Bekas PM Najib Razak fail Petisyen Pengampunan Diraja
2022.09.05
Kuala Lumpur

Bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana kesalahan rasuah kira-kira dua minggu lepas, telah memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, kata Speaker Dewan Rakyat pada Isnin.
Pengampunan diraja adalah satu-satunya cara Najib membebaskan diri selepas beliau menggunakan semua kaedah perundangan dan gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan dalam kes yang dikaitkan dengan skandal kewangan 1MDB pada 23 Ogos lepas di Mahkamah Persekutuan.
Najib akan kekal sebagai Ahli Parlimen sehingga Yang di-Pertuan Agong memutuskan petisyen pengampunan yang difailkan beliau, demikian menurut Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan. Bagaimanapun, Najib tidak boleh bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, yang dijangka diadakan menjelang September 2023, melainkan beliau mendapat pengampunan sebelum itu, kata seorang peguam, Lim Wei Jet.
Menurut undang-undang, Najib perlu memfailkan petisyen pengampunan dalam tempoh 14 hari daripada keputusan rayuannya bagi megekalkan kerusi Parlimen beliau.
“Saya telah menerima salinan permohonan pengampunan itu di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, bagi Datuk Seri Najib Razak, yang merupakan Ahli Parlimen Pekan, bertarikh 1 Sept,” kata Azhar Azizan sambil menambah bahawa permohonan itu telah diterima sehari kemudian oleh Jabatan Perdana Menteri.
“Ini bermakna status Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan adalah tidak berubah ketika ini dan hanya akan dimuktamad apabila petisyen rayuan itu diselesaikan,” katanya yang mengambil maklum bahawa petisyen itu difailkan dalam tempoh 14 hari keputusan rayuan Najib.
Meskipun Najib mengekalkan kerusi Parlimennya sementara menunggu keputusan petisyen untuk pengampunan diraja, beliau hanya boleh bertanding pada pilihan raya umum akan datang sekiranya mendapat pengampunan, kata Lim Wei Jet, yang merupakan pengasas bersama parti MUDA.
“Tiada tempoh masa yang dikenakan bila keputusan pengampunan itu perlu dibuat,” menurut peguam itu di akaun Twitter.
“Bagaimanapun, Najib tidak boleh bertanding pada PRU15 jika tidak mendapat pengampunan penuh menjelang hari penamaan calon,” katanya.
Kepimpinan parti pemerintah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu [UMNO], yang merupakan parti Najib, telah mendesak agar pilihan raya kilat diadakan.
Baru-baru ini kerajaan telah mempercepat pembentangan belanjawan, yang menurut penganalisis merupakan petanda bahawa pilihan raya umum ke-15 akan diadakan pada tahun ini.
Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lepas telah mengekalkan sabitan Najib, 69, dalam kes berkaitan anak syarikat 1MDB iaitu SRC International dan memerintahkan beliau menjalani hukuman penjara 12 tahun bagi kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram.
Pada Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib dengan kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram berhubung dakwaan bahawa beliau secara haram telah menerima RM42 juta (AS$9.67 juta) daripada SRC International, anak syarikat dana kekayaan negara 1Malaysia Development Berhad.
Pada Ahad, bekas Perdana Menteri itu telah dimasukkan ke sebuah hospital kerana penyakit yang tidak dapat dipastikan, lapor media tempatan. Bagaimanapun, Najib menghadiri prosiding mahkamah pada Isnin untuk perbicaraan kes lain yang menyaksikan beliau berdepan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM2.3 bilion (AS$551 juta) yang hilang daripada 1MDB, menurut laporan itu.
Najib, yang merupakan pemimpin kanan UMNO, telah menubuhkan 1MDB pada 2009 ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, atas alasan ia akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.
Lebih AS$4.5 bilion telah dialihkan daripada 1MDB menerusi syarikat palsu kepada para pegawai yang korup dan sekutu mereka, menurut Jabatan Keadilan AS.
Skandal 1MDB telah menyebabkan UMNO kehilangan kuasa pada pilihan raya umum 2018, yang pertama buat parti lama yang ulung serta tidak pernah tewas dalam sejarah pembentukan Malaysia selama 60 tahun.
