untuk menikmati makanannya di bawah kipas siling kerana mempunyai masalah asma.
"Walaupun Najib berstatus VIP, dia tidak mendapat sebarang layanan istimewa. Beliau dilayan sama seperti banduan lain," kata sumber itu, yang meminta namanya tidak disiarkan kerana tidak mempunyai kebenaran mengeluarkan kenyataan kepada media.
Najib, yang dikatakan memiliki unit kondominium mewah di Pavilion Residences di Kuala Lumpur, juga perlu mandi air sejuk sama seperti banduan penjara yang lain, kata sumber itu lagi sambil menambah bahawa sel yang menempatkan bekas PM itu juga tidak mempunyai kemudahan mengecas telefon atau tandas yang bersambung.
"Sel pengasingan tersebut dilengkapi dengan kemudahan yang sama seperti sel khas untuk menempatkan banduan yang memerlukan penjagaan keselamatan tahap tinggi," kata sumber.
Bekas PM itu yang dipenjarakan atas kesalahan berkaitan rasuah juga tidak lagi mempunyai akses kepada pakaian kot mewah seperti yang biasa dipakainya ketika sesi perbicaraan kes penyelewengan dana AS$9.67 juta daripada sebuah anak syarikat 1MDB.
"[Dia hanya memakai] Baju putih, seluar putih seperti pakaian banduan yang lain," tambah sumber itu lagi.
Bagaimanapun, disebabkan status VIP dimiliki Najib, tahap keselamatan di sekeliling penjara tersebut telah dipertingkatkan sejak beliau dimasukkan ke fasiliti berkenaan, kata sumber.
Najib adalah perdana menteri ke-enam Malaysia yang menerajui tampuk pemerintahan negara dari 2009 hingga 2018. Beliau juga adalah anak sulung kepada perdana menteri ke-dua, Abdul Razak Hussein.
"Sebagai seorang bekas pemimpin penting negara, tahap keselamatan sudah tentu diperketatkan bagi memastikan keselamatannya ketika di dalam tahanan Jabatan Penjara," kata sumber.
Pada awal minggu ini, Penjara Kajang telah mengeluarkan kenyataan menafikan khabar angin bahawa bekas PM itu ditempatkan di sebuah rumah yang dikhaskan untuk pegawai kanan jabatan di dalam kompleks penjara tersebut.
"Maklumat tidak sahih. Hentikan penyebarannya," kata jabatan itu dalam muat naik di laman media sosial rasminya di Facebook.
Walaupun Najib telah memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja serta satu permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan jenayah terhadapnya, undang-undang menetapkan bahawa bekas PM itu masih perlu tinggal di dalam penjara sementara semua permohonannya dipertimbangkan.
Pintu utama ke Penjara Kajang yang terletak di Selangor, 3 Mei 2019. [Mohd Rasfan/AFP]
Mahkamah tertinggi Malaysia pada 23 Ogos lalu telah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2020 yang mensabitkan Najib atas pertuduhan jenayah, dan mengarahkan beliau untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang, yang terletak di pinggir Kuala Lumpur.
Pada Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan salahguna kuasa, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang haram berkaitan dengan RM42 juta yang diterimanya daripada SRC International, sebuah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad.
Najib bagaimanapun berjaya mengelak daripada dipenjarakan selama dua tahun dengan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan itu, dan membayar wang jaminan sebanyak RM2 juta (AS$448,500).
'Semakan kehakiman jarang berlaku'
Kurang dua minggu selepas dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman, Najib telah memfailkan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan pengampunan.
Sementara itu, petisyen yang difailkan juga tidak dapat mengeluarkannya daripada penjara, ia bagaimanapun membolehkan Najib kekal sebagai seorang Ahli Parlimen sehingga Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan mengenai permohonan tersebut, kata Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan pada Isnin.
Bekas PM itu bagaimanapun tetap tidak boleh bertanding pada pilihan raya kecuali setelah diberikan pengampunan.
Pada Selasa laju, Najib memohon supaya Mahkamah Persekutuan menyemak semula keputusan yang mengekalkan sabitan terhadapnya. Beliau mendakwa bahawa telah berlaku ketidakadilan dalam kes terhadapnya.
"Ia adalah sesuatu yang jarang berlaku dimana Mahkamah Persekutuan membenarkan semakan kehakiman," kata peguam Akberdin Abdul Kader kepada BenarNews, dan menambah bahawa semakan bukan dianggap sebagai rayuan dan oleh itu Najib akan tetap berada dalam penjara sementara mahkamah memutuskan sama ada untuk membenarkan permohonannya atau tidak.
Sementara itu, Najib turut berdepan dengan satu lagi perbicaraan di mana pemimpin berkenaan telah didakwa dengan 25 pertuduhan salahguna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM2.3 bilion (AS$551 juta) yang hilang daripada 1MDB. Beliau juga berkemungkinan menghadapi perbicaraan lain membabitkan 10 lagi pertuduhan jenayah.
Najib, yang merupakan pemimpin kanan parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), telah menubuhkan 1MDB pada 2009 ketika menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, atas alasan ia akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.
Lebih AS$4.5 bilion telah diselewengkan daripada 1MDB melalui syarikat palsu kepada para pegawai yang korup dan sekutu mereka, menurut Jabatan Keadilan AS.
Skandal 1MDB telah menyebabkan UMNO kehilangan kuasa pada pilihan raya umum 2018, yang pertama buat parti lama yang ulung serta tidak pernah tewas dalam sejarah pembentukan Malaysia selama 60 tahun.