PM Malaysia Najib Peroleh Manfaat Daripada Perpecahan Pembangkang: Penganalisis

Razlan Rashid
2016.07.01
Kuala Lumpur
160701-my-najib-analysis-620 Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, ketika menghadiri satu majlis sempena Ramadan di Putrajaya pada 25 Jun, 2016, boleh meningkatkan lagi kejayaan politiknya baru-baru ini dengan mengadakan pilihan raya umum awal tahun depan.
AFP

Dengan kemenangan pilihan raya baru-baru ini serta menyingkirkan mereka yang memberontak daripada partinya dan mendakwa para pengkritiknya di mahkamah, Perdana Menteri Najib Razak tidak mungkin berdepan cabaran yang serius ketika pembangkang kini dalam keadaan lemah, kata penganalisis politik dan sosial Malaysia.

Susulan tahun 2015 yang buruk termasuk menangkis gesaan supaya beliau meletakkan jawatan berikutan dakwaan rasuah berhubung hampir AS$700 juta dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya yang dikaitkan dengan dana pelaburan negara, nasib Najib berubah dengan beberapa kejayaan sejak beberapa bulan yang lalu.

Siri kejayaan beliau termasuklah pilihan raya Mei yang menyaksikan  gabungan parti Barisan Nasional (BN)  meneruskan lagi pemerintahan berdekad lamanya di negeri Malaysia timur, Sarawak, dengan kemenangan besar menguasai dewan undangan negeri, diikuti oleh pilihan raya kecil pada Jun di Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang terletak di Semenanjung Malaysia. Gabungan BN telah memerintah negara itu sejak kemerdekaan pada 1957.

Kemenangan selesa itu mengukuhkan lagi cengkaman Najib terhadap  Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti pengasas BN, dan mengetepikan pengkritiknya hang paling lantang - bekas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir.

Pada 24 Jun, Najib dan Majlis Tertinggi UMNO memecat  Muhyiddin dan Mukhriz - anak musuh Najib dan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

Tiga hari kemudian, beliau merombak Kabinetnya dengan memberi ganjaran jawatan menteri kepada penyokong setianya yang telah mempertahankan beliau daripada dakwaan rasuah.

Pada Rabu, pengkritik paling menggerunkan Najib dan perdana menteri paling lama berkhidmat di Malaysia, Mahathir, telah disoal siasat oleh polis buat kali keempat dalam tempoh setahun kerana menyamakan Najib dengan pemimpin diktator Uganda, Idi Amin.

Keesokannya, seorang lagi yang lantang mengkritik Najib - Ketua Menteri negeri utara Pulau Pinang dan setiausaha agung  parti pembangkang, Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng didakwa di mahkamah dengan dua pertuduhan rasuah. Lim mendakwa pertuduhan itu bermotifkan politik.

Penganalisis politik dan sosial menjangka Najib bakal mengadakan  pilihan raya awal pada 2017 dan kekal berkuasa. Pilihan raya umum ke-14 dijadualkan pada 2018, berdasarkan kitaran lima tahun negara. Najib memilih untuk membiarkan para pemberita membuat tekaan  tentang apa yang mungkin dilakukannya, ketika memberi sidang media pada 27 Jun.

"Ia bergantung bila pilihan raya umum berikutnya akan diadakan. Saya tidak tahu lagi, "kata Najib.

BN kekal sebagai 'pilihan rakyat'

Bercakap kepada BeritaBenar, Profesor Politik dan Sains Sosial  Ahmad Atory Hussain berkata, BN akan menjadi pilihan rakyat dan "terus memerintah negara ini seperti yang dilihat dalam pilihan raya baru-baru ini.

"Tetapi, apa yang lebih penting, faktor paling utama adalah pembangkang yang berpecah-belah," katanya.

Pendapatnya dipersetujui oleh ketua politik dan sains sosial di Institut Pulau Pinang Wong Chin Huat.

"Kejayaan UMNO sepatutnya tidak mengejutkan sesiapa," katanya.

Penolong professor sains politik di Universiti Malaysia Sarawak  Jeniri Amir pula berkata perbalahan dalaman pembangkang telah mengukuhkan lagi BN.

"Jika mereka mahu menewaskan BN, mereka perlu berada di bawah satu payung seperti apa yang telah dilakukan BN selama 70 tahun," kata Ahmad Atory kepada BeritaBenar.

Sebaliknya, pembangkang dalam keadaan kucar-kacir dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) baru-baru ini keluar daripada pakatan parti pembangkang yang dianggotai Parti Rakyat Keadilan (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara ( PAN). Walaupun sesetengah ahli PAS kemudiannya menyertai parti-parti lain, PAS menegaskan ia akan menubuhkan pakatan pembangkang kedua bagi menentang BN.

Pembangkang perlukan perubahan

Para penganalisis mendakwa bahawa pengundi tidak berminat untuk mendengar tentang skandal yang membelenggui dana negara, 1Malaysia Development Berhad, yang sering dibangkitkan dalam platform pembangkang yang anti-Najib. Pembangkang memerlukan perancangan yang berbeza jika mahu mengubah  keputusan pilihan raya, kata mereka.

"Di kawasan luar bandar, isu punca pendapatan daripada pembangunan memberi impak yang lebih besar," kata Jeniri.

Majoriti rakyat Malaysia tidak celik politik, oleh itu pembangkang perlu mencari isu-isu lain bagi mendapatkan undi, katanya.

Chin Huat berkata kemenangan  BN baru-baru ini disebabkan oleh "taktik politik naungan yang telah pun terbukti," dengan menggunakan projek-projek pembangunan bagi memancing undi.

Gerakan Selamatkan Malaysia mesti menamakan calon

Selain itu, kata penganalisis, gerakan Selamatkan Malaysia yang ditubuhkan oleh kumpulan hak asasi dan individu bagi menjatuhkan Najib, perlu lebih jelas dan apa yang lebih penting ialah menamakan calon sebagai Perdana Menteri.

"Adalah tidak masuk akal jika mereka mengatakan Najib perlu meletakkan jawatan, tetapi mereka tidak peduli siapa yang akan menjadi penggantinya. Ini bukannya jawatan kosong untuk pembantu pejabat. Ia adalah jawatan tertinggi bagi negara kita, "kata Wan Saiful Wan Jan, Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, kepada BeritaBenar.

Wan Saiful berkata, pergerakan itu perlu menamakan sama ada Wan Azizah Wan Ismail, isteri pemimpin pembangkang yang dipenjarakan Anwar Ibrahim, atau Menteri Besar  Selangor Mohamed Azmin Ali sebagai calon jika Muhyiddin merasakan beliau tidak boleh mendapatkan sokongan secukupnya.

Walaupun permintaan utama gerakan itu telah dibincangkan secara meluas, namun tuntutan penting  lain seperti menyingkirkan mereka yang dikaitkan dengan Najib, memansuhkan undang-undang dan dasar-dasar yang melanggar hak asasi manusia dan memulakan pembaharuan institusi nampaknya telah dilupakan, kata Wan Saiful.

Hata Wahari, Dennis Wong dan Haireez Azeem Azizi menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.