‘Adakah Najib sudah meluahkan rasa kesal?’
Sementara itu, di media sosial permohonan Najib untuk mendapatkan pengampunan diraja mengundang cemuhan.
Seorang pengguna Twitter berkata Najib seharusnya meringkuk dalam penjara agar kes beliau menjadi teladan kepada yang lain.
“[Kita] perlu biarkan Najib menjalani hukuman penjaranya untuk membolehkan negara melangkah ke hadapan,” ciap seorang pengguna bernama Morgan Stanly.
“Jika Najib boleh diberikan pengampunan maka lebih baik kita tutup sahaja semua penjara dan membiarkan lebih ramai orang mencuri dan menyamun negara.”
Lim Kit Siang, ahli politik pembangkang dan pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) pula berkata Najib telah memohon pengampunan diraja tanpa menunjukkan sebarang tanda penyesalan terhadap perbuatannya.
“Petisyen pengampunan Najib adalah yang pertama seumpamanya, berbeza daripada petisyen pengampunan yang lain sejak 65 tahun lepas. Pertama, semua petisyen pengampunan sebelum ini mengandungi elemen-elemen penyesalan bagi kesalahan yang dilakukan, atau difailkan selepas pesalah menjalani sebahagian daripada hukuman,” menurut Kit Siang dalam kenyataan yang disiarkan oleh media tempatan iaitu The Edge Markets.
“Adakah Najib sudah meluahkan rasa kesal bagi skandal 1MDB dan tindakan korup lain ketika beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia? Najib mempunyai empat lagi perbicaraan kes rasuah. Adalah beliau akan diberi pengampunan setiap kali beliau disabitkan dengan kesalahan?”
Kit Siang juga berkata ini adalah kali pertama petisyen pengampunan dikemukakan sejurus selepas sabitan “dan membawa implikasi bahawa badan kehakiman adalah terkhilaf dalam memenjarakan Najib.”
Sejak beliau disabitkan, para penyokong Najib dan kepimpinan UMNO telah memutarbelitkan naratif bahawa bekas Perdana Menteri itu tidak mendapat perbicaraan yang adil. Najib telah memainkan peranan penting dalam kejayaan UMNO pada beberapa pilihan raya negeri baru-baru ini dan parti itu bergantung kepada beliau untuk meraih undi pada pilihan raya umum akan datang, yang menyaksikan kepimpinan parti itu mendesak agar diadakan lebih awal.
Bagaimanapun, imej parti itu terjejas teruk sejak akhir-akhir ini kerana bukan hanya Najib yang disabitkan, isterinya Rosmah Mansor turut didapati bersalah atas pertuduhan rasuah minggu lepas dan telah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun.
Rosmah, 70, yang dikenali kerana gaya hidupnya yang begitu mewah dan gemarkan beg tangan jenama Hermès Birkin, turut didenda RM970 juta (AS$216 juta) kerana meminta dan menerima rasuah sebagai upah membantu sebuah syarikat mendapatkan kontrak kerajaan.
Denda terhadap Rosmah merupakan yang tertinggi pernah dikenakan oleh mahkamah di Malaysia.
Rosmah bagaimanapun bebas dengan jaminan sementara menunggu pelupusan rayuan yang telah difailkannya terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.
Pasangan itu berdepan pelbagai masalah selepas gabungan politik yang memerintah pimpinan Najib mengalami kekalahan mengejut dalam pilihan raya umum pada Mei 2018 apabila pihak berkuasa AS dan Malaysia mendedahkan skandal rasuah 1MDB yang membabitkan berbilion-bilion dolar.
Pada bulan yang sama, polis telah menggeledah hartanah Najib dan menyita beratus-ratus beg tangan berjenama, lebih 10,000 unit barangan kemas dan RM117 juta wang tunai dalam pelbagai bentuk mata wang.
Para pegawai menganggarkan bahawa jumlah barangan yang dirampas bernilai antara AS$200 juta dan AS$245 juta